Bayaran Pencen Kepada Balu Yang Berkahwin Semula: Pemberian Keadilan Kepada Wanita
Ketika menyampaikan Perutusan Belanjawan 2002 yang lalu, Y.A.B. Perdana Menteri menyebut, “… Di samping membantu meningkatkan taraf hidup ibu tunggal, kerajaan juga membenarkan balu-balu terus menerima bayaran pencen suami yang telah meninggal dunia walaupun selepas mereka berkahwin semula.” Kenyataan ini tentunya disambut baik oleh semua wanita terutamanya para balu sendiri. Ini kerana selama ini, balu yang mengambil keputusan untuk berkahwin semula tidak lagi layak untuk menerima pencen tersebut tetapi duda yang berkahwin semula terus menikmati hak itu.
Mengikut Skim Pencen Perkhidmatan Awam (Akta 227) kematian anggota atau pesara membolehkan balu/duda atau anaknya menerima faedah dari skim ini. Salah satu faedah tersebut ialah pencen terbitan. Syarat-syarat pembayaran pencen terbitan ini ialah :
(i) Balu atau duda tidak berkahwin lagi;
(ii) Anak akan mendapat pencen sehingga ia berumur 21 tahun atau sehingga ia berkahwin, mengikut yang mana dahulu. Anak yang di IPT boleh terus mendapat pencen ini tetapi hanya setakat selesai ijazah pertama;
(iii) Anak yang cacat layak mendapat pencen terbitan untuk seumur hidup selagi ia tidak berkahwin;
(iv) Pencen terbitan akan terus dibayar kepada tanggungan (balu/duda/anak) sehingga 12 tahun daripada tarikh kematian dalam perkhidmatan atau tarikh persaraan si mati sekiranya perkahwinan berlaku dalam perkhidmatan. Bayaran selepas 12 tahun ini akan disusutkan kepada 70 peratus.
(v) Jika perkahwinan berlaku selepas bersara, bayaran pencen terbitan dihentikan selepas 12 tahun dari tarikh persaraan si mati.
Begitulah syarat-syarat pemberian pencen terbitan. Namun, dari beberapa pembacaan sumber-sumber lain, wujud dua kekeliruan utama. Pertama, syarat (i) menyebut bahawa balu atau duda akan mendapat pencen ini selagi tidak berkahwin tetapi mengikut pegawai Perhubungan Awam Jabatan Perkhidmatan Awam, Hasniah Rashid, mengikut Akta Pencen 1980, duda memang layak menerima pencen walaupun berkahwin semula (Berita Harian, 24 Oktober 2001, ms. 5).
Kekeliruan kedua ialah, walaupun syarat menyebut bahawa anak-anak akan terus mendapat pencen ini sehingga mereka berusia 21 tahun atau sehingga berkahwin, mengikut yang mana dahulu, tetapi dari pembacaan kisah hidup beberapa orang balu yang berkahwin semula, mereka terpaksa menanggung anak-anak setelah pencen terbitan itu ditarik (Berita Harian, 29 Oktober 2001, ms. 1). Jadi, ke mana menghilangnya pencen yang sepatutnya anak-anak si mati layak menerimanya? Mungkinkah wujud salahfaham di kalangan ibu tunggal tentang hal ini? Apakah mereka tidak tahu tentang hak anak yang sepatutnya boleh terus mendapat hak ini? Jika itu masalahnya, mereka perlu dimaklumkan dan diberitahu tentang prosedur-prosedur yang perlu diambil supaya pencen terbitan dapat terus diterima oleh anak-anak mereka.
Dari perspektif Islam penerusan pencen ini tentulah dialu-alukan terutamanya kerana ia memberi keadilan kepada wanita. Jika benar bahawa selepas balu berkahwin semula mereka dinafikan dari menerima wang pencen tetapi selepas seorang duda berkahwin semula mereka terus mendapat hak ini, ternyata ketidakadilan telah berlaku. Maka, dengan adanya usaha untuk memberi hak yang sama kepada wanita seperti ini, maka sudah tentulah wujud keadilan yang dituntut oleh Islam.
Bagi golongan sasaran, dengan pengekalan pencen ini, ia sudah tentu lebih menjamin kehidupan wanita tersebut di masa hadapan. Seperti mana yang kita tahu, tiada siapa yang dapat meramalkan masa depan. Perkahwinan kedua yang diharapkan berpanjangan, mungkin sahaja tidak menjadi kenyataan. Oleh yang demikian, sekiranya perkahwinan kedua berakhir dengan perceraian atau kematian juga, maka sekurang-kurangnya wanita tadi masih ada sumber pendapatan untuk meneruskan kehidupannya dan anak-anaknya. Begitu juga, sekiranya suami kedua tidak memberikan perlindungan seperti yang diharapkan, sebaliknya ia pula mendera isteri dan anak-anak, maka wanita tadi tidak akan teragak-agak untuk memohon cerai misalnya kerana ia tahu dia ada sumber untuk meneruskan hidup dan tidak perlu bergantung terus kepada suami yang tidak berhati perut tadi. Kita maklum bahawa ada wanita yang sanggup berhadapan dengan penderaan semata-mata kerana bimbang sekiranya bercerai ia tiada lagi tempat bergantung. Dengan pengekalan pencen ini, kebimbangan ini tidak akan timbul.
Penerusan pencen ini juga baik untuk masa depan anak-anak dari perkahwinan yang terdahulu. Ini kerana dengan adanya pencen ini, maka ada sumber untuk membesarkan anak-anak tersebut. Walaupun kini mereka mempunyai bapa tiri, tidak semua bapa tiri ikhlas membantu anak-anak tirinya. Jadi, kalau suami baru itu agak keberatan untuk menanggung nafkah anak tirinya, maka anak-anak itu masih ada sumber mereka sendiri. Kadangkala bukan bapa tiri itu tidak mahu membantu, tetapi seringkali yang berkahwin dengan balu merupakan orang yang agak dewasa dan telah ada komitmen sendiri (duda, misalnya) maka komitmen awal dan pendapatan yang terhad mungkin menghadkan bantuan yang boleh diberi kepada anak tiri. Jadi, dengan adanya pencen ini, masa depan anak-anak dari perkahwinan terdahulu akan lebih terjamin.
Dengan adanya penerusan pencen ini, ada yang menjangkakan berlakunya beberapa perubahan dalam masyarakat kita. Pertama, ada yang menjangkakan bahawa bilangan ibu tunggal akan berkurangan akibat peruntukan ini. Ini kerana diandaikan selama ini ramai ibu tunggal yang tidak berkahwin semula kerana bimbang wang pencen akan ditarik balik. Dengan peruntukan ini, dijangkakan ramai ibu tunggal yang akan mengambil keputusan untuk berkahwin semula (kerana tidak bimbang dengan kehilangan wang pencen) dan ini akan mengurangkan bilangan ibu tunggal. Apakah jangkaan ini akan menjadi kenyataan?
Bagi saya, peruntukan ini tidak begitu berkesan untuk mengurangkan bilangan ibu tunggal. Seperti kata Prof. Fatimah Daud, ini kerana kalau ada yang berkahwin semula pun mungkin terdiri dari balu yang muda, itupun mungkin tidak ramai. Lagi pula, tambah beliau, balu tidak berkahwin bukan hanya kerana takut hak pencen ditarik balik tetapi ada banyak faktor lain yang mempengaruhi keputusan mereka seperti memikirkan perasaan anak atau memikirkan masalah lain yang mungkin timbul dengan kehadiran bapa tiri itu (Berita Harian, 27 November 2001, ms.22).
Lagi pula, bagi saya, keputusan untuk berkahwin semula atau tidak lebih sukar daripada sekadar memikirkan wang pencen akan ditarik semula atau tidak. Bagi mereka yang telah bertemu calon yang sesuai tetapi tidak berkahwin kerana takut wang pencen ditarik balik, sudah tentu akan berkahwin semula setelah mendengar peruntukan ini. Tetapi, bagi mereka yang tidak berkahwin kerana sebab-sebab lain (masih sayangkan suami, ingin membesarkan anak sendiri, tidak pasti akan bertemu lelaki yang sama seperti bekas suami), mereka tidak akan berkahwin walaupun ada peruntukan ini. Jadi, berapa ramai sangatlah balu yang berada dalam situasi pertama? Bilangan yang kecil ini tentunya tidak akan memberi kesan kepada bilangan ibu tunggal yang ada dalam masyarakat kita.
Namun, apa yang pasti ialah bilangan ibu tunggal yang berkahwin semula dan kemudiannya merahsiakan perkahwinan tersebut kerana takut wang pencen ditarik, pasti akan berkurangan atau tiada langsung. Dikatakan bahawa ada balu yang terpaksa merahsiakan perkahwinan mereka kerana takut pencen ditarik balik. Maka dengan adanya peruntukan ini, sudah pasti bilangan perkahwinan yang dirahsiakan seperti ini tidak ada lagi dan balu-balu itu dapat hidup secara terbuka tanpa risau atau bimbang.
Satu lagi perkara yang dijangkakan akan berlaku berikutan peruntukan ini ialah peningkatan dalam bilangan poligami. Hakikat bahawa balu-balu ini akan terus mendapat pencen mungkin akan menjadi faktor penarik kepada lelaki untuk mengambil mereka untuk menjadi isteri kerana mereka ada pendapatan sendiri dan anak-anak tiri ada sumber mereka sendiri. Lelaki-lelaki yang tertarik mungkin sahaja terdiri dari lelaki bujang dan suami orang. Sekiranya suami orang tertarik dengan keadaan ini maka dijangkakan bilangan poligami akan meningkat. Sekali lagi, apakah jangkaan ini akan menjadi kenyataan?
Saya menjangkakan ini tidak akan berlaku. Ini kerana, pertama, perkahwinan memerlukan persetujuan kedua belah pihak. Kalau lelaki sahaja yang bersetuju, sebaliknya wanita itu tidak bersetuju, maka ia tidak akan berlaku. Tambah pula dalam perkahwinan poligami, pihak ketiga (isteri pertama) juga perlu bersetuju. Seperti yang disebutkan pada awal tadi, jika balu tersebut tidak mahu berkahwin atas sebab-sebab lain, maka sudah pasti dia tidak akan menerima pinangan dari mana-amana lelaki. Lagi pula, tidak ramai wanita yang sanggup berkongsi kasih, walaupun untuk menjadi isteri kedua atau ketiga atau keempat. Kedua, poligami memerlukan kebenaran mahkamah. Mahkamah akan melihat kemampuan suami, bukan kemampuan bakal isteri. Jadi, walaupun bakal isteri itu ada pendapatan sendiri dari pencen bekas suaminya, jika lelaki itu tidak berkemampuan, maka permohonannya sudah pasti tidak akan diluluskan. Jadi, sekali lagi, telahan bahawa peruntukan ini akan meningkatkan bilangan poligami tidak akan menjadi kejayaan.
Langkah penerusan pencen kepada balu yang berkahwin semula ini memang baik terutamanya dari segi untuk memberi keadilan kepada wanita. Jangkaan-jangkaan bahawa langkah ini akan mengurangkan bilangan ibu tunggal atau akan meningkatkan bilangan poligami berkemungkinan besar tidak akan berlaku. Namun, kita harus ingat, langkah ini bertujuan untuk memberi keadilan kepada wanita, bukan untuk mengurangkan bilangan ibu tunggal atau meningkatkan bilangan poligami. Oleh itu, ia hanya akan mencapai tujuan yang ingin dicapai, tidak lebih dari itu.
Namun, tidak semua yang bertujuan baik itu akan mendatangkan kesan yang baik terutamanya kepada golongan sasaran. Akan sentiasa ada orang yang cuba mengambil kesempatan dari peruntukan ini dan sanggup berkahwin dengan balu tersebut tetapi bukan untuk menjaga dan memeliharanya sebaliknya untuk mengambil kesempatan dari wang pencen yang ada. Oleh yang demikian, para balu perlu berhati-hati bila memilih calon suami yang baru. Carilah calon yang dapat memelihara kita dan bukan yang merosakkan kita. Seperti yang dituntut oleh Islam, carilah calon suami yang beragama, sudah pasti hidup kita akan sejahtera. Namun, manusia akan sentiasa boleh berlakon. Maka, sekiranya tersalah pilih, wanita perlu bertegas dan pastikan wang itu tidak terlepas ke tangan suami yang tidak bertanggungjawab. Ingatlah, itu hak anak-anak kita (anak yatim). Jangan sewenang-wenangnya diberi kepada orang lain. Bagi balu yang bertuah kerana mendapat suami baru yang berkemampuan dan sanggup menanggung nafkah anak-anak tirinya, gunakanlah duit pencen tu dengan baik – ditabung, misalnya – untuk masa depan anak-anak.
Seperkara lagi, walaupun langkah ini dapat menjamin masa depan sesetengah ibu tunggal yang ingin berkahwin semula, kita harus ingat bahawa mereka yang layak mendapat pencen terbitan hanyalah mereka yang suaminya dahulu bekerja dengan kerajaan. Tetapi, berapa ramai sangat ibu tunggal yang suaminya bekerja dengan kerajaan? Oleh yang demikian, masih terdapat ramai ibu tunggal yang tidak terkesan dari langkah ini. Bagi golongan ini (sama ada yang ingin atau yang tiada keinginan untuk berkahwin lagi), bantuan perlu disalurkan dengan cekap dan bijaksana. Pengagihan yang bijak akan memastikan bantuan diberi dengan lebih meluas dan tidak ada ibu tunggal yang mendapat lebih daripada satu bantuan pada satu-satu masa manakala ibu tunggal yang lain langsung tidak mendapat apa-apa.