Musim haji sekali lagi menghimbau kaum Muslimin mengenai soal perpaduan ummah, yang harus dinilai dengan mendalam dari dua jurusan. Pertama, perpaduan luaran yang terjelma sebagai kerukunan muafakat bergotong-royong memperteguh susunan sosio-politik negara demi kepentingan bersama.
Kedua, perpaduan yang jauh lebih asasi, adalah kesatuan dalaman yang terzahir sebagai perpautan kejiwaan dan kerohanian. Iaitu, perpaduan cita-cita, pengertian, pemikiran, dan kefahaman unsur-unsur penting Pandangan Hidup, yang dalam Islam digelar ru’yat al-Islam li al-wujud.
Pengertian perpaduan dimensi pertama merujuk kepada kerukunan politik sesuatu masyarakat hanya kerana mereka mempunyai kepentingan umum tinggal menetap di negara yang sama. Oleh kerana mereka lahir di tanah tumpah-darah yang sama, lalu merekapun menjadi warga negara yang sama. Jika dibanding antara satu benua dengan satu benua yang lain, ia adalah perpaduan sosial sesuatu masyarakat yang serupa dari segi ciri pembawaannya, bangun tubuh-badannya, warna kulitnya, budayanya (termasuk cara berpakaian), dan bahasa pertuturannya.
Kepentingan kaum yang sempit cenderung mencetuskan peperangan merebut sempadan politik dan kekayaan ekonomi negara yang lain. Contohnya, pada zaman kolonialisme dan imperialisme Barat, semenjak dari abad kelimabelas, bangsa Portugis, Sepanyol, Belanda, Perancis dan Inggeris telah menjajah benua Afrika, India, Semenanjung Arab-Farsi, Alam Melayu, Amerika Utara dan Amerika Selatan.
Bahkan, melihat kepada pengalaman Martin Luther King, Jr. (1929-1968) dan Nelson Mandela (l. 1918), di kalangan penduduk negara yang sama pun boleh terjadi gangguan, kekacauan, rusuhan, pertempuran dan perang saudara (civil war) melawan kezaliman dan penindasan akibat jurang pangkat politik dan kekayaan ekonomi bahana diskriminasi kaum berlainan warna kulit.
Agama Islam datang untuk memperingatkan insan agar jangan terkurung dalam kezaliman belenggu sempit kepentingan bangsa atau rantaian sempadan tanah-air yang sangat terbatas.
Justeru pertama-tamanya, Muslim dipupuk agar berpadu mengkiblatkan penghormatan ke arah yang satu. Sebagai pusat rohaniah umat dan pusat solat sejagat, Baytullah melambangkan tumpuan pengabdian diri kepada Allah Tuhan Maha Esa, “Pemilik Timur dan Barat, yang kemanapun kamu menghadap di sanalah (thamma) Wajah-Nya” (lihat al-Baqarah, 2: 115).
Lanjutan dari itu, dalam musim haji, berjuta para hujjaj yang tinggal menetap di benua serta negara yang berlainan sepakat untuk bermusafir ke Mekah sebagai ibukota rohaniah–atau Umm al-Qura, meminjam istilah al-Qur’an (al-An’am, 6: 92; al-Shura, 42: 7).
Di sana, para hujjaj pelbagai bangsa yang memiliki pembawaan yang berbeza, dan bangun tubuh-badan yang berlainan, sama-sama bertawaf, berpusar di seputar Ka’bah yang satu. Berbagai-bagai bangsa yang asalnya memakai pakaian yang berlainan, dan bertutur menggunakan bahasa yang berbeza, sekarang memakai ihram berpakaian yang serupa cara dan gaya, bahu-membahu, menyahut seruan haji dari Tuhan dengan satu bahasa peribadatan bimbingan al-Qur’an, dan sunnah Junjungan.
Di Tanah Haram, perbezaan tanah tumpah-darah jasadi, kewarganegaraan, kebudayaan tempatan, warna-kulit, sifat-pembawaan, seolah-olah terhapus, lebur berpadu pada satu tanah-air rohaniah–satu tamadun, peradaban, budaya, bahasa dan bangsa yang seharusnya berlandaskan Agama yang memerintahkan Keadilan. Justeru kezaliman, penindasan dan pembunuhan ditegahkan; dan Ibukota Rohaniah Islam didoakan oleh Nabi Ibrahim untuk menjadi bandar yang aman (Ibrahim, 14: 35) bagi sesiapa yang memasukinya (Ali ‘Imran, 3: 96).
Ini musim untuk pemasyhuran ukhuwwah sejagat pelbagai bangsa di dunia yang secara langsung harus diterima sebagai saudara, sebagai ahli satu keluarga besar; satu Umat, yang setiap anggotanya diladeni secara saksama untuk menunai Perjanjian Asalnya mengabdi kepada Allah sebagai Tuhan Yang Maha Esa (al-A’raf, 7: 172).
Ke arah mencapai persaudaraan tulen dan sejagat ini, umat Islam haruslah bersedia untuk keluar dari kekeliruan sempadan kekauman sempit, dan sebaliknya menggiatkan diri dalam perpaduan akliah yang merujuk kepada kesedaran ruhaniah yang satu. Pecah-belah sosio-politik masyarakat Islam masakini jelas mencerminkan perpecahan jiwa kerohanian dari segi cita-cita, pengertian, pemikiran, dan kefahaman unsur-unsur penting Pandangan Hidup Islam.
Perpaduan pemikiran umat Islam bergantung pada kesempurnaan ‘pandangan alam’ Islam, yang terdiri daripada pelbagai faham kunci yang tetap maknanya kerana pengertiannya tidak pernah berubah. Unsur-unsur asas lagi utama Pandangan Hidup Islam termasuklah peri hakikat serta sifat Tuhan yang Maha Esa (al-Tawhid), Wahyu (al-Qur’an), ciptaanNya semesta (‘alam), manusia (insan) dan dirinya budiman (nafs, ‘aql, qalb dan ruh), ilmu-pengenalan (ma’rifah) dan ilmu-pengetahuan (‘ilm), agama (din), kebebasan (ikhtiyar), keadilan (‘adl), nilai-budipekerti (adab dan akhlaq), pendidikan (ta’dib), kesejahteraan (sa’adah), pembangunan dan kemajuan (islah), dan yang seumpamanya lagi.
Konsep-konsep kunci Pandangan Hidup Islam ini haruslah dimaknakan secara berwibawa dan sama merata tersebar melalui khazanah peristilahan-dasar Islam yang tersebut dalam pelbagai bahasa kaum Muslimin. Kekeliruan faham-faham dan konsep-konsep Pandangan Hidup Islamlah yang telah mengakibatkan kerosakan ilmu dan seterusnya pecah-belah dalam masyarakat yang dizalimi.