Sabtu lalu, sekali lagi negara dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat. Lebih menyayat hati apabila tragedi pada kali ini telah mengakibatkan 16 nyawa tidak berdosa terkorban. Menyoroti kejadian tanah runtuh yang berlaku di Malaysia, ia bukanlah kali pertama. Malah, kejadian tanah runtuh pada kali ini mengingatkan kita kembali kepada beberapa tragedi yang pernah berlaku sebelum ini termasuk runtuhan kondominium Highland Towers di Hulu Klang yang telah meragut 48 nyawa pada tahun 1993; kejadian tanah runtuh di jalan susur masuk ke Genting Highlands yang mengorbankan 20 nyawa pada tahun 1995; dan kejadian 14 banglo ranap di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa pada tahun 2008 yang meragut 4 nyawa.
Apabila tragedi seumpama ini berulang lagi, timbul persoalan kepada kita di manakah janji pihak-pihak berkepakaran untuk mencari penyelesaian konkrit agar kejadian sama tidak berulang setiap kali selepas sesuatu insiden tanah runtuh berlaku? Malah, setiap kali terjadinya sesuatu insiden tanah runtuh yang mengorbankan nyawa pastinya kita mendengar pelbagai usulan, cadangan, langkah dan pemantauan dari semasa ke semasa yang dijanjikan bagi mengelak insiden seumpama ini berulang. Namun, ia hanyalah bersifat sementara dan dilihat sebagai ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja apabila semua yang dicanang hanya sekadar berlegar dibibir semasa kejadian masih lagi ‘panas’ dan semakin dilupakan apabila ia berlalu dan reda.
Natijahnya, sekali lagi kita menyaksikan nyawa menjadi taruhan dek sikap sambil lewa pihak-pihak berwajib dalam memastikan kawasan-kawasan yang berisiko tinggi sentiasa di bawah pemantauan dan tindakan awal dapat diambil agar tragedi seumpama ini dapat dielak. Dalam hal ini, pihak-pihak berwajib seharusnya sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab moral terhadap rakyat yang seharusnya dilunaskan dengan sebaik mungkin. Oleh yang demikian, mereka perlu memastikan setiap tindakan yang diambil adalah serius dan untuk jangka panjang bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin.
Selain itu, pihak berwajib juga perlu peka dan tidak memandang enteng apabila sesuatu aduan dibuat oleh penduduk. Sebaliknya, mereka harus bertindak pantas mengkaji dan mencari penyelesaian kepada segala permasalahan yang timbul. Bahkan, pihak berwajib yang mengawal dan menguruskan pembangunan di kawasan tanah tinggi juga sepatutnya lebih prihatin serta mengambil langkah awal pencegahan dan pengawalan, bukan pemulihan sesudah berlakunya sesuatu tragedi. Ini penting kerana dengan tindakan awal yang diambil ia mungkin mampu mengelak daripada berlakunya sebarang malapetaka yang boleh mengundang bahaya kepada penduduk sekitar. Apa yang begitu penting, sebelum meluluskan setiap pembangunan di kawasan berisiko tinggi, ia perlulah mengambilkira kriteria-kriteria yang sepatutnya dan berpandukan kepada garis panduan serta syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pakar geologi.
Begitu juga dengan proses sebelum membina sesebuah bangunan, antara perkara utama yang perlu diberi perhatian dan dititikberatkan ialah mengkaji terlebih dahulu pelbagai aspek keselamatan secara menyeluruh untuk jangka panjang. Malah, semua pembangunan di kawasan tanah tinggi perlu diteliti kerana kegagalan dalam aspek ini akan mengakibatkan penempatan di kawasan berkenaan menjadi umpama ‘bom jangka’ yang boleh meledak pada bila-bila masa hingga mengakibatkan kehilangan banyak nyawa. Sebagai langkah kawalan, semua kawasan pembangunan sedia ada yang dibina di pinggir-pinggir dan lereng-lereng bukit perlu ditinjau semula, dinilai tahap keselamatan dan diklasifikasikan sama ada ia berada pada tahap berisiko, kurang berisiko atau selamat. Ini untuk memudahkan pemantauan dari semasa ke semasa dibuat bagi mengelakkan sebarang tragedi lebih buruk berlaku pada masa akan datang.
Antara punca yang dilaporkan mengakibatkan berlakunya kejadian tanah runtuh di Hulu Langat adalah disebabkan jumlah hujan luar biasa yang berlaku pada hari kejadian iaitu 80 milimeter (jumlah normal adalah sekitar 20 milimeter). Apabila situasi sedemikian berlaku ia menyebabkan struktur tanah menjadi lemah dan longgar yang seterusnya boleh runtuh pada bila-bila masa. Di samping itu, kerja-kerja pembersihan hutan di sekitar lokasi kejadian juga turut menjadi faktor penyumbang kepada insiden berkenaan. Sedangkan sepatutnya kerja-kerja pemotongan hutan tersebut seharusnya dielak dan dicegah dari awal agar dapat menjadi penyokong bagi menguatkan lagi struktur tanah di kawasan berkenaan. Namun, tiada apa yang perlu dikesali lagi kerana ibarat kata pepatah, “nasi sudah menjadi bubur.” Apa yang penting, kejadian ini harus dijadikan pengajaran untuk kita bermuhasabah diri dan kembali kepada saranan Islam yang sebenar-benarnya dalam aspek penjagaan alam sekitar.
Dalam konteks penjagaan alam sekitar, al-Quran dan sunnah telah memberi penekanan yang serius dan garis panduan yang jelas agar alam sekitar diurus dengan penuh bijaksana. Malah, aspek pelestarian dan kepentingan alam sekitar telah dinukilkan secara tersirat dan tersurat di dalam banyak ayat al-Quran dan hadis. Antaranya Allah SWT telah berfirman di dalam surah ali-Imran, ayat 191 yang bermaksud: “…(iaitu) orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan mengenai penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, peliharalah kami daripada seksa neraka.” Daripada ayat tersebut, jelas menunjukkan bahawa alam tabii dan segala komponen yang ada di dalamnya merupakan tanda kebesaran Allah SWT yang Maha Pencipta. Justeru, orang-orang yang beriman akan sentiasa berusaha menjaga alam sekitar agar sentiasa bersih dan terpelihara daripada segala kepincangan dan kemusnahan.
Begitu juga dengan dasar-dasar murni yang telah digagaskan oleh Islam, antara lainnya ialah bagi memandu dan memimpin individu muslim agar lebih beretika dan berakhlak terpuji dalam memainkan peranan serta menjalankan muamalah secara positif dengan alam sekitar supaya warisan tersebut tidak pupus atau lenyap dek tangan-tangan rakus manusia. Ini penting kerana jika sikap menyayangi dan memelihara alam sekitar ini tidak tersemai kukuh dalam jiwa setiap individu muslim, ia pastinya bakal mengundang kemusnahan dan musibah yang lebih hebat lagi. Dan pastinya musibah tersebut kelak akan menimpa diri kita sendiri dan anak cucu kita pada masa akan datang.
Hal ini telah ditegaskan oleh Allah SWT dengan jelas dalam surah al-Rum, ayat 41 yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
Oleh yang demikian, tindakan yang sewajarnya dilakukan oleh umat Islam adalah kembali kepada ajaran Islam yang sebenar-benarnya dan tinggalkan budaya serta gaya hidup yang jauh menyimpang daripada ajaran Islam dan syariat-Nya. Apalah gunanya kita mengejar wang ringgit semata-mata, jika kita terpaksa korbankan nikmat alam sekitar yang tiada galang gantinya kepada kita.
Justeru, sama-samalah kita muhasabah diri dan anggaplah musibah ini sebagai pengajaran berguna kepada kita untuk kita fikirkan serta pelajari daripada kesilapan-kesilapan lepas agar kita lebih menghargai satu-satunya bumi tunggal yang dipinjamkan kepada kita. Semua yang berlaku mungkin sebagai peringatan daripada Allah agar kita tidak terus lalai dan leka terhadap peranan kita selaku hamba dan khalifah yang ditugaskan untuk menjaga dan memakmurkan alam dengan sebaik-baiknya. Di dalam surah al-Anbiya’, ayat 31 Allah SWT telah menegaskan bahawa fungsi sebenar gunung-ganang dan bukit-bukau adalah sebagai pasak bumi. Justeru, perbuatan meneres kawasan bukit-bukau sesuka hati tanpa kawalan dan sempadan akan mengakibatkan berlakunya ketikseimbangan terhadap muka bumi yang akhirnya boleh mengundang padah kepada kita sendiri.
Dalam masa yang sama, kita juga seharusnya menyedari bahawa hakikat sistem keseimbangan dalam alam sekitar telah diprogramkan dengan begitu sempurna oleh Maha Pencipta (Allah SWT) yang setiap satu komponen di dalamnya memainkan peranan dan fungsi masing-masing. Justeru, jika satu komponen tergugat pastinya ia akan turut menjejaskan komponen yang lain. Oleh itu, dalam ketaksuban kita mengejar pembangunan, janganlah kita sekali-kali mengabaikan norma-norma kemanusiaan serta perasaan ihsan sesama insan bahkan juga terhadap alam sekitar seluruhnya.
Perlu kita ingat bahawa perbuatan merosakkan alam sekitar adalah sama seperti kita menafikan sikap adil dan ihsan, sedangkan kedua-dua sikap ini merupakan perintah Allah yang perlu kita laksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab. Malah, perbuatan mencemar dan merosakkan alam sekitar juga dianggap sebagai menodai fungsi kekhalifahan yang telah diamanahkan kepada kita. Ini memandangkan, bumi bukan milik mutlak kita untuk kita berbuat sesuka hati. Sebaliknya ia adalah milik Allah yang dipinjamkan sementara kepada kita serta dituntut untuk kita menjaganya dengan sebaik mungkin. Oleh itu, janganlah kita sekali-kali bertindak melampaui batas terhadap alam seolah-olah ia tidak dihisab dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.