Di Malaysia, kebanyakan orang akan memilih syarikat sebagai salah satu cara untuk menjalankan perniagaan. Ini dapat dilihat daripada bilangan syarikat yang berdaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Di Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang menguruskan pendaftaran sesebuah syarikat. Di sesetengah negara maju, pendaftaran perniagaan dan syarikat boleh dilakukan melalui Internet secara atas talian. Di Malaysia, terdapat Akta Syarikat 1965 yang mengawal selia urusan pendaftaran sesebuah syarikat. Akta ini banyak berdasarkan undang-undang Inggeris.
Kita dapati di Malaysia sesebuah syarikat tidak boleh wujud secara sah tanpa pendaftaran. Ini adalah kerana dalam undang-undang negara, sebuah syarikat yang ditubuhkan diiktiraf sebagai suatu individu yang sah.
Untuk diiktiraf sebagai suatu individu yang sah, sesebuah syarikat harus melalui proses pendaftaran secara formal. Untuk mendaftarkan suatu syarikat, permohonan perlu dibuat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia bertanyakan tentang nama yang dicadangkan.
Ini bertujuan untuk memastikan cadangan nama diberikan tidak / belum pernah digunakan oleh mana-mana syarikat. Jika tiada isu terhadap nama yang dicadangkan, ia boleh digunakan sebagai nama syarikat dan dengan ini ianya dirizabkan selama 3 bulan dari tarikh surat.
Dalam tempoh tiga bulan tersebut, beberapa dokumen tentang syarikat perlu dihantar kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Beberapa perkara juga perlu diselesaikan dalam menyempurnakan pendaftaran sebuah syarikat.
Nama ahli syarikat tersebut dan bilangannya mesti ditentukan. Sekurang-kurangnya dua orang ahli diperlukan. Ahli-ahli juga perlu memberi persetujuan untuk menjadi ahli dalam bentuk tulisan.
Bagi syarikat sendirian berhad, ahlinya tidak boleh melebihi 50 orang tetapi bagi syarikat awam tiada had maksima bagi bilangan ahli. Berapa jumlah saham yang akan diperolehi setiap ahli harus juga dipastikan.
Sesebuah syarikat juga harus mempunyai sekurang-kurangnya seorang setiausaha syarikat. Setelah berdaftar, Pendaftar Syarikat akan mengeluarkan sijil dan tertubuhnya sebuah syarikat baru bermula dari tarikh di atas sijil tersebut.
Bagaimanapun, undang-undang Islam melihat sebuah syarikat sebagai satu cabang daripada kontrak; di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalankan perniagaan. Justeru, sesebuah syarikat itu boleh wujud samada secara lisan ataupun melalui perjanjian bertulis.
Kepentingan lebih diberikan kepada perjanjian lisan disebabkan lafaz tersebut dianggap sebagai jelas dan lebih menyakinkan bagi menunjukkan ‘free consent’ atau persetujuan yang bebas. Bagaimanapun ini tidak bermakna perjanjian bertulis tidak mempunyai tempat dalam undang-undang Islam.
Para ulamak telah membincangkan tentang perkara ini dan dipersetujui bahawa perjanjian bertulis hanya diperlukan apabila terdapat sebelah pihak yang tidak dapat melafazkan ataupun membuat perjanjian secara lisan.
Ini melibatkan pihak-pihak yang tidak dapat mendengar (pekak) atau tidak boleh bercakap dan sesiapa yang tidak mampu (mustahil) untuk mereka memasuki perjanjian secara lisan. Justeru, terdapat dua perbezaan tentang pendaftaran sesebuah syarikat antara undang-undang Islam dan Akta Syarikat 1965 (yang berdasarkan undang-undang Inggeris).
Pertama, di dalam al-Quran dan Hadis tidak ada menyebut perincian tentang pembukaan syarikat atau lain-lain perniagaan. Yang ada hanyalah perkara-perkara asas yang perlu diikuti, sementara cara dan operasinya terserah kepada manusia. Undang-undang Islam berkaitan muamalah adalah lebih mudah; selagi ianya selari dengan prinsip Islam maka ianya dibolehkan.
Perbezaan yang kedua kita lihat di dalam agama Islam, mereka yang terlibat dalam urusan perniagaan patuh kepada Allah SWT. Oleh itu dia akan mematuhi perintah Allah dalam semua urusan; termasuklah urusan perniagaan.
Justeru, suatu perjanjian lisan sudah mencukupi bagi kedua-dua belah pihak untuk mematuhi perjanjian walaupun tanpa perjanjian bertulis. Bagaimanapun, jika keadaan semasa memerlukan suatu perjanjian yang bertulis, maka ia boleh diikuti.
Kita dapati pendaftaran secara formal telah diamalkan di negara Arab (UAE Company Law). Ia boleh dikatakan sebagai suatu usaha oleh sebuah negara Islam untuk mengharmonikan dengan undang-undang Inggeris berkaitan pendaftaran sesebuah syarikat.
Ia juga untuk mengiktiraf kepentingan perjanjian bertulis sebagai bukti dan dengan tujuan untuk merekodkan sesuatu urusan yang penting.
Akhirnya, apabila melihat perbezaan antara undang-undang ini, kita berharap ia akan dapat membantu usaha-usaha untuk mengharmonikan undang-undang di Malaysia; agar ia dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat.