Ajaran dalam agama Islam mewajibkan setiap umatnya mempercayai perkara-perkara berkaitan Sam’iyyat , iaitu perkara-perkara di alam ghaib, seperti kehidupan alam ruh, kewujudan jin dan syaitan, kewujudan syurga dan neraka, serta sebagainya. Mempercayai akan kewujudan unsur-unsur ghaib seperti ini sebenarnya merupakan asas kepada rukun Iman. Antara lain tujuannya ialah untuk memberi panduan dan pedoman kepada umat Islam agar dapat terus menuju ke jalan yang lurus dalam kehidupan dan bukannya ke jalan yang sesat lagi menyesatkan. Ia sewajarnya dapat membentuk aktiviti dan tingkahlaku mereka dalam menjalani kehidupan secara lebih baik dan dipenuhi dengan limpahan kebaikan dan rahmat, berpandukan kepada ajaran yang terkandung dalam Al Quran dan Sunnah.
Walaubagaimanapun, tidak menjadi satu kesalahan untuk mempelajari ilmu-ilmu duniawi, atau sebarang ilmu yang tidak secara khusus berkait langsung dengan ilmu Al Quran. Contohnya seperti ilmu statistik dan matematik, atau ilmu perubatan dan farmasi, atau ilmu berkaitan dengan kemasyarakatan seperti sosiologi dan komunikasi. Mempelajari ilmu-ilmu seperti ini memang dituntut selagi mana ia tidak bertentangan atau berlawanan dengan aqidah Islam, atau menyimpang dari syariat Islam atau tujuan maqasid syariat. Malah, jika diteliti secara mendalam, ilmu-ilmu seperti ini juga sebenarnya mempunyai asas dan landasannya dalam Al Quran. Dalam sejarah dan tamadun Islam juga turut menyaksikan terdapat beberapa tokoh ulama dan ilmuan tersohor Islam yang merupakan pengasas kepada ilmu-ilmu moden seperti Ibnu khaldun di bidang sosiologi, Ibnu Sina dalam sains perubatan dan kesihatan mental, Al Khawarizmi yang pakar dalam astronomi, pakar matematik Al Razi dan lain-lain. Hakikat ini juga menggambarkan kepada kita bahawa mempelajari dan menguasai ilmu-ilmu moden yang bersifat saintifik dan empirikal adalah satu ajaran Islam dan tidak salah jika mempelajarinya serta bukannya menyeleweng dari ajaran Islam atau membawa kepada kesesatan. Namun secara umumnya, pemikiran saintifik dan empirik seperti ini dilihat semakin jauh dari kehidupan umat Islam pada masa kini.
Mempelajari sains dan memiliki cara berfikir yang saintifik dan empirik dalam kehidupan adalah dua perkara yang berlainan. Seseorang yang mempelajari sains mungkin ada kecenderungan untuk menilai dan memerhati kehidupan berdasarkan kepada fakta dan hujah yang kukuh dan sahih, merangkumi dan menjangkaui kaedah berfikir dalam konteks sebab dan akibat. Namun keadaan ini tidak semestinya berlaku. Ini bergantung kepada sejauh mana matlamat matapelajaran sains itu dihayati dan cara bagaimana ia diatur dan disampaikan yang akhirnya menentukan kegagalan atau kejayaan ia dalam membentuk individu atau masyarakat yang berfikiran saintifik. Begitu juga pemikiran saintifik dan empirik akan terbentuk jika mereka dididik sejak awal lagi dengan kaedah pemikiran seperti itu dan dijadikan cara mereka menilai kehidupan dan berfikir tentang kejadian alam di sekitar mereka. Kesan langsung dari pemikiran saintifik dan empirik ini akhirnya melahirkan individu atau masyarakat yang mampu berfikir secara rasional dan objektif.
Pemikiran secara rasional pula merupakan persepsi dan pemikiran seseorang individu yang menilai dan melihat kehidupan mereka dari sudut yang mempunyai asas dan fakta yang kukuh dan logik serta boleh diterima oleh akal yang waras dan sihat. Dalam Islam, pemikiran rasional pula wajar untuk tidak melangkaui batasan syariat. Pemikiran seperti ini menerima sesuatu perkara itu sebagai fakta jika ada hujah atau bukti di belakangnya yang boleh ditentukan tahap kesahihannya. Pemikiran rasional akhirnya membawa kepada cara berfikir yang positif dan realistik dalam diri seseorang. Sebaliknya, pemikiran yang tidak rasional pula terhasil apabila seseorang individu itu menilai peristiwa yang berlaku dalam kehidupannya bukan berdasarkan kepada fakta dan bukti yang kukuh. Mungkin ia disandarkan hanya kepada cakap-cakap kosong di belakang, atau kerana hasutan dan gosip, dan mungkin juga kerana percaya atau terpengaruh kepada fitnah, yang sememangnya tiada asas dan bukti yang kukuh. Bahkan, mereka ini tidak pun berusaha untuk menyelidiki atau mengkaji kebenaran dan kesahihan bukti yang wujud di sebalik sesuatu maklumat tersebut. Akhirnya ia membawa kepada kecelaruan dan kekacauan pemikiran yang menjejaskan pemikiran yang rasional dan berasas sehingga mewujudkan pemikiran yang negatif dan tidak realistik. Amalan ini biasa berlaku dalam masyarakat, yang akhirnya membawa padah dan kemusnahan yang amat buruk dalam hidup mereka. Maka itu Islam menasihatkan kita agar sentiasa berhati-hati terhadap sebarang berita yang kita terima dari sesiapapun dan pastikan kesahihannya dahulu sebelum mempercayainya.
Berfikir secara rasional dan mempunyai pemikiran yang positif serta realistik sememangnya amat penting dalam menjamin kesejahteraan dan kesihatan mental seseorang individu. Kita sering terdengar ungkapan bahawa diri kita ini adalah apa yang kita fikirkan. Jika kita fikirkan kegembiraan, maka kita akan berasa gembira. Dan jika kita fikirkan kesedihan, maka kita akan menjadi sedih dan gundah gulana, serta mungkin akan terus menangis. Menangis adalah hasil pemikiran kita kerana kita berasa sedih, dan ia adalah satu reaksi yang normal dan mudah, bukan sesuatu yang misteri. Mungkin ada individu yang mudah untuk menangis walaupun tidak berasa sedih, atau ada mereka yang menangis tidak tentu masa, malah ada yang menangis sepanjang masa. Ini juga dapat dirungkaikan secara saintifik, dan ditangani secara mudah secara saintifik juga. Masalah akan timbul jika melihat reaksi menangis tanpa kawalan diri itu sebagai satu misteri, dan akan terus menjadi misteri kerana penjelasan yang diberikan untuk menjelaskan reaksi menangis itu juga berunsur misteri. Begitu juga, jika kita menilai diri sendiri sebagai seorang yang sakit, negatif dan lemah, maka kita tidak akan dapat merasai nikmat kesihatan sepenuhnya. Bahkan, jika kita sering berfikir secara tidak rasional, maka kehidupan tidak dilihat sebagai sesuatu yang realistik dan lojik. Segala yang berlaku adalah misteri, dan tiada hujah atau fakta yang dilihat boleh berdiri kukuh sebagai bukti di sebaliknya.
Pemikiran yang dilingkungi misteri sering menjadikan kepercayaan berunsur tahyul dan khurafat, bahkan pemikiran yang negatif dan tidak realistik sebagai sumber dalam kehidupan, sama ada sebagai sumber rezeki atau pun sumber hiburan. Pemikiran seperti ini percaya bahawa perjalanan dan segala aktiviti dalam kehidupan adalah ditentukan dan dipengaruhi oleh aspek-aspek tersebut dan ia seperti sesuatu yang telah lama wujud dan menjadi sebati. Kepercayaan bahawa perjalanan hidup adalah ditentukan oleh pantang larang dan tahyul serta khurafat secara jelas amat bertentangan dengan ajaran Islam dan ia boleh membawa kepada amalan syirik. Ia perlu dielakkan. Malah, ia juga tidak membantu untuk memiliki tahap kesihatan mental yang baik. Begitu juga, pemikiran negatif dan tidak realistik turut menjadi punca kepada pelbagai masalah kesihatan mental yang berlaku dalam masyarakat sekarang seperti penyakit kebimbangan, kemurungan, ketagihan, penyalahgunaan bahan, konflik dan perseteruan serta lain-lain.
Bagaimana pemikiran yang negatif dan tidak realisitk mendatangkan masalah kesihatan mental dan apakah jaminan bahawa orang yang berfikiran positif dan realistik itu mempunyai tahap kesihatan mental yang baik? Ini memang tidak dapat dinafikan lagi dan sudah terbukti sebagai satu prinsip atau hukum alam, malah pemikiran lojik pun akan mengiakannya kerana kita adalah apa yang kita fikirkan dan kita akan melakukan apa yang kita fikirkan itu.