Pembangunan sepadu insan untuk melahirkan manusia intelek ialah pembangunan diri manusia yang mengharmonikan di antara pembangunan fizikal, mental, emosi dan rohaninya. Intelektual yang sempurna ialah insan yang membangun secara seimbang dari aspek pembangunan unsur-unsur tersebut. Kepincangan pembangunan bagi salah satu unsur tersebut dengan sendirinya menjejaskan kewibawaan manusia, dan dalam jangka panjangnya memberi kesan yang buruk kepada pembangunan sesebuah masyarakat dan negara.
Tegasnya, intelektual yang sempurna mestilah yang sihat dan sempurna akal, roh, mental dan emosinya. Kematangan akal dan mental semata-mata tidak dapat membawa kepada kesejahteraan seseorang sekira roh atau badannya tidak sihat atau emosinya tidak seimbang, dan begitulah juga sebaliknya.
Dalam memperkatakan sesuatu tentang nilai, soalan yang perlu ditanya ialah apakah pentingnya nilai iaitu tanggapan baik dan buruk seseorang dalam kehidupan masyarakat yang menjadi ukuran perilaku anggota dalam masyarakat. Adakah semata-mata kerana yang baik itu baik, maka ianya perlu diamalkan. Atau adakah kerana ianya sesuatu yang buruk dan tidak senang dipandang mata, maka ianya perlu ditinggalkan.
Sementara perkataan intelek pula diertikan di dalam Kamus Dewan (terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka) sebagai kemampuan daya berfikir dan memahami serta menganalisis, dan intelektual pula ialah golongan terpelajar, cerdik pandai atau cendekiawan.
Mengenali Golongan Intelek
Syed Hussein al Atas dalam bukunya “Intelektual Masyarakat Membangun” telah mentakrifkan intelektual sebagai orang yang memusatkan diri untuk memikirkan idea dan masalah bukan kebendaan dengan menggunakan kemampuan akalnya. Pengetahuan tentang sesuatu permasalahan tertentu atau memiliki gelaran-gelaran tertentu sebenarnya belum dapat memastikan seseorang itu seorang intelektual. Ini kerana sering berlaku seorang yang mendapat gelaran professor atau doktor tidak memusatkan diri untuk mengembangkan bidang mereka atau berusaha menemukan pemecahan atas masalah tertentu dalam bidangnya.
Sebaliknya, orang yang tanpa kelayakan akademik dapat menjadi intelektual apabila dia manfaatkan kemampuan berfikirnya dan memiliki pengetahuan yang cukup mengenai bidang yang diminatinya. Contohnya, Herbert Spencer, seorang ahli falsafah Inggeris, tidak mempunyai kelayakan akademik, tetapi dia seorang intelektual yang terkenal di zamannya.
Dari segi sosialnya golongan intelektual sering menunjukkan ciri-ciri yang berikut:
1. Mereka direkrut dari segala kelas sekalipun dalam proporsi yang berbeza-beza
2. Mereka sering dijumpai di kalangan pendukung atau penentang berbagai-bagai gerakan kebudayaan, politik, akademik atau sebagainya
3. Mereka pada umumnya, bukanlah individu yang bekerja dengan menggunakan anggota fizikal, tetapi sebahagian besar adalah penulis, penyair, wartawan, dekan universiti dan sebagainya
4. Pada waktu-waktu tertentu mereka agak menjauhi diri dari masyarakat, selebihnya bergaul di dalam kelompoknya sendiri
5. Mereka tidak hanya tertarik pada segi pengetahuan teknikal dan mekanikalnya sahaja, malah pemikiran-pemikiran tentang agama, kehidupan, seni, ekonomi, budaya dan sebagainya termasuk dalam dunia pemikiran mereka
6. Kelompok intelektual sentiasa merupakan bahagian kecil dari masyarakat
Kegiatan-kegiatan yang sering diceburi oleh para intelektual umumnya terdiri daripada aktiviti-aktiviti berikut:
1. Masalah yang bukan dan tidak dapat ditangani oleh pakar
2. Bidang kegiatan intelektual tidak dapat mengikuti batasan yang diletakkan oleh disiplin ilmu khusus mana pun
3. Sikap intelektual tidak dapat dicipta oleh latihan formal yang berorientasi pada disiplin ilmu dalam erti kata sukatan pelajaran dan jumlah jam pelajaran yang telah ditetapkan
4. Sasaran kegiatan intelektual selalu berkaitan dengan konteks kehidupan dan pemikiran yang lebih luas
5. Hal yang dikejar oleh intelektual bukanlah profesion, dan oleh sebab itu tidak tunduk pada jenis faktor yang menentukan berkembangnya profesion
6. Minat intelektual melibatkan masa lampau, kini dan masa depan
Daripada aktiviti-aktiviti yang dimainkan oleh para intelektual di atas, maka jelas kepada kita bahawa masyarakat yang tidak mempunyai golongan intelektual yang dapat berfungsi dengan baik akan hilang tingkat kesedaran, tumpuan serta wawasan tertentu terhadap sesuatu masalah. Maka dengan itu, masyarakat tersebut akan terus berada pada tahap kemundurannya yang sedia ada, berhadapan dengan masalah yang tidak dapat diselesaikan dan tidak akan mampu membangun dengan baik dan sempurna. Hal ini telahpun diperingatkan oleh Allah s.w.t. dalam firmanNya dalam surah an Nisa’ yang bermaksud;
“Dan mereka seharusnya takut kepada Allah, andainya meninggalkan dibelakang mereka generasi yang lemah.”