Kita tidak tahu bila Covid-19 ini akan berakhir tetapi yang pastinya kita perlu meneruskan kehidupan ini dengan gaya hidup yang baharu. Dalam artikel kali ini saya cuba membincangkan secara ringkas isu dan cabaran pasca Covid-19.
Covid-19 telah memaksa masyarakat untuk menukar gaya hidup yang telah menjadi kebiasaan selama ini kepada cara yang baharu. Ia juga sebenarnya mendedahkan kita kepada segala kelemahan yang ada. Namun, kita masih diberi peluang untuk berfikir dan mengkaji situasi semasa. Kita juga diberi peluang untuk menilai diri kita semula. Ini merupakan peluang kita untuk mencari langkah yang boleh diambil supaya kehidupan kita akan jadi bertambah baik pada masa hadapan.
Covid-19 ini secara tidak langsung telah mempercepatkan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dengan berbagai-bagai cabaran yang kita perlu hadapi dan juga mengadaptasi kemahiran baru yang diperlukan oleh dunia.
Kemahiran yang diperlukan oleh dunia pada masa hadapan adalah jauh berbeza dengan kemahiran yang kita miliki sekarang ini. Antaranya kemahiran literasi baharu. Kalau sebelum ini kemahiran membaca, menulis dan mengira sudah mencukupi tetapi pada era digital ini menuntut kemahiran yang lebih daripada itu. Literasi baharu adalah berkaitan dengan literasi data, literasi teknologi dan literasi manusia.
Literasi data ialah kemampuan untuk membaca, analisis dan menggunakan informasi (big data) di dunia maya. Literasi teknologi pula ialah kita memahami bagaimana cara mesin bekerja, aplikasi teknologi (coding, kepintaran buatan dan sebagainya) dan literasi manusia ialah berkaitan dengan kemanusiaan, komunikasi serta inovasi.
Oleh sebab itu, agar negara kita terus kompetitif kurikulum perlu anjakan baru. Kita memerlukan pendekatan baharu untuk menyampaikan ilmu. Sistem pendidikan di dunia juga akan mengalami perubahan besar yang dikenali sebagai “pendidikan Juke Box“. Konsep Juke Box membolehkan universiti menjalinkan hubungan menyediakan kursus-kursus kepada pelajar masing-masing dengan menomborkan kursus seperti di juke box. Antara program-program usaha sama adalah seperti pertukaran pelajar, program ijazah berkembar, penyeliaan bersama, latihan industri, penempatan penyeliaan dan makmal bersama. (boleh rujuk laman web www.mohe.gov.my)
Untuk kita mudah memahami konsep juke box ini ialah pelajar boleh memilih mana-mana kursus yang mereka minat daripada mana-mana universiti di luar negara yang menjalinkan kerjasama ini. Jika kita lihat sistem yang ada sekarang ini, pelajar perlu mengambil kursus wajib dan elektif di universiti yang mereka belajar sahaja. Jika mereka menjadi penuntut di universiti A misalnya mereka tidak dibenarkan untuk mengambil kursus-kursus wajib dan elektif daripada universiti selain dari universiti A. Dengan sistem pendidikan “Juke Box” ini pelajar boleh menggarap kemahiran yang lebih baik.
Dunia kini menyaksikan banyak perubahan selepas pasca Covid-19. Teknologi telah membawa perubahan besar kepada dunia. Kalau sebelum ini kita hanya mengadakan pertemuan secara fizikal untuk pembelajaran, persidangan, mesyuarat, mengikut kursus dan latihan lagi tetapi kini kesemuanya ini dapat dilakukan secara atas talian yang dapat menjimatkan masa dan kos. Lama kelamaan perkara ini telah menjadi kelaziman kepada kita.
Namun, apa yang lebih penting ialah perubahan dari segi cara berfikir. Kita tidak lagi boleh menutup fikiran kita sekiranya kita ingin terus hidup dan bersaing dengan pelbagai budaya, agama, bangsa dan negara dari seluruh dunia. Negara-negara yang maju dari segi sains dan teknologi akan memberikan banyak peluang pekerjaan kepada rakyatnya apabila pelabur melabur di negara tersebut.
Sebagai contoh, negara Korea pada 60 tahun dahulu berada di belakang Malaysia dari segi negara maju tetapi kini mereka telah jauh ke hadapan dan begitu juga negara Vietnam dan Indonesia yang mana mereka kini sedang giat untuk memajukan negara mereka masing-masing walaupun sebelum ini mereka dikatakan berada di belakang Malaysia.
Jika kita lihat dari segi pelaburan negara asing Samsung dan Apple akan membuka kilang di Vietnam, Tesla membuka kilangnya di Indonesia manakala Amazon akan membuka pusat data “data centre’ di Indonesia. GRAB pula telah berpindah ke Singapura. Alibaba, Bytedance dan Tencent akan membuka ibu pejabat bagi Asia Tenggara di Singapura. Hyundai akan membuka kilang di Indonesia dan sebagainya. Maklumat ini boleh diperolehi melalui carian di media sosial yang mungkin ada kebenarannya.
Apa yang penting bagi pelabur ialah mereka hanya akan melabur pada negara yang stabil dari segi politik dari bebas dari rasuah. Sekiranya amalan rasuah bermaharajalela maka akhirnya negara akan tumbang dek kerana ketamakan nafsu untuk cepat menjadi kaya.
Mari kita imbas sejarah lalu mengenai Empayar Uthmaniyah. Kekuasaan empayar Uthmaniyah boleh dibahagikan kepada dua zaman. Zaman pertama ialah semasa berlakunya penaklukan dan perkembangan kuasa. Empayar Islam Uthmaniyah ini pernah menjajah negara Eropah dan Afrika Utara termasuklah Greece, Hungary, Albania, Armenia, Bosnia-Herzegovina, Bulgaria, Serbia, Kosovo, Arzebaijan, Crotia, Tunia, Libya, Mesir, Algeria serta negara lain.
Manakala, zaman kedua pula iaitu semasa struktur pentadbiran mula menunjukkan kelemahannya akibat perebutan kuasa dan rasuah iaitu dari tahun 1566. hingga 1924. Empayar Islam Turki Uthmaniyah yang hebat itu tamat pemerintahan pada tahun 1924. Bagaimana hebat pun sesebuah tamadun itu namun akibat rasuah dan perebutan kuasa tamadun yang hebat akhirnya hancur dan rakyat akan menjadi mangsa. Persoalannya, apakah kita kini berada pada zaman perebutan kuasa dan amalan rasuah?
Amat menyedihkan bagi kita apabila kita baca di media sosial bagaimana kes gejala rasuah berlaku daripada peringkat bawah hingga ke peringkat atasan yang mencecah berbilion-bilion ringgit. Rakyat menaruh harapan begitu tinggi agar Malaysia menjadi negara contoh negara Islam yang berintegriti.