Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Di antara kebahagiaan hidup seseorang itu ialah mempunyai isteri yang baik, kediaman yang baik dan kenderaan yang baik” (Riwayat Imam Ahmad). Maka, memiliki kesemua ini menjadi idaman setiap ketua keluarga.
Pasangan suami-isteri yang berkahwin akan berusaha untuk memiliki kediaman sendiri mengikut kemampuan masing-masing. Rumah kos rendah, menengah atau mewah, bukan ukuran kasih sayang. Yang penting, ahli keluarga mendapat tempat berteduh yang selesa, yang merupakan satu tuntutan agama.
Kebanyakan ahli masyarakat membeli rumah secara berhutang. Jika dikira dengan kadar faedahnya, ternyata membeli rumah merupakan satu pelaburan yang besar bagi seseorang, walaupun ia hanya membeli rumah kos rendah. Malangnya, bagi sesetengah orang, pelaburan yang besar ini tidak memberikan pulangan yang diharapkan.
Ada rumah yang dindingnya retak setelah beberapa bulan diduduki; ada rumah yang didirikan begitu hampir dengan lereng bukit; ada rumah yang atapnya bocor; ada rumah yang lifnya rosak; dan sebagainya. Dalam kata-kata lain, setelah membayar lebih dari RM35 ribu, mereka mendapat rumah yang tidak bermutu. Malah, rumah yang diharapkan menjadi tempat berlindung dari panas dan hujan kini menjadi punca rasa kurang senang dan kebimbangan. Malah, ia mungkin membahayakan seluruh ahli keluarga. Ini belum dikira mereka yang tidak langsung dapat mendiami rumah idaman kerana projek perumahan itu terbengkalai.
Suatu ketika dahulu, aduan mengenai rumah yang tidak bermutu ini datangnya dari mereka yang membelli rumah kos rendah. Walaupun ini tidak patut berlaku, namun, ada pemaju yang memberi alasan bahawa dengan kos yang semakin meningkat, itulah mutu rumah yang boleh disediakan.
Kemudian, aduan seumpama ini datang dari mereka yang membeli rumah kos sederhana pula. Makin lama, aduan dari golongan ini pun telah lali kita dengar.
Baru-baru ini, media mengenengahkan ketidakpuasan hati pemilik rumah yang berharga RM250,000 ke atas. Aduan ini mengejutkan kita apatah lagi bila mengenangkan betapa semakin tidak jujur dan berakhlaknya pemaju perumahan di negara ini. Jika harga yang sedemikian mahal pun bukan jaminan untuk mendapat rumah yang bermutu, apakah harapan yang ada pada mereka yang membeli rumah yang lebih murah daripada itu?
Kerajaan perlu berperanan untuk memastikan ahli masyarakat mendapat rumah yang bermutu. Dalam usaha untuk memastikan semua rakyat memiliki sebuah rumah, mutu rumah yang disediakan itu juga perlulah diutamakan. Bagi kebanyakan ahli masyarakat, itulah satu-satunya rumah yang mereka miliki. Betapa kecewanya mereka apabila mendapati pelaburan ribuan ringgit yang telah dibuat itu tidak memberikan pulangan seperti yang diharapkan.
Dinding yang retak, atap yang bocor, berlakunya resapan air di dinding serta tanah tiba-tiba jerlus beberapa meter dari rumah adalah keadaan yang tidak memenuhi ciri-ciri rumah yang sesuai untuk didiami.
Mereka yang memiliki rumah yang seperti ini biasanya akan membuat aduan kepada pemaju. Bila aduan itu tidak diendahkan, mereka mungkin mengadu kepada pihak berwajib. Bila itu juga tidak diendahkan, akhirnya mereka mengenegahkan masalah mereka kepada media. Aduan ke media ini ada kalanya berjaya membuatkan pemaju membaiki keadaan tetapi ada kalnya gagal juga. Namun, semua ini akan dapat dielakkan jika dari mula lagi para pemaju melaksanakan tanggungjawab mereka dengan jujur dan amanah, serta diawasi oleh pihak kerajaan. Sekiranya timbul masalah sekalipun, mereka sepatutnya menyelesaikan masalah itu dengan penuh tanggungjawab.
Perkembangan mutakhir ini menyaksikan betapa pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan memberi perhatian kepada betapa pentingnya ahli masyarakat mengetahui hak mereka sebagai pengguna agar mereka tidak tertipu ketika membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan. Namun, dalam keghairahan kita mengingatkan para pengguna untuk menjadi pengguna yang bijak, kita terlepas pandang untuk mengingatkan pihak yang satu lagi – para pengeluar dan penjual barangan dan perkhidmatan – untuk menjadi pengeluar dan penjual yang jujur, amanah dan bertanggungjawab.
Akibatnya, para pengguna kerapkali berhadapan dengan pelbagai masalah, kesulitan dan kerugian sedangkan para pengeluar dan penjual sentiasa mendapat untung. Untuk menyeimbangkan keadaan, kita terpaksa mewujudkan tribunal pengguna untuk mendengar kes-kes tertentu, khususnya bagi pengguna yang sanggup melalui segala prosedur yang perlu, sedangkan sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi, ditekankan agar penjual ( atau pemberi perkhidmatan) berlaku jujur terhadap pelanggannya.
Dari sudut pandangan Islam, menjadi pemaju perumahan adalah satu fardu kifayah kerana tugasnya untuk membina rumah kediaman yang merupakan keperluan asas ahli masyarakat. Satu lagi tuntutan yang wajib dipenuhi ialah melahirkan pemaju perumahan yang jujur, beramanah, bertanggungjawab serta berakhlak. Memenuhi ciri-ciri ini memanglah sukar dan akan mengecilkan jumlah keuntungan yang boleh dikaut. Namun, pemaju perumahan yang berjaya dari sudut pandangan Islam tidak diukur pada keuntungan yang dikaut semata-mata. Sebaliknya, ia diukur pada kejayaannya memenuhi ciri-ciri tadi yang akhirnya membawa kepada keberkatan serta keredhaan Allah dalam kehidupannya dan keluarganya.