Hampir saban hari termuat di dada akhbar negara kita berita kemalangan yang meragut nyawa, dan kadar kemalangan ini terus meningkat dari tahun ke tahun. Keadaan ini menjadi lebih parah lagi apabila menjelangnya hari-hari perayaan, seolah-olah musim perayaan itu menjadi perangkap maut yang hanya menunggu untuk membaham mangsa. Walaupun pelbagai iklan keselamatan jalanraya dipaparkan, kempen diperhebatkan, pemantauan pihak berkuasa diperketatkan namun masalah kemalangan jalanraya terus berlaku seolah-olah seperti tiada penyudahnya. Apakah yang sebenarnya berlaku?
Jumlah kemalangan sebenarnya dapat diturunkan kepada kadar yang paling rendah apabila melihatkan kepada pembinaan lebuhraya bertaraf dunia yang telah dibina untuk kemudahan masyarakat kita di Malaysia. Apatah lagi ianya dibina untuk memudah dan meringankan bebanan pemanduan dan sepatutnya boleh mengatasi gejala kemalangan yang menakutkan semua orang. Dengan tidak menafikan ciri kenderaan itu sendiri serta kekurangan yang masih ada kepada jalanraya-jalanraya di Malaysia seperti jalan-jalan rosak yang tidak diperbaiki, tanda amaran lalu lintas yang tidak mencukupi, kekurangan lampu isyarat di simpang-simpang jalan, namun apa yang menjadi kebimbanganan dan keprihatinan kita ialah mengenai sikap pemandu-pemandu yang terdapat di negara ini.
Sikap pemandu yang tidak bertimbangrasa dan berhemah di jalanraya adalah merupakan penyumbang utama kemalangan jalanraya di negara kita. Kajian yang telah dibuat oleh Majlis Keselamatan Jalanraya menunjukkan lebih 90 peratus kemalangan di negara ini berpunca daripada sikap yang sebegini. Memandu secara berbahaya, terlalu laju dan kecuaian pemandu adalah antara sikap yang ditunjukkan oleh pemandu-pemandu yang tidak berhemah dan saban tahun inilah punca terbesar yang dicatitkan dalam angka kemalangan jalanraya di negara kita. Walaupun masyarakat Malaysia terkenal dengan sikap sopan santun dan budi bahasa yang tinggi, namun di saat kita memandu kenderaan, sikap kita berubah menjadi panas baran, hilang pertimbangan, suka memaki hamun, sanggup bergaduh dan pelbagai macam kerendahan akhlak yang dipamerkan ketika di jalanraya. Tidak hairanlah jika dibandingkan dengan negara-negara ASEAN yang lain, negara kita mencapai kadar kemalangan yang tinggi meskipun nisbah orang dan kenderaan tidaklah begitu besar berbanding beberapa buah negara lain.
Kita mungkin beralasan bahawa angka korban jalanraya di negara kita masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara seperti China, India, Pakistan dan Bangladesh. Tetapi adakah alasan kita itu cukup kukuh untuk membandingkan kita dengan rakyat di negara-negara tersebut yang sebahagian besarnya bergantung hidup kepada kenderaan awam yang dipandu oleh orang lain. Di Malaysia, kehidupan kita kini sebahagian besarnya mampu untuk memiliki kenderaan sendiri, memandu sendiri dan berupaya untuk memilih corak pemanduannya sendiri. Pendek kata, tahap keselamatan di jalanraya juga boleh ditentukan oleh kita sendiri berdasarkan kepada cara dan sikap pemanduan yang kita pilih.
Malangnya sikap pemandu kita suka mengambil mudah hal-hal yang berkaitan dengan keselamatan dan berasakan seolah-olah kemalangan tidak akan menimpa mereka. Budaya biar lambat asal selamat sudah tidak ada lagi dalam kamus hidup manusia moden masa kini kerana segala-galanya mestilah cepat dan segera. Apabila budaya cepat dan segera ini terpahat dalam pemikiran kita dan juga digunapakai ketika memandu, maka akan lahirlah manusia yang akan memandu kenderaannya sesedap rasa dan lupa keselamatan diri, keselamatan orang lain dan kesedihan yang akan ditanggung oleh kaum keluarga yang terlibat. Tambah menyedihkan lagi keadaan ini ialah apabila menebalnya sikap sombong dan takabbur di kalangan pemilik kenderaan yang seolah-olah apabila berada di dalam kenderaan, maka dunia ini akulah yang punya.
Apakah puncanya? Ada yang berpandangan perkara ini bermula dari sekolah memandu lagi sebelum mereka mendapat lesen memandu. Adakah ini bererti kaedah di sekolah memandu tidak berkesan untuk melahirkan pemandu berhemah dan bertimbangrasa, atau pemandu sendiri yang tidak bertanggungjawab?
Di Malaysia, peraturan telah mewajibkan calon lesen memandu mengikut panduan pembelajaran Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) yang merangkumi ceramah di institut memandu, menduduki ujian undang-undang bagi mendapatkan lesen L, mengikuti ceramah teori dan praktikal, latihan memandu di jalanraya, ujian tahap kemahiran dan seterusnya menjalani ujian kemahiran memandu di jalanraya.
Dalam KPP tidak kurang daripada tujuh modul disediakan untuk panduan pengguna jalanraya, iaitu panduan peraturan jalanraya, pemanduan berhemah, pemanduan dalam pelbagai keadaan, keperluan kesihatan dan keselamatan pemandu, undang-undang dan kesalahan pemandu, serta peraturan dan undang-undang mengenai penunggang motosikal. Modul-modul ini dirangka berdasarkan kepada KPP yang digunapakai dari New Zealand, Australia dan Singapura. Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMM) menyifatkan modul-modul ini adalah antara himpunan kaedah yang terbaik bagi menyediakan ilmu pemanduan asas lengkap kepada seorang pemandu.
Namun hakikatnya, kadar kemalangan yang berlaku saban tahun terutamanya ketika menyambut perayaan-perayaan tertentu terus meningkat, sekaligus turut mempersoalkan kewibawaan pemegang lesen memandu tidak kira mereka yang di bawah lulusan sistem KPP ataupun lulusan sistem yang terdahulu. Apakah yang sebenarnya berlaku? Adakah modul yang disediakan oleh KPP terlalu sukar untuk difahami? Adakah tenaga pengajar dan penceramah di institut memandu sekadar tangkap muat dan hanya mementingkan keuntungan? Atau adakah kurangnya kawal selia dan penguatkuasaan daripada badan-badan berkaitan? Atau terpulang kepada sejauh mana tahap pengawalan diri pemandu ketika berada di jalanraya.
Bagi kita orang Islam apabila bercakap mengenai pengawalan diri maka hal ini berkait rapat dengan persoalan akhlak. Dalam pada ini maka apa yang ingin diketengahkan ialah bagaimana akhlak Islam dapat membentuk pemanduan berhemah dan melahirkan pemandu yang bertimbangrasa apabila berada di jalanraya.
Penghayatan akhlak yang mulia adalah satu tuntutan dalam agama dan hal ini boleh dirujuk sama ada di dalam al Qu’ran ataupun daripada sunnah Rasulullah s.a.w. Menurut tafsiran agama Islam, ‘perbuatan yang baik’ (af’al al khayr) atau ‘kebaikan’ (al khayr) adalah merujuk kepada setiap perbuatan atau perilaku yang menghasilkan kebaikan. Begitu juga ianya merujuk kepada perbuatan yang boleh menghalang berlakunya kemudaratan, dan hal ini wajib dilaksanakan oleh setiap mukmin demi mencari keredaan Allah s.w.t.
Berdasarkan kepada takrif ini, jelas menunjukkan bahawa ruang lingkup ‘perbuatan yang baik’ dan ‘menghalang dari berlakunya kemudaratan’ itu sangat luas sekali. Apabila definisi dan kefahaman ini diterjemahkan ke dalam suasana akhlak pemanduan kenderaan, maka pastinya ia merujuk kepada kualiti pemanduan yang terbaik yang dapat ditafsirkan sebagai pemandu yang sangat bertimbangrasa, berhemah tinggi, bertolak ansur, prihatin, bersopan santun, mengutamakan keselamatan diri dan orang lain, dan sentiasa berusaha mengelak daripada berlakunya perkara-perkara yang tidak dingini.
Inilah yang sebenarnya ingin ditanam ke dalam setiap sanubari pemandu di negara kita. Iaitu pemandu yang dapat menilai antara kebaikan dan kemudaratan, antara untung dan rugi, dan juga pemandu yang bertanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.
Apabila suasana pemanduan yang diasaskan kepada akhlak Islam yang sebegini dapat diwujudkan maka tidak mustahil jalanraya yang terdapat di tanahair kita akan merupakan jalanraya yang paling selamat untuk digunakan. Oleh itu di saat kita menghadapi masalah kadar kemalangan jalanraya yang tinggi akibat daripada sikap pemandu yang tidak bertanggungjawab, maka wajar bagi kita menilai semula peranan akhlak Islam yang dapat memainkan peranan yang cukup penting untuk membentuk sikap dan perilaku mulia di kalangan pemandu-pemandu di tanahair kita ini. Sesungguhnya kita amat yakin bahawa pemanduan yang berasaskan kepada budi pekerti dan akhlak dapat melahirkan pemandu yang berhemah dan bertimbangrasa serta ianya merupakan cerminan kepada amalan budaya bangsa yang mempunyai peradaban dan tamadun yang tinggi.