Aktiviti tidak bermoral yang menumpukan perhatian dalam premis tertutup dikaitkan dengan pelbagai bentuk maksiat, termasuk aktiviti homoseksual telah menimbulkan perhatian masyarakat. Walaupun siasatan oleh pihak berkuasa tidak membawa kepada pendakwaan kerana kekurangan bukti teknikal, premis sedemikian tetap menjadi titik risiko tinggi kepada kerosakan sosial. Perlu dijelaskan bahawa premis tertutup yang diserbu memiliki lesen sah daripada pihak berkuasa, menjadikan operasinya selaras dengan peraturan pentadbiran tempatan dan tidak menyalahi undang-undang pentadbiran. Keadaan premis yang tertutup, pelanggan yang berulang, suasana yang memudahkan perlakuan tidak bermoral dan laporan masyarakat awam menunjukkan bahawa tindakan pencegahan adalah wajar bagi meminimakan kesan negatif terhadap masyarakat secara lebih menyeluruh.
Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa bidang kuasa jenayah terletak di bawah Parlimen melalui Senarai 1-Senarai Persekutuan, manakala bidang kuasa negeri hanya boleh menggubal undang-undang jenayah Islam untuk orang Islam sahaja selagi mana tidak bertindih dengan peruntukan persekutuan di bawah Jadual Kesembilan Senarai 2-Senarai Negeri. Ini menjelaskan mengapa beberapa kes yang berkaitan premis tertutup tidak dapat didakwa di Mahkamah Syariah apabila isu yang sama telah diambil tindakan oleh pihak berwajib di peringkat persekutuan. Sesuatu pendakwaan yang dibawa ke Mahkamah Sivil tidak boleh didakwa di Mahkamah Syariah kerana bercanggah dengan perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan (double jeopardy).
Islam menawarkan kerangka prinsip yang jelas melalui kaedah fiqh Sadd al-Zarā’i. Kaedah ini, yang termasuk dalam usul fiqh, bertujuan menutup jalan yang boleh membawa kepada maksiat atau kemudaratan, walaupun kesalahan belum berlaku secara nyata. Ibn al-Qayyim menegaskan bahawa sesuatu perkara yang asalnya harus boleh dihalang jika ia menimbulkan mudarat kepada masyarakat. Dalam konteks aktiviti tidak bermoral baru-baru ini, premis tertutup yang menyediakan kemudahan spa dan sauna walaupun tiada pendakwaan undang-undang, dikategorikan sebagai “risiko syubhah tinggi”. Pendekatan ini bukan bersifat menghukum secara retroaktif, tetapi lebih menekankan pencegahan awal sejajar dengan maqasid syariah, iaitu menjaga agama, akhlak, maruah dan keselamatan masyarakat.
Penting untuk ditekankan bahawa penilaian syariah tertumpu kepada perlakuan, bukan identiti atau orientasi individu. Ramai orang keliru antara tindakan dengan kecenderungan. Islam menilai tindakan yang jelas melanggar syariat, misalnya hubungan seks luar tabii, bukan identiti seksual seseorang. Dalam konteks undang-undang jenayah Islam, pembuktian kesalahan seperti liwat menuntut syarat yang sangat ketat, sama ada melalui saksi yang memenuhi kriteria atau pengakuan (iqrar) yang jelas dan sah, selaras dengan prinsip fiqh. Dengan memahami perbezaan ini, operasi ke atas aktiviti tidak bermoral tidak dilihat sebagai diskriminasi terhadap golongan tertentu, tetapi sebagai langkah pencegahan terhadap aktiviti yang menyalahi norma sosial dan agama.
Dalam pelaksanaan operasi aktiviti tidak bermoral baru-baru ini, cabaran utama adalah keperluan bukti teknikal yang sah bagi pendakwaan. Undang-undang mensyaratkan bukti seperti rakaman audio atau video, saksi yang boleh disahkan, alat bukti atau pengakuan pelaku. Selain itu, tiada individu tampil membuat laporan terhadap premis berkenaan, menyebabkan unsur paksaan atau eksploitasi sukar dibuktikan di mahkamah. Semasa serbuan dilakukan, tiada sebarang aktiviti seksual yang dapat dikesan, menjadikan pendakwaan di bawah undang-undang sivil mahupun syariah lebih sukar dilaksanakan.
Kekurangan bukti tidak bermakna premis tidak berisiko, tetapi ia menekankan kepentingan standard pendakwaan. Memandangkan kekurangan bukti, pendekatan Sadd al-Zarā’i adalah amat relevan dan sesuai, kerana ia menangani risiko yang belum bertukar menjadi jenayah yang dapat dibuktikan di mahkamah.
Selain penguatkuasaan, pendekatan restoratif memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesejahteraan moral masyarakat. Pendekatan ini tidak terhad kepada penghukuman, tetapi menekankan usaha membina semula individu dan komuniti yang terjebak dan terpengaruh dengan aktiviti tidak bermoral. Contohnya, individu yang terlibat dalam aktiviti berisiko boleh diberikan bimbingan secara berstruktur melalui program pendidikan agama dan kaunseling yang dianjurkan oleh institusi agama atau NGO berdaftar. Pada masa yang sama, kerjasama antara komuniti seperti pemantauan oleh persatuan penduduk dan Rukun Tetangga dapat memastikan premis berisiko diperhatikan, laporan yang sahih disalurkan dan individu dibantu untuk menyesuaikan diri dengan norma sosial.
Selain itu, sokongan keluarga dan jaringan sosial pula dapat membantu individu menghindari pengulangan perlakuan maksiat melalui bimbingan moral, kaunseling psikologi serta penglibatan dalam aktiviti komuniti yang sihat. Pendekatan sebegini lebih berkesan berbanding hukuman keras semata-mata kerana ia mengatasi akar masalah, mengurangkan stigma, dan selaras dengan tujuan syariah.
Dari aspek undang-undang, isu premis sebegini menimbulkan perbincangan tentang pertindihan kuasa perundangan antara Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Mahkamah Persekutuan telah berulang kali menegaskan bahawa bidang kuasa utama menggubal undang-undang jenayah kecuali yang diberikan terletak pada Parlimen.
Sebagai contoh, dalam kes Iki Putra Mubarak (2021), Mahkamah Persekutuan membatalkan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor kerana ia bercanggah dengan Kanun Keseksaan. Keputusan sama berlaku dalam kes Nik Elin pada 9 Februari 2024 di Kelantan, apabila 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dibatalkan kerana bertindih dengan undang-undang persekutuan. Hanya baki seksyen yang tidak bertindih kekal sah digunakan.
Implikasi keputusan ini jelas kepada masyarakat bahawa kesalahan seperti liwat, gangguan seksual dan persetubuhan dengan mayat telah termaktub dalam Kanun Keseksaan, maka negeri tidak boleh menggubal undang-undang yang sama walaupun atas alasan menegakkan syariat. Walau bagaimanapun, Mahkamah Syariah negeri masih berfungsi, tetapi hanya dalam ruang bidang kuasa yang sah. Oleh itu, harmonisasi undang-undang antara negeri dan persekutuan menjadi amat penting untuk mengelakkan kekeliruan masyarakat dan konflik bidang kuasa.
Selain itu, prinsip ini juga relevan apabila menilai isu fatwa atau tindakan penguatkuasaan terhadap organisasi tertentu kerana kuasa negeri terbatas mengikut perlembagaan. Contohnya, isu fatwa pengharaman Sisters in Islam (SIS) menunjukkan cabaran pelaksanaan fatwa dalam masyarakat majmuk. Fatwa Selangor 2014 yang mengisytiharkan SIS sebagai sesat hanya terpakai kepada individu Muslim. Perenggan yang mengarahkan sekatan penerbitan atau laman web dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan kerana kuasa itu berada di peringkat persekutuan, bukan negeri. Kes ini menekankan bahawa fatwa perlu dibuat secara telus, adil dan berlandaskan bidang kuasa yang sah selaras dengan prinsip kebebasan bersuara dan hak asasi yang telah dijamin hak setiap individu di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Secara keseluruhan, aktiviti tidak bermoral, pertindihan kuasa undang-undang dan fatwa SIS menuntut pendekatan tindakan menyeluruh. Mengurus gejala sosial memerlukan sinergi dan kerjasama antara penguatkuasa, penggubal dasar agama, institusi akademik dan masyarakat. Dengan kata lain, Sadd al-Zarā’i memberi asas pencegahan, pendekatan restoratif membina kembali moral individu, manakala harmonisasi undang-undang memastikan tindakan sah, adil dan berpandukan maqasid syariah.

