Bahang menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan begitu terasa pada detik-detik ini. Banyak program yang dilaksanakan bagi meniup dan menyuntik semangat patriotik dalam diri rakyat Malaysia. Selanjutnya adalah amalan dan tindakan kita sendiri yang digerakkan oleh harga patriotisme individu terhadap tanah airnya.
Dalam istilah Arab, patriotisme disebut sebagai hubb al-watan dan Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa mencintai tanah air itu sebahagian daripada iman.
Hadis Rasul ini mempunyai pengertian yang sangat dalam kerana hubb al-watan atau patriotisme menjadikan seseorang mempunyai semangat yang tinggi untuk mempertahankan negaranya daripada sebarang anasir tidak baik sama ada yang berbentuk fizikal ataupun bukan fizikal.
Apabila negaranya dipertahankan, sekali gus bermakna dia mempertahankan agamanya, kerana keamanan akan membenarkan seseorang individu untuk menjalankan fungsinya yang sebenar sebagai khalifah Allah di muka bumi, sama ada untuk beribadah, mencari keselesaan hidup mahupun untuk bersosial.
Kita boleh menjadikan semangat patriotik yang perkasa dalam jiwa merdeka para sahabat sebagai contoh. Misalnya dalam peristiwa Peperangan Mu’tah dengan tentera Muslimin yang bilangan mereka hanya seramai 3,000 orang, terpaksa menentang tentera bersekutu Rom dan kabilah-kabilah Arab kafir yang berjumlah lebih 200,000 orang bala tentera.
Sebelum Rasulullah melepaskan tentera Muslimin yang dilindungi dan dirahmati Allah Rabb al-Jalil ini, Rasulullah mengarahkan agar Zaid bin Harithah mengetuai angkatan tentera Muslimin dan sekiranya Zaid gugur terkorban, maka tempat beliau akan diganti oleh Ja’far bin Abi Talib, saudara kepada Sayidina Ali bin Abi Talib. Tempat Ja’far akan diganti oleh Abdullah bin Rawahah sekiranya Ja’far turut mengikut jejak ketua-ketua turus sebelum beliau. Dan sekiranya Abdullah juga terkorban, maka seorang yang lain perlu dipilih untuk terus memimpin perjuangan dan menyemarakkan semangat jihad.
Dengan nisbah seorang melawan 67 orang, maka strategi melapiskan beberapa pemimpin ganti memang perlu dilakukan dan arahan Rasulullah ini dipatuhi tanpa sebarang pertikaian diiringi semangat patriotisme yang tinggi. Dengan takdir Allah, Zaid gugur dan amanat Rasulullah terus disambut oleh Ja’far.
Ja’far juga kemudiannya gugur dengan kedua-dua tangannya kudung. Waima kedua-dua tangannya dipotong musuh, pada saat-saat akhir beliau masih terus memeluk batang bendera simbol kedaulatan umat Islam daripada jatuh ke bumi dengan baki tangan yang telah kudung. Tubuh yang terputus dua dan kesan 50 tetakan akan menjadi saksi semangat jihad beliau di akhirat nanti.
Abdullah juga tidak kekal lama mengetuai angkatan pejuang Islam dan tugas beliau kemudiannya diambil alih oleh Khalid bin al-Walid yang dipersetujui oleh tentera Muslimin yang lain. Di bawah pimpinan Khalid yang bijaksana dan rahmat Allah, tentera Muslimin mencapai kemenangan.
Imbauan
Menyorot nilai patriotisme dalam suasana negara kita yang telah merdeka hampir setengah abad, ada baiknya untuk kita cuba meneroka puisi Negaraku Terbilang yang dicipta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Puisi yang merupakan satu penceritaan dan imbauan suatu nostalgia yang sewajarnya menjadi sejarah yang sangat memberi pengajaran kepada semua. Baik yang sama-sama melalui kenangan itu, atau bagi generasi yang sempat mendengar kenangan itu oleh orang yang mengalaminya.
Puisi ini menceritakan suasana zaman Abdullah semasa remaja, yang simbol-simbol modenisasi masih belum wujud apatah lagi untuk tersergam gagah dan indah. Kekayaan yang ada pada masa itu adalah kekayaan manusiawi yang sentiasa memaafkan dan memiliki jiwa yang merdeka.
Sayugia diingatkan bahawa kekayaan manusiawi ini bukan sebaliknya melambangkan datuk dan nenek kita sebagai bangsa yang dangkal pemikirannya, dan ia terserlah ketika memilih cara memperjuangkan kemerdekaan. Satu cara mempertahankan maruah diri yang “diwarisi tidak berkurang, yang dijaga tidak susut”.
Dalam situasi pada hari ini selepas 48 tahun negara ini merdeka sebenarnya, apa pun tindakan yang kita lakukan dan pilihan yang kita ambil, tanpa kita sedar ada harga dan nilainya pada sebuah patriotisme.
Sebagaimana dalam puisi Negara Kita, Kita Bina oleh Naib Canselor Universiti Malaya Datuk Prof. Dr. Hashim Yaakob yang antaranya menyebut, “jangan ada Sang Rajuna Tapa, membuka pintu kota… menderhaka”.
Sang Rajuna Tapa mungkin tidak ada pilihan ketika itu, didorong oleh kesedihan yang melampau akibat ceteknya pertimbangan dan keputusan sultan. Pada zaman moden ini, mungkin masih ada yang memilih sikap seperti Sang Rajuna Tapa, bahkan mungkin tanpa alasan munasabah.
Akibat tindakan Sang Rajuna, ramai rakyat yang sengsara dan negara hilang kedaulatan dan maruahnya. Ia juga boleh berlaku pada hari ini walaupun tanpa pertumpahan darah, dan sebenarnya penjajahan semula masih boleh berlaku sebagaimana yang berlaku di luar negara, kalau kita membenarkan untuk ia berlaku.
Jangan juga kita mengambil sikap seperti Abdullah bin Kaab bin Salul. Oleh sebab tidak dipilih menjadi pemimpin bagi masyarakat Madinah kerana yang dipilih ialah Muhammad bin Abdullah s.a.w. maka Abdullah sentiasa menjadi dalang dan duri dalam daging dalam usaha mempertahankan Madinah daripada musuh. Malah, ada ketikanya dia sangat berjaya mempengaruhi kaum Muslimin untuk tidak menyertai perjuangan mempertahankan agama dan negara.
Bentuk patriotisme pada hari ini mungkin tidak sama sebagaimana yang dibuktikan oleh Ja’far bin Abi Talib ataupun Zaid bin Harithah, tetapi negara tetap memerlukan rakyat yang memiliki jiwa seperti mereka. Iman dan akidah yang kukuh adalah asas bagi menjadikan diri sebagai pertahanan yang hakiki.
Semangat patriotik yang perkasa, perlu diserlahkan oleh diri setiap rakyat yang mengaku telah memiliki jiwa yang merdeka. Negara ini perlu diisi dengan tindakan-tindakan yang patriotik dan luhur. Sumbangan dan bakti kepada negara samalah nilainya dengan mempertahankan kemerdekaan negara.
Maka dalam suasana negara yang telah merdeka dari aspek fizikalnya, ketahanan dalam diri perlu ada bagi menangkis pengaruh-pengaruh dan idea-idea yang tidak sepadan dengan agama dan budaya kita yang selama ini dipertahankan. Budaya yang kita miliki perlu diperkukuhkan dengan suntikan nilai-nilai jati diri.
Semangat kesetiaan dan setia kawan juga perlu mengiringi budaya yang kukuh dan seterusnya kekukuhan budaya bangsa juga tidak akan bermakna sekiranya kita hanya dikenali sebagai bangsa yang miskin dan melarat.
Kita perlu berusaha menjadi `orang kaya’ sekiranya kita mahu dicontohi dan disegani. Oleh yang demikian, pembangunan ekonomi sangat penting untuk diberi perhatian kerana itu sebahagian daripada neraca utama untuk melihat sesebuah bangsa itu berjaya dan hebat.
Menyorot kembali usia kemerdekaan negara yang menghampiri usia setengah abad, maka semakin muda usia generasi baru maka semakin jauh duduknya dari bahang keperitan memperjuangkan kebebasan dan kedaulatan sebuah negara.
Maka tidak hairan sekiranya semangat patriotik bagi generasi pada hari ini sudah mula menyusut. Malah mereka tercari-cari erti patriotisme yang sebenar.
Dalam hal ini mungkin kita boleh mengambil pengajaran daripada pandangan Malik bin Nabi. Menurut beliau, penurunan kecemerlangan atau kemalapan zaman sesebuah tamadun itu memang tidak boleh dielakkan, dan dalam hal ini semangat yang berkobar-kobar dan patriotik mungkin kurang terserlah kerana bentuknya yang lebih abstrak.
Akan tetapi ia boleh dikekang dan penurunannya tidaklah sehingga bermaksud sebuah keruntuhan, sekiranya sesebuah bangsa atau rakyat negara itu sentiasa berusaha mengekalkan keunggulan peradaban yang dimiliki. Bagi beliau, pemikiran dan pendidikan adalah faktor yang dapat mengekang daripada runtuhnya sebuah peradaban yang telah terbina.
Maka, pemikiran yang disertai keinsafan tentang masa lalu dan keinsafan untuk terus menjadi rakyat yang berilmu adalah sumber kepada sebuah patriotisme yang jitu dan perkasa.
Maka puisi Negaraku Terbilang bukan sekadar nostalgia yang hanya mampu meredah zaman dan mengajak rakyat menyinggahi suasana pada zaman sebelum kemerdekaan, ia sebenarnya adalah khazanah yang perlu digali supaya rakyat benar-benar memahami suasana tersebut dan benar-benar menginsafi mengapa patriotisme perlu dibaja, dipelihara dan diperkasa sepanjang waktu, yang kemudiannya diwarisi untuk generasi selepas itu.