KECEMERLANGAN belia dalam apa bidang sekali pun akan dilihat sebagai sempurna jika mereka menunjukkan perangai dan tingkah laku yang sopan dan baik. Sebaliknya, belia yang memiliki semangat juang yang tinggi dan cemerlang dalam aktivitinya, akan dilihat sebagai amat pincang jika berperangai buruk atau gagal mengawal emosinya.
Malah, ada kemungkinan mereka akan dianggap masyarakat seperti orang yang tidak waras atau pun sakit mindanya. Golongan belia seperti ini memberi gambaran kepada dunia bahawa mereka sememangnya keliru atau gagal menseimbangkan antara kepentingan nilai murni dan moral dalam urusan kehidupan.
Masyarakat negara ini pula masih belum lagi luntur perhitungan mereka terhadap nilai-nilai murni dan etika moral jika dibandingkan dengan Barat yang sering berhempas pulas menjajah minda dan budaya tempatan dengan pelbagai agen pencemaran nilai.
Namun kini golongan belia sering dilempar dengan pandangan bahawa mereka adalah kumpulan yang amat mudah tercemar pegangan nilai dan moralnya.
Sekadar memetik pemikiran Roger Graudy dalam bukunya `Les Etass-Unis Avant-grade De La Decadence’ (Amerika Di Ambang Kemunduran) bahawa faktor moral cukup menghantui kepunahan sosial di negara-negara Barat yang membawa kepada bermulanya kemunduran pembinaan masyarakat yang sihat dari segi rohani, jasmani, fizikal dan mental.
Keruntuhan pegangan nilai murni merupakan satu cabaran bagi golongan belia negara ini, dan menjadi tanggungjawab mereka untuk menyucikan maruah diri dari sebarang tanggapan serong.
Seterusnya cabaran golongan belia kini ialah kemampuan untuk meneruskan kehidupan tanpa mengenepikan pegangan hidup yang bersandarkan nilai-nilai murni dan moral yang baik. Dalam era globalisasi kini, dirasakan terlalu sukar untuk hidup dengan berpegang kepada nilai.
Terdapat tanggapan yang mungkin ada kebenarannya atau pun sebaliknya bergantung kepada tahap penilaian seseorang individu, yang mengatakan bahawa globalisasi merupakan satu alat dari negara Barat untuk merosak generasi atau menghancurkan sesebuah negara.
Melalui pendekatan seperti ini, negara-negara Barat dikatakan cuba memperluaskan hegemoni mereka terhadap negara-negara lain.
Apa yang lebih merisaukan ialah terdapat golongan belia yang menjadi terlalu fanatik memburu segala macam perkara yang dibawa dari negara luar tanpa ada sebarang justifikasi yang rasional, kononnya atas nama pemodenan.
Dan setakat mana kekuatan golongan belia untuk hidup dengan berpegang teguh kepada nilai-nilai murni dan moral yang baik dalam era globalisasi ini dapat dilihat secara langsung dengan penglibatan mereka dalam kancah gejala sosial.
Selain itu, sikap masyarakat yang mementingkan kebendaan dan bersikap individualistik turut dilihat sebagai punca golongan belia luntur pegangan nilai-nilai murni mereka. Ini kerana dalam kehidupan bermasyarakat, nilai-nilai yang murni untuk kehidupan secara berkelompok seperti tolong-menolong, hormat-menghormati, nasihat-menasihati dan sebagainya tidak ditonjol atau didedahkan kepada golongan belia.
Belia juga berhadapan dengan cabaran nilai yang tidak seimbang dan terpisah-pisah serta tidak menyeluruh dalam kehidupan mereka.
Pemahaman bahawa nilai adalah ajaran berkaitan akhlak dan moral yang perlu dipraktik dalam semua aktiviti kehidupan semakin luntur dari minda golongan ini.
Kelunturan nilai boleh berpunca dari sikap ibubapa dan keluarga yang tidak prihatin terhadap kepentingan ajaran berkaitan nilai, di samping sikap masyarakat yang semakin meminggirkan nilai-nilai murni dalam aktiviti kemasyarakatan, serta tiadanya mekanisme atau program pemantapan terhadap nilai-nilai murni dalam masyarakat.
Islam mengajarkan umatnya supaya bersikap lemah lembut secara berhikmah sekalipun berhadapan dengan musuh yang belum pasti lagi kemudaratannya, begitu juga apabila berhadapan dengan orang yang tidak dikenali, haruslah ditunjukkan nilai hormat dan berkasih sayang dengan penuh keikhlasan di hati.
Negara amat memerlukan golongan belia yang mantap dari segi kekuatan ilmu, kemampuan menguasai bahasa asing dan teknologi baru dalam pelbagai bidang sains dan teknologi.
Belia yang mempunyai keupayaan ekonomi yang mantap serta berani meneroka ruang-ruang baru yang berpotensi memberi peluang pekerjaan atau meningkatkan jaringan kerjasama demi kekuatan sosioekonomi ummah.
Namun pada masa yang sama, negara kita juga memerlukan golongan belia yang jujur, ada rasa hormat yang tinggi kepada pemerintah dan undang-undang negara serta kepada masyarakat yang berbilang bangsa dan agama.