Demam pilihan raya semakin terasa di seluruh negara. Rata-rata topik perbincangan adalah tentang calon pilihan masing-masing, malah anak-anak sekolah pun sudah pandai berpolitik! Dalam kehangatan menghadapi suasana pilihan raya, kadangkala emosi menjadi tidak terkawal dan akibatnya tercetuslah pergaduhan serta permusuhan sesama sendiri.
Kes-kes kesalahan yang berkaitan pilihan raya pun sudah banyak berlaku di seluruh negara. Di Terengganu berlaku kes seorang penyokong politik telah diserang dengan kayu dan parang sehingga parah oleh sekumpulan penyokong parti politik lain. Ia berpunca daripada perebutan kawasan pemasangan bendera parti tersebut.
Di Negeri Sembilan, tujuh lelaki didakwa berkaitan satu kes gaduh di tempat awam sehingga menganggu ketenteraman awam mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan. Dua lagi didakwa di Pasir Putih, Kelantan kerana melakukan kesalahan yang sama dengan membaling kerusi dan memegang besi.
Dua lagi kes melibatkan kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menumbuk serta menyepak mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan menakutkan secara jenayah dengan menunjukkan parang ke arah pengadu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Sementara seorang lagi didakwa kerana melakukan khianat dengan mencabut bendera parti politik mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Selalunya pergaduhan dan keganasan ini berlaku bagi mereka yang terlibat dengan aktiviti pemasangan bahan kempen seperti kain rentang, bendera dan poster di sekitar kawasan masing-masing.
Agak memeranjatkan perkara seperti ini masih berlaku di kala negara sudah merdeka selama lebih 50 tahun. Sepatutnya umur sedemikian sudah cukup matang untuk membezakan mana yang baik dan mana yang buruk.
Perbezaan fahaman politik bukanlah alasan untuk bermusuh dan berbalah sesama sendiri. Agak malang jika kita terikut-ikut dengan emosi dan hasutan syaitan untuk bersengketa serta tidak bertegur sapa. Sepatutnya kita mengamalkan budaya menghormati pendapat dan pendirian masing-masing.
Sebagai orang Islam kita sebenarnya tidak perlu kepada undang-undang untuk mengawal tingkah laku. Umat Islam seharusnya sudah sedia maklum kepentingan menjaga jalinan ukhuwah serta tidak bermusuhan.
Bukankah umat Islam itu bersaudara dan harus saling menyayangi di antara satu sama lain. Bak kata pepatah Melayu, “Cubit peha kanan, peha kiri terasa sakit”. Rasulullah SAW juga pernah bersabda dalam hadithnya yang bermaksud:
“Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling cinta menyintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannyaaa” (Muntafaq ‘Alaih)
Sesama orang Islam yang tidak bertegur sapa selama tiga hari (kerana pergaduhan dan ingin memutuskan persaudaraan) adalah haram (berdosa). Rasulullah SAW bersabda “ Dan tidak halal bagi seorang Muslim itu meninggalkan (tidak bertegur sapa kerana pergaduhan) saudara seIslamnya lebih daripada tiga hari” (Riwayat Bukhari).
Perbuatan tidak bertegur sapa, menfitnah orang dan sebagainya boleh membawa kepada perpecahan yang akhirnya akan menjadikan umat Islam lemah. Pada hari ini umat Islam lemah kerana mererka tidak bersatu. Apabila umat Islam lemah, maka mudahlah musuh untuk menggerakkan jentera mereka.
Berbeza pendapat dan pandangan bukanlah alasan untuk bergaduh dan saling bermusuhan. Kita masih boleh berbincang dan berbeza pendapat dalam suasasa yang lebih berhemah dan harmoni. Ia juga mampu merangsang pemikiran dan membantu kita mengutarakan idea secara tersusun dan menyakinkan.
Bukankah itu lebih baik daripada bergaduh, mencederakan dan bertindak ganas hanya semata-mata kerana perbezaan pandangan politik. Sikap sedemikian amat memalukan, bukan sahaja terhadap orang yang bukan Islam tetapi juga kepada anak-anak yang cepat meniru perbuatan orang dewasa.
Sepatutnya kita yang menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Jangan pula kita terperanjat atau berpura-pura terperanjat jika anak menjadi ganas dan berlagak samseng di sekolah.
Fitrah manusia adalah saling perlu memerlukan serta lengkap melengkapi di antara satu sama lain. Tiada manusia yang boleh hidup bersendirian di dunia ini. Justeru jangan meninggi diri dan memandang hina orang lain.
Kesatuan ummah adalah teras demi menegakkan agama Islam. Berjuang di jalan Allah di atas landasan syariat, tidak bermatlamatkan dunia, bukan untuk kepentingan diri atau mana-mana pihak.
Sewajarnya umat Islam saling tolong menolong dan hormat menghormati di antara individu dan masyarakat walaupun saling berbeza fikrah dan pendapat. Jalinan ukhuwah yang terjalin dapat melenyapkan segala batas perbezaan serta tidak menyusah dan membebankan orang lain.
Kita khuatir kemurkaan Allah akan tiba terhadap hambanya yang terus terusan bermusuhan sesama sendiri. Pada saat turunnya bala, semua orang akan terkena tempiasnya dan bukannya terkena pada orang tertentu sahaja. Oleh itu nasihatkanlah kawan-kawan kita yang masih bersengketa serta tidak bertegur sapa hanya kerana perbezaan fahaman politik.