Awal Ramadan lepas, penulis menerima satu rakaman video pendek yang memaparkan temuramah bersama seorang kanak-kanak pelarian Syria. Ketika wartawan bertanyakan soalan “adakah anda sudah makan?,” tanpa jawapan, anak kecil itu hanya mengalirkan air matanya.
Tangisan si kecil ini menceritakan sebuah kisah yang menyedihkan. Di sesetengah tempat, ada Muslim yang berjuang untuk hidup dalam keadaan sukar, tanpa makanan dan minuman, tiada jaminan keselamatan, pakaian yang compang-camping, kesihatan diri terancam serta berkemungkinan sukar melaksanakan ibadah seperti solat dan puasa. Pendek kata, mereka hidup serba kedaifan.
Namun, di sudut yang berbeza, masyarakat Muslim di Malaysia amat bertuah kerana masih diizinkan menikmati kehidupan aman dan selesa, dilimpahi pelbagai rezeki dan dapat bersama keluarga tercinta. Malah, mereka dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim termasuklah bersolat, menunaikan haji serta berpuasa dengan tenang.
Kisah di atas membawa penulis kepada kemeriahan suasana berpuasa di Malaysia. Salah satu perkara yang sinonim dengan amalan berpuasa di sini ialah limpahan makanan yang banyak sehingga berlakunya pembaziran. Hakikatnya, ini bertentangan dengan tuntutan berpuasa itu sendiri.
Amalan berpuasa merupakan ibadah yang diwajibkan kepada umat Islam di bulan Ramadan. Ia bukan sahaja satu cerminan ketundukan kita sebagai hamba-Nya tetapi ibadah ini juga sebenarnya menuntut Muslim untuk menginsafi diri akan nasib yang melanda saudara Islam yang tidak berkemampuan.
Di sebalik tingginya nilai ibadah berpuasa itu, kadang kala amalan ini dicemari oleh pembaziran makanan. Tahukah pembaca bahawa penghasilan sisa makanan adalah tinggi di bulan Ramadan, berbanding bulan-bulan lain?
Data yang dikongsikan oleh SWCorp bagi tahun 2015, menunjukkan bahawa sepanjang 30 hari Ramadan, sisa makanan yang terbuang adalah 270,000 tan setiap tahun atau lebih kurang 9000 tan sehari. Makanan yang terbuang itu sebenarnya cukup untuk memberi makan kepada 180 juta orang iaitu enam kali ganda jumlah penduduk Malaysia yang kini berjumlah 32 juta orang.
Selain itu, Alam Flora melaporkan pada Ramadan 2017, empat kategori makanan yang dibuang atau sering dikutip ialah terdiri daripada sayur-sayuran, makanan di dalam tin yang tamat tarikh luput, sisa makanan yang dihasilkan pengguna dan peniaga serta pembungkusan (plastik) yang digunakan untuk membungkus makanan.
Jelas sekali, begitu banyak sisa makanan yang terhasil dalam bulan Ramadan dan sebahagiannya masih elok dan boleh dimakan tetapi malangnya telah dibuang.
Dikatakan bahawa peningkatan sisa makanan ini antara lainnya disebabkan oleh persediaan makanan yang melampau. Ini bermaksud, semasa Ramadan ramai yang memasak dalam jumlah yang banyak serta memasak pelbagai jenis makanan hinggakan makanan tersebut tidak dapat dihabiskan.
Dalam masa yang sama, di bulan Ramadan ini, di mana-mana sahaja ada makanan. Ketika bersahur, ketika berbuka, ketika moreh dan sebagainya. Ini seolah-olah satu pesta makanan. Tawaran berbuka puasa di hotel dan restoran juga meningkat dan persediaan di tempat-tempat begini pastinya lebih pelbagai.
Di bulan ini juga, ramai yang bermurah hati memberi makan kepada orang lain. Memberi makan untuk orang berbuka puasa amat baik sepertimana yang disebut dalam sebuah hadis bahawa: “Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa (iftar), maka baginya (pemberi) pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut” (Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah).
Tapi, tahukah anda bahawa amalan baik ini kadang kala tidak mencapai matlamatnya apabila berlaku banyak pembaziran makanan? Ini terjadi apabila terlalu banyak makanan yang disediakan sehingga tidak dapat diagihkan kepada yang memerlukan seperti golongan tidak mampu atau gelandangan. Kadang kala boleh dilihat banyak makanan terbiar di jalanan mungkin kerana makanan tersebut tidak sempat diagihkan atau tidak mampu dihabiskan si penerima.
Jadi, tidak hairanlah terlalu banyak makanan terbuang di bulan ini. Apa yang menyedihkan ialah pembaziran ini berlaku di bulan Ramadan, bulan untuk kita meningkatkan amalan dan memperoleh pelbagai ganjaran daripada-Nya. Inilah yang dikatakan sebagai “Ramadan yang tercemar.”
Isu pembaziran makanan ini menunjukkan wujudnya golongan yang disebut di dalam al-Quran sebagai al-Musrifun (pemboros), al-Muʻtadin (orang yang melampui batas) dan al-Mubazzirin (pemboros). Hal ini boleh dirujuk dalam surah al-Aʻraf (7:31), surah al-Baqarah (2:190) dan surah al-Israʼ (17:27). Golongan inilah yang juga diperingatkan sebagai “saudara-saudara syaitan” sepertimana yang disebut dalam ayat 21, surah al-Isra’.
Selain itu, pembaziran makanan juga merupakan petanda terhakisnya nilai kesyukuran dalam kalangan masyarakat. Kita sebenarnya tidak benar-benar menghargai makanan. Di dalam al-Quran telah ditunjukkan betapa Allah SWT telah menyediakan alam ini seperti tumbuhan dan haiwan agar manusia boleh memperoleh makanan untuk dimakan, misalnya yang dinyatakan di dalam surah Ibrahim (14:32); al-An’am (6:99); an-Nahl (16:11) atau al-Maidah (5:96). Antara ayat itu juga ada yang menyebut bahawa Allah SWT menyediakan sumber air bagi memastikan bumi ini subur dan dapat menyediakan makanan untuk manusia. Lihatlah betapa indah dan sempurnanya aturan Allah SWT. Namun, adakah kita menghargainya?
Selain yang dinyatakan di dalam al-Quran, ajaran Muhammad SAW berkaitan makanan juga penting. Selain menyatakan tentang adab-adab makan, Rasulullah SAW turut mendidik umatnya agar bersederhana dalam soal makan, misalnya makan sedikit (Muslim makan dengan satu perut), menghabiskan makanan (menjilat jari), tidak membazirkan makanan (mengutip makanan yang jatuh), bersyukur terhadap makanan (ucap “alhamdulillah” selepas makan) dan memberi orang lain makan (kerana ini akan melembutkan hari yang keras). Nasihat Rasulullah SAW ini jika diamalkan boleh membantu mengelakkan pembaziran makanan.
Oleh itu, berhati-hatilah dengan pembaziran makanan agar amalan berpuasa kekal suci dan terus membawa manfaat kepada umat Islam.