Persoalan pokok dalam pembangunan Islam ialah manusia dengan segala kemaslahatannya. Hal ini mencakupi bidang yang amat luas; tersimpul dalam kewujudan dan peranan manusia itu sendiri sebagai hamba dan khalifah Allah. Berpunca dari tanah lumpur yang kotor yang ditiupkan roh oleh Allah, manusia wujud dalam dua dimensi – rohani dan jasmani.
Manusia diberi hak untuk memilih antara perkara yang diredhai Allah dengan perkara yang dimurkai Allah. Kalau manusia dibangunkan dengan proses yang betul dan memilih setiap urusan hidupnya yang diredhai Allah, maka manusia itu berhak menerima ganjaran-ganjaran daripada Allah dan terbukalah jalan untuknya menuju ke arah peningkatan ke tahap-tahap muhsin, mumin dan muttaqi. Sebaliknya, kalau manusia dibangunkan dengan proses yang salah. Maka tergolonglah manusia itu dalam tahap-tahap zalim, fasik, munafik dan kafir.
Apa yang jelas di sini ialah Islam membangunkan insan yang berada di dalam ummah terlebih dahulu sebelum pembangunan urusan ummah yang lain seperti pembangunan ekonomi, pembangunan kebudayaan, pembangunan pentadbiran, pembangunan politik dan serba yang lain dalam aktiviti hidup manusia.
Proses pembangunan insan seumpama ini telah diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri sewaktu 13 tahun di Mekah dalam proses pembangunan ummah dan sepuluh tahun di Madinah dalam proses membangunkan urusan ummah yang lain.
Hal ini amat jauh bezanya dengan proses pembangunan mengikut sistem liberal; baik sistem kapitalis mahupun sistem sosialis dan lain-lain yang bukan Islam. Dalam sistem-sistem ini pembangunan bertolak terus dari pembangunan urusan keperluan duniawi manusia semata-mata. Akibatnya banyaklah yang menimbulkan keadaan kucar-kacir dan tidak seimbang dalam perkembangan hidup manusia.
Sistem-sistem pembangunan ini menafikan kepentingan agama dalam proses pembangunannya; malah kalau mengikut beberapa teori dan falsafah tokoh-tokoh tertentu, agama adalah penghalang besar dalam sebarang proses pemodenan dan pembangunan.
Di tanah air kita ini pembangunan dalam banyak aspek amatlah pesat. Meskipun kita bercita-cita dan telah berusaha lebih dua puluh tahun untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam semua aspek pembangunan namun pada dasarnya kita masih gagal mencapai cita-cita tersebut.
Hal ini mungkin disebabkan kita masih mengutamakan pembangunan urusan duniawi manusia semata-mata daripada pembangunan dalam diri manusia itu sendiri. Kita cuba membangunkan ekonomi Islam tanpa terlebih dahulu membangunkan ahli ekonomi supaya mengenal diri sebagai seorang Muslim dalam erti kata yang sebenarnya.
Kita cuba membangunkan pentadbiran cara Islam tanpa terlebih dahulu membangunkan hati pentadbir-pentadbir itu supaya benar-benar mengenal dirinya dan takut kepada Allah.
Masih ramai di kalangan kita yang tidak mengenali asal usul kita, kedudukan kita, fitrah kita, kemampuan, martabat, fungsi, halal dan haram, serta nasib kita mengikut Islam. Oleh sebab tidak kenallah, kita masih tidak cintakan Islam. Masih ramai yang tidak takut kepada Allah.
Akibatnya seiring dengan pembangunan keperluan manusia yang diredhai oleh Allah, kita juga melahirkan manusia yang dimurkai oleh Allah. Umpamanya di samping kita cuba menghapuskan rasuah, kegiatan rasuah terus meningkat, dan begitu juga jumlah peningkatan penagih dadah berada pada tahap yang membimbangkan.
Kita memperhebatkan pembangunan manusia tetapi selari dengan itu secara tidak langsung kita memperhebatkan juga sifat-sifat keji di kalangan kita seperti sering menodai suruhan Allah, pendendam, iri hati, pendengki, penipu, gemar pujian, suka memberi kenyataan-kenyataan kosong, cinta dunia secara berlebihan, mudah terpesona dengan kegemilangan dan kegemercingan Barat dan sebagainya.
Kita cuba mengamalkan konsep cekap, bersih dan amanah tetapi oleh kerana masih terdapat segolongan kita yang masih belum takut kepada Allah, maka matlamat kita masih belum tercapai. Demikianlah persoalan pembangunan ummah yang penting untuk dijadikan dasar dalam pembangunan-pembangunan yang lain.
Tujuan utama Islam dalam pembangunan ummah dapat disimpulkan dalam istilah al-falah, iaitu kebahagiaan atau kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Islam membangunkan seluruh potensi semula jadi manusia secara bersepadu dan seimbang.
Dengan kesepaduan dan keseimbangan ini diharapkan terbentuklah individu dan masyarakat yang sentiasa menyedari dirinya sebagai hamba dan khalifah Allah dan bertindak secara serentak dalam hal keimanan kepada Allah dan beramal untuk kebajikan serta faedah semua makhluk. Dengan kesedaran dan tindakan inilah akan membawa manusia ke tahap hasanah fid-dunya dan hasanah fil-akhirah yang menjadi tujuan utama Islam membangunkan ummah.
Manusia hasil daripada pembangunan ini adalah manusia yang insaf tentang kedudukannya sebagai khalifah dan hamba Allah. Manusia insaf yang bertindak atas dasar kebenaran, kebaikan dan keindahan; baik yang terkandung dalam akidahnya, ibadahnya, sistem akhlaknya dan juga syariatnya.
Manusia hasil daripada pembangunan ini juga akan tegak sebagai benteng terhadap berbagai ideologi dan teori pembangunan yang berlawanan dengan pandangan hidup Tauhid.
Manusia hasil daripada pembangunan inilah kelak melahirkan ketenteraman jiwa pada diri masing-masing, melahirkan keluarga bahagia mengikut ciri-ciri kekeluargaan Islam dan mewujudkan masyarakat yang harmonis dan tahu membawa diri di mana sahaja dan seterusnya melahirkan kelompok-kelompok ummah yang lebih besar sesuai dengan nilai-nilai Islam.
Tujuan pembangunan ummah mengikut Islam ini amat jauh bezanya dengan tujuan pembangunan liberal.
Pertamanya, pembangunan liberal mengabaikan tuntutan utama ummah iaitu pembangunan rohaninya. Kedua, pembangunan liberal menumpukan kegiatan-kegiatan hanya kepada pembangunan fizikal dan kuantitatif sahaja.
Akibatnya, pembangunan jenis ini dengan sifat sombongnya menganggap dirinya kuasa raksasa yang bukan sahaja menguasai dan menakluki dunia tetapi kini banyak yang memerangi alam yang seterusnya mengakibatkan berbagai bencana yang menghakis alam dan kemanusiaan.