Artikel saya pada kali ini ingin menyentuh soal pemimpin digital. Apa kah yang dimaksudkan dengan pemimpin digital ini. Untuk menjelaskan perkara ini saya ingin merujuk kepada tulisan Scott D. Anthony bertajuk “Kodak’s Downfall Wasn’t About Technology” di dalam Harvard Business Review bertarikh 15 Julai 2016. (https://hbr.org/2016/07/kodaks-downfall-wasnt-about-technology).
Suatu ketika dahulu Kodak merupakan syarikat yang besar dan perniagaan utama mereka ialah menjual filem ke seluruh dunia tetapi kini kita tidak nampak lagi syarikat Kodak ini. Mengapakah ini berlaku? Menurut Scott, ketika Kodak berada di puncak kegemilangan mereka tidak dapat menerima pandangan orang lain akan kemunculan teknologi digital. Sebenarnya, kamera digital pertama ini telah dicipta oleh Steven Sasson pada tahun 1975. Beliau merupakan seorang jurutera yang berkhidmat dengan Kodak. Kamera ciptaan beliau pada ketika itu agak besar dan mengambil masa kira-kira 20 saat untuk merakam satu-satu gambar atau imej. Kualiti gambar yang dirakam juga tidak begitu bagus.
Menurut Sasson di dalam The New York Time, beliau telah disindir oleh pihak pengurusan ketika itu mengenai kamera digital yang dicipta beliau . Pihak pengurusan berkata “ia comel dan jangan beritahu sesiapa pun mengenainya”. Tetapi pada hari ini kamera ciptaan Sasson ini telah melenyapkan penggunaan filem di seluruh dunia dan syarikat Kodak telah gulung tikar.
Sebenarnya, sebelum Mark Zuckerberg memperkenalkan Facebook (FB) , Kodak telah pun membangunkan sebuah platform untuk berkongsi foto pada tahun 2001 yang dinamakan Ofoto yang menggunakan tagline “share memories, share life” tetapi tidak berjaya. Ini berbeza dengan pendekatan yang diambil oleh FB. FB bukan hanya boleh berkongsi foto semata-mata tetapi juga berkongsi video, pengalaman, aktiviti, kisah suka duka serta lain-lain perkongsian.
Akhirnya, pendekatan yang telah diambil oleh FB ini menyebabkan ia telah berjaya mencatat keuntungan sebanyak USD25 juta pada April 2012. FB seterusnya mengembangkan sayap mereka dengan membeli Instagram pada harga USD1bilion yang kini menjadi platform yang paling popular di dunia untuk berkongsi foto dan video. Jika kita lihat dari dua kisah ini, perbezaan antara keduanya ialah dari segi kualiti pemimpin. Facebook mempunyai pemimpin yang mempunyai pandangan digital yang jauh ke hadapan dan berani melabur serta mengambil risiko.
Menurut Scott, pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa ini ialah Kodak mencipta teknologi digital kamera tetapi mereka tidak dapat memahami bahawa perkongsian gambar foto secara dalam talian merupakan satu cara hidup yang baharu dan amat menguntungkan.
Begitu juga dengan Nokia yang satu ketika merupakan syarikat pengeluar telefon yang terbesar di dunia tetapi tidak pada hari ini. Banyak kajian mengenai perkara telah dilakukan. Antaranya kajian oleh Tuomo Peltonen dari Aalto University Finland bertajuk “Case Study 4: The Collapse of Nokia’s Mobile Phone Business: Wisdom and Stupidity in Strategic Decision Making di dalam buku Towards Wise Management halaman 163-188. Makalah bertajuk “Failure of Nokia: Lesson from loser” pada halaman 150-160 ditulis oleh Ashok Panigrahi dan Vijay Joshi di dalam buku “Emerging Issues in Business Management dan banyak lagi.
Secara ringkasnya kejatuhan Nokia adalah kerana ketika mereka berada di puncak kegemilangan mereka tidak dapat menerima pendapat tentang kemunculan telefon pintar atau smart phone. Seorang pekerja Nokia dalam bidang etnografi teknologi telah membuat kajian bagaimana teknologi boleh mempengaruhi masyarakat setempat. Beliau tinggal bersama masyarakat di China, menjadi peniaga jalanan, sentiasa berada di kafe siber dan berbual dengan orang muda. Akhirnya, kajian beliau mendapati bahawa akan berlaku perubahan besar dalam teknologi telefon bimbit ini apabila telefon pintar akan menggantikan telefon Nokia yang sedia ada. Kajian ini telah dibentangkan kepada pihak pengurusan. Malangnya kajian ini ditolak kerana beliau hanya mempunyai sampel yang mengandungi 100 data sahaja sedangkan Nokia juga membuat kajian yang sama dan mempunyai saiz data yang berjuta-juta. Akhirnya, pada tahun 2009 Nokia terpaksa memberhentikan beribu-ribu pekerjanya. Jadi di sini kita dapat lihat bahawa pemimpin ialah faktor yang terpenting dalam menentukan jatuh bangun sesebuah syarikat. Data yang dimiliki oleh pihak Nokia sebenarnya merupakan data persepsi sahaja.
Pada era digital ini, untuk memberi cadangan mengenai teknologi baru bukanlah mudah. Besar kemungkinan idea mereka itu bukan sahaja ditolak tetapi akan disindir. Idea baharu itu akan dicari seribu satu kekurangan sebagai asas untuk menolak idea tersebut. Alasan utama yang selalu digunakan ialah dari segi kos.
Saya masih ingat sekitar tahun 80an apabila komputer mula diperkenalkan, ramai yang menolak penggunaan komputer waktu itu. Ada yang menyatakan bahawa menaip menggunakan mesin taip (typewriter) lebih cepat berbanding menggunakan komputer, tetapi pada hari ini kita boleh saksikan sendiri hampir tidak ada orang yang menggunakan mesin taip lagi. Begitu juga dengan penggunaan buku maya atau e-book berbanding buku fizikal. Dalam beberapa tahun akan datang atau generasi akan datang besar kemungkinan mereka tidak lagi menggunakan buku fizikal, kerana untuk menyimpan buku fizikal memerlukan ruang atau bilik yang khas di samping kos yang lebih tinggi berbanding apabila membeli e-book. Walaupun sesetengah orang mereka tetap mempertahankan buku fizikal ini.
Selepas penggunaan e-book, teknologi terus berkembang untuk memperkenalkan audio book atau buku audio. Dalam kesibukan masa, masyarakat akan datang lebih memilih untuk “mendengar buku” berbanding membaca buku. Kita mungkin merasa pelik dengan perkataan “mendengar buku’. Seperti mana sebelum ini kita hanya faham perkataan mendengar radio. Kalau ada yang berkata menonton radio waktu itu mungkin dikatakan orang itu tidak siuman tetapi kini kita boleh menonton radio secara langsung dalam talian.
Pemimpin digital ialah pemimpin yang mampu memandang jauh ke hadapan. Mereka sentiasa memikirkan apakah teknologi terkini yang boleh dijadikan medium agar misi dan visi organisasi tercapai. Bagi sektor bukan kerajaan isu kelangsungan hidup mereka adalah penting. Faktor utama pemimpin era digital ni ialah kemampuan pemimpin untuk menjana pendapatan. Tanpa kepintaran ini besar kemungkinan syarikat, institusi atau organisasi yang mereka terajui tidak dapat bertahan lama akibat masalah kewangan.
Akhir sekali, saya ingin memetik kata-kata daripada Bediuzzama Said Nursi mengenai pemimpin. “Wahai diri yang tertipu, terpesona pada keagungan, terpikat pada kemasyhuran, menagihkan pujian dan egois tiada tandingan. Tugas anda bukanlah untuk memuliakan perbuatan diri sendiri tetapi untuk bersyukur. Perkara yang sesuai untuk anda bukanlah kemasyhuran tetapi kerendahan hati. Hak anda bukanlah pujian tetapi kembali dan mencari keampunan. Kesempurnaan anda tidak terletak pada egois tetapi menyedari kewujudan Tuhan.