Kehadiran pemikiran TDM di Malaysia ini banyak mempengaruhi suasana politik, ekonomi, pentadbiran, pendidikan, hubungan luar negara, perlembagaan dan lain-lain lagi. Iklim perubahan ini adalah berkait rapat dengan pemikiran TDM dan nilai-nilai falsafah di sebaliknya.
Kajian pemikiran TDM ini adalah merupakan bidang kajian saya sejak tahun 2008. Saya telah mengumpul dan mempunyai koleksi berkaitan dengan pemikiran TDM samada dalam bentuk media cetak atau media elektronik. Sehubungan dengan kajian ini, ingin saya kongsikan beberapa dapatan dalam artikel ini yang saya fokuskan kepada pemikiran TDM mengenai sains dan Islam.
Sains menurut TDM ialah satu alat yang dapat membangunkan sesebuah negara daripada negara membangun kepada negara maju melalui modenisasi Konsep modeniti yang telah berjaya membangunkan Barat telah menjadi contoh kepada TDM untuk membangunkan Malaysia. Sains juga menurut TDM selain mendapat ilmu ianya seharusnya dapat memberi impak terhadap ekonomi negara.
Sebagai contoh dapat menjana pendapatan negara, mewujudkan peluang pekerjaan, menambah bilangan tenaga mahir, penggunaan bahan watan dan lain-lain. Mekanisma tersebut adalah seperti pemindahan teknologi, pengindustriaan, menjalankan pembangunan dan penyelidikan (R&D) dan lain-lain lagi. Ini adalah kerana Malaysia tidak seharusnya bergantung kepada pertanian atau lain-lain sumber bumi untuk menjana pendapatan negara.
Antara misi TDM ialah mewujudkan masyarakat yang progresif dalam bidang sains, yang inovatif dan sentiasa memandang ke hadapan yang bukan menjadi pengguna teknologi tetapi penyumbang kepada tamadun. Namun, untuk membangunkan sains dan teknologi bukanlah tugas yang mudah kerana TDM terpaksa berdepan dengan berbagai-bagai cabaran. Salah satu cabaranya ialah salah tafsir mengenai Islam atau Islam seharusnya diberikan tafsiran yang betul seperti mana yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Bila memperkatakan mengenai Islam, TDM dalam buku Dilema Melayu menyarankan agar kefahaman Islam diberi penekanan dan diperhalusi kerana pada waktu itu masyarakat Melayu tiada kesungguhan untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain terutama dari apek ekonomi. Bangsa Melayu lebih mengutamakan aspek spiritual. Oleh itu, corak keislaman yang diamalkan oleh orang-orang Melayu menurut TDM adalah hasil tafsiran, interprestasi dan kefahaman agama yang salah dan sempit dan tidak memahami mesej sebenar yang dikehendaki oleh tuntutan agama.
Menurut TDM lagi, naik turun Islam itu sebenarnya ada kaitan dengan agama Islam yang mereka anuti. TDM memberikan beberapa contoh di sini. Pertama ialah berkaitan dengan persoalan mengapa Arab Jahiliyah apabila mereka menerima Islam mereka menjadi begitu dinamik. Mereka telah berjaya mendirikan tamadun yang tinggi yang jauh lebih moden daripada tamadun Yunani dan Romawi sedangkan jika dilihat sebelum menerima Islam mereka adalah bangsa yang mundur, tinggal di padang pasir yang berbudaya kolot sehingga sanggup menanam anak perempuan hidup-hidup serta mereka taksub dengan kabilah masing-masing. Ini adalah contoh sekiranya Islam itu ditafsir dengan betul.
Tetapi semakin lama Islam itu berkembang, semakin banyak ajaran yang sesat yang tersasar daripada ajaran Islam yang dibawa oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Semakin ramai pemimpin mereka yang terlibat dengan perebutan kuasa dan masing-masing mendakwa mereka berjuang untuk Islam. Tafsiran yang berlainan berkaitan dengan agama tidak henti-henti dibuat samada dari segi perbezaan mazhab, ijtihad dan ijmak yang kerap mengeluarkan fatwa.
Sebagai contoh jika kita lihat dari segi sejarah, apabila mesin cetak mula-mula dipekenalkan ramai ulamak Islam telah mengeluarkan fatwa mengatakan haram menggunakan mesin cetak. Kesan daripada pengharaman fatwa ini yang berlaku berabad-abad lamanya telah menyebabkan umat Islam tidak dapat memilik al-Quran ini. Akhirnya, apabila orang Islam telah berfikiran secara terbuka serta mampu menggunakan ilmu Islam yang sebenar maka mereka telah memutuskan untuk mengatakan bahawa al-Qurab itu tidak haram untuk di cetak.
Begitu juga dengan apa yang berlaku kepada Turki. Waktu itu, Turki telah menjadi kuasa dunia yang mampu menakluk sebahagian besar Eropah Timur tetapi pada masa itu timbul polemik daripada ahli-ahli agama yang mengeluarkan fatwa mengatakan haram hukumnya apabila askar memakai seluar untuk berperang. Perdebatan demi perdebatan berkaitan dengan perkara ini telah mengambil masa yang panjang dan masing-masing ingin menyatakan bahawa mereka lah yang lebih kuat pegangan Islamnya daripada golongan yang lain sehinggalah akhirnya Turki diserang oleh kuasa Barat.
Golongan agama tidak mampu untuk mempertahankan Empayar Turki ini. Akhirnya, golongan tentera muda telah bangkit dan menentang Barat serta berjaya menyelamatkan Turki. Pegawai tentera yang muda-muda ini amat kecewa dengan apa yang berlaku dan mereka menyalahkan golongan agama. Akibat dari kemarahan ini, mereka telah menubuhkan “kerajaan sekular’. Sekular yang mereka maksudkan ini ialah tidak tertakluk dengan golongan agama. Perbuatan mereka ini telah dikecam hebat oleh pelbagai pihak tetapi yang mengecam tidak pernah siasat perkara sebenar. Pada waktu itu, Kerajaan Kesultanan Turki terlalu lemah kerana terlalu percayakan kepada golongan agama dan mengabaikan soal-soal lain seperti pertahanan.
Begitu juga dari bukti sejarah pemerintahan Muslim Sepanyol yang hilang pada tahun 1492 setelah menempoh zaman kegemilangan selama 500 tahun adalah kerana ahli agama menolak karya-karya bukan Islam yang dianggap tidak Islam.
Akhir sekali, menurut TDM apa yang penting ialah tafsiran yang betul terhadap Islam bagi membolehkan umat Islam maju serta di segani di seluruh dunia serta dapat mengembalikan zaman kegemilangan Islam.