Pada bulan Mac saban tahun dunia meraikan tiga sambutan penting berkaitan dengan kelestarian alam iaitu Hari Hidupan Liar Sedunia, Hari Hutan Sedunia dan Hari Air Sedunia. Ketiga-tiga sambutan ini diraikan adalah bagi meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat dunia tentang kepentingan memelihara dan menjaga simbiosis komponen-komponen berkenaan yang saling berkait rapat antara satu sama lain.
Kesedaran tentang kepentingan memelihara ekosistem hutan, hidupan liar dan sumber air perlu diperkasakan dalam kalangan masyarakat dunia, sementelah ketiga-tiga komponen berkenaan kian diancam kemerosotan ekoran daripada sikap alpa dan tidak bertanggungjawab dalam kalangan segelintir kita pada hari ini. Buktinya, saban hari kita masih lagi didedahkan dengan isu-isu seperti pencerobohan ekosistem hutan, aktiviti pemburuan serta pemerdagangan hidupan liar, dan juga masalah pencemaran sumber air yang tiada kesudahan.
Justeru, kesedaran tentang simbiosis antara ekosistem hutan, hidupan liar dan sumber air perlu dipromosikan secara proaktif agar masyarakat dapat memahami dengan baik kepentingan menjaga kelangsungan komponen-komponen berkenaan bagi menjamin keseimbangan alam secara keseluruhannya. Misalnya, masyarakat perlu difahamkan bahawa ekosistem hutan mempunyai pengaruh yang besar terhadap kelestarian hidupan liar dan sumber air. Sekiranya ekosistem hutan musnah, maka ia akan turut mempengaruhi kelangsungan hidupan liar dan juga kelestarian bekalan air bersih.
Hal ini demikian adalah kerana ekosistem hutan merupakan habitat penting untuk hidupan liar bermandiri dan juga bertindak sebagai penuras yang menapis air hujan bagi memastikan air bersih dan jernih mengalir ke kawasan tadahan. Bekalan air bersih yang ditapis melalui ekosistem hutan bukan sahaja penting untuk kegunaan manusia, malahan juga untuk kelangsungan hidup kepelbagaian hidupan liar yang menghuninya. Ini secara jelas menunjukkan bahawa hutan melalui perkhidmatan ekosistem yang disediakan memainkan peranan yang sangat penting dalam menjamin kesejahteraan hidup manusia dan juga makhluk hidupan lain yang sama-sama berkongsi planet bumi.
Oleh itu, segala aktiviti seperti degradasi hutan, perubahan guna tanah, pencemaran sumber air, pemburuan dan perdagangan haram hidupan liar akan menyumbang kepada berlakunya kepupusan spesies flora dan fauna, meningkatan konflik manusia-hidupan liar serta menjejaskan potensi eko-pelancongan sesebuah negara. Justeru, melalui sambutan-sambutan penting yang berkait dengan ekosistem hutan, hidupan liar dan sumber air boleh mengingatkan masyarakat tentang keperluan untuk meningkatkan usaha bagi memerangi jenayah yang melibatkan komponen-komponen berkenaan yang telah memberi kesan besar ke atas keseimbangan alam dan ekosistem.
Menerusi tema-tema yang diketengahkan saban tahun diharap dapat memberi mesej yang jelas kepada masyarakat dunia untuk sama-sama menghayati kepentingan melindungi ekosistem hutan, hidupan liar dan juga sumber air melalui pelbagai program yang dianjurkan oleh pelbagai pihak sepanjang bulan Mac ini agar timbul kesedaran untuk segenap lapisan masyarakat dunia lebih mengambil tahu dan menghargai komponen-komponen berkenaan yang mungkin kurang diberi perhatian selama ini.
Apatah lagi, Islam sendiri sangat menekankan kepada kita selaku khalifah Allah SWT di atas muka bumi untuk menjaga dan melindungi alam sekitar dan segala komponen yang ada di dalamnya dengan sebaik mungkin. Terdapat beberapa prinsip penting yang digariskan oleh Islam sebagai panduan kepada kita bagi menangani masalah kemerosotan alam sekitar dan sumber-sumber yang ada di dalamnya.
Prinsip yang pertama adalah khalq atau penciptaan, yakni kesedaran bahawa semua sumber yang ada di atas muka bumi untuk kegunaan kita adalah mempunyai Penciptanya, dan kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengeksploitasi sumber alam yang terhad ini dengan sesuka hati. Sebaliknya, kita harus berusaha untuk mengunakannya dengan penuh berhemah dan lestari agar tidak mengundang kemerosotan atau kemusnahan ke atas sumber-sumber berkenaan.
Prinsip yang kedua adalah khalifah, yakni kita memainkan peranan sebagai pemegang amanah dan juga penjaga kepada alam sekitar dan segala komponen yang ada di atas di dalamnya. Justeru, segala kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita selaku khalifah akan dipertanggungjawabkan di atas segala tindak tanduk kita sama ada baik atau buruk di akhirat kelak.
Prinsip yang ketiga adalah mizan atau keseimbangan, yakni segala aktiviti pembangunan yang hendak dilaksanakan menerusi penggunaan sumber alam hendaklah dipastikan tidak mengganggu gugat keseimbangan alam yang Allah SWT ciptakan bagi mengelakkan berlakunya sebarang bentuk kemusnahan terhadap alam sekitar dan ekosistem.
Peringatan ini telah dinukilkan dengan jelas di dalam Firman-Nya yang bermaksud: “Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib. Ia berkata: ‘Wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya; dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman”.
Seterusnya, prinsip yang terakhir adalah syukur, yakni bersyukur di atas segala nikmat alam dan segala komponen yang ada di dalamnya yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk kegunaan kita bagi meneruskan kelangsungan hidup. Justeru, kita sewajarnya menjaga dan melindungi alam sekitar dan segala komponen yang ada di dalamnya dengan sebaik mungkin yang merupakan hak yang perlu kita kembalikan kepada generasi akan datang.