Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Al-Ghazali, Ibnu Al-Haitham, Al-Jazari, Ibn Tufail, Al-Khawarizmi dan Jabir Ibn Hayyan merupakan antara tokoh ilmuwan ternama dalam sejarah Tamadun Islam. Mereka kreatif kerana berjaya menghasilkan idea mahupun alat yang telah mengubah keadaan dunia kini. Misalnya, Ibnu Sina dengan bukunya buku al-Qanun fil-Tibb. Buku ini telah diterjemah dan masih dijadikan rujukan dalam bidang perubatan sehingga kini. Begitu juga dengan al-Jazari yang telah mencipta jam gajah. Kehebatan tokoh-tokoh ini pasti ada kaitannya dengan proses pendidikan yang mereka lalui.
Bagi tujuan penulisan ini, buku tulisan Nurazmallail Marni bertajuk Pendidikan Saintis Muslim Era Kegemilangan Tamadun Islam amat menarik untuk dijadikan rujukan dan bacaan. Beliau membahagikan proses pembelajaran tokoh-tokoh tersebut kepada tiga peringkat utama iaitu peringkat pengajian rendah atau asas, peringkat pengajian menengah dan peringkat tinggi. Perbincangan tentang tiga peringkat tersebut memberi tumpuan khusus kepada kandungan pembelajaran dan bentuk pengajian.
Di peringkat asas, keutamaan adalah untuk membentuk kemahiran, kebolehan berbahasa dan pengukuhan tingkahlaku. Antara kandungan pembelajaran yang diberikan keutamaan ialah pengajian al-Quran, termasuk hafazannya serta asas-asas agama. Tidak ketinggalan, pendidikan berkaitan adab sopan dan aktiviti sukan seperti berenang dan berkuda.
Dalam konteks hafazan al-Quran, al-Ghazali menyatakan perbezaan pandangan dengan al-‘Arabi. Al-Ghazali melihat bahawa pelajaran bahasa Arab, syair dan mengira seharusnya didahulukan berbanding hafazan. Ini kerana, amatlah pelik bagi kanak-kanak untuk menghafal al-Quran yang tidak diketahui maknanya. Al-‘Arabi pula melihat sebaliknya bahawa hafazan harus diberikan keutamaan. Ini merupakan satu kebiasaan dalam masyarakat ketika itu di samping untuk memperoleh keberkatan dan pahala. Dalam masa yang sama, ini bagi mengelakkan anak-anak kecil tidak mengenal al-Quran.
Bagi penulis pula, perbezaan pandangan ini tidaklah membawa masalah yang besar. Ini kerana, apa yang penting adalah, walaupun hanya di peringkat pengajian asas, kesepaduan ilmu sudah diberi keutamaan dalam pendidikan tokoh-tokoh ilmuwan Islam. Ini bermakna, bukan sahaja soal penulisan, pembacaan dan permainan, tetapi ilmu-ilmu agama dan pengajian al-Quran sudah mula diberi keutamaan dan didedahkan kepada kanak-kanak ketika itu.
Tempoh pengajian di peringkat asas ini amat bergantung pada kemampuan para pelajar. Ini bermakna, hanya pelajar-pelajar yang sudah bersedia akan beralih ke peringkat seterusnya atau belajar ilmu yang lain. Secara umumnya,di peringkat asas ini, pelajar mula belajar daripada umur lima hinggalah 14 tahun.
Di peringkat menengah pula, pelajar-pelajar sudah mula meneroka pengajian berkaitan bidang yang mereka minati. Misalnya, mereka yang berminat dalam bidang perubatan, mula membuat persediaan dan mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan bidang itu. Antara yang dipelajari di peringkat ini ialah ilmu logik, aritmetik, geometri, astronomi dan muzik serta ilmu falsafah. Dianggarkan bahawa umur pelajar di peringkat ini ialah antara 14 hingga 18 tahun. Dalam hal ini, amat menarik untuk dicatatkan pengalaman Ibnu Sina yang mempelajari ilmu matematik, fikah, mantik, ilmu ukur, falak dan perubatan diperingkat pengajian menengah beliau. Ibnu Sina berjaya menamatkan pengajian dalam semua bidang ini pada usia 16 tahun.
Daripada apa yang disebutkan di sini, boleh dikatakan bahawa proses pembelajaran yang dilalui pelbagai tokoh ilmuwan kreatif ini agak mencabar, apatah lagi bila melihat kepada faktor usia mereka. Pengisian pembelajaran boleh dikatakan berat dan pelbagai. Namun, di sebalik semua cabaran ini, tokoh-tokoh ilmuwan tersebut berjaya menguasai ilmu yang dipelajari.
Tiga perkara menarik yang mungkin boleh diambil pengajaran daripada penerangan di atas ialah penekanan kepada pembelajaran al-Quran, penumpuan kepada kesepaduan ilmu dan kesedaran terhadap perbezaan kebolehan pelajar.
Penekanan kepada membaca, memahami, mempelajari dan menghafaz al-Quran merupakan asas utama dalam proses pembelajaran yang dinyatakan di atas. Sememangnya ini wajar kerana pembelajaran sebegini membantu pelajar memahami siapa dirinya serta kenapa dan untuk apa dia menuntut ilmu.
Berkaitan kesepaduan ilmu pula, selain menumpukan ilmu-ilmu khusus, aspek permainan, sukan dan muzik turut ditekankan. Ini sebenarnya amat bagus kerana permainan, sukan dan muzik juga penting untuk otak serta tubuh badan pelajar. Misalnya muzik. Laura Lewis Brown di dalam penulisan artikel bertajuk The Benefits of Music Education yang disiarkan dalam laman web pbsparent menyatakan kelebihan belajar muzik kepada perkembangan bahasa, peningkatan IQ, peningkatan kemahiran spatial-temporal (kemahiran untuk membayangkan sesuatu) dan sebagainya. Tidak kurang juga, belajar muzik baik untuk pergerakan jari, mata, kemahiran mendengar dan lain-lain lagi.
Akhirnya berkaitan dengan perbezaan kebolehan pelajar. Ketika ini, sistem pendidikan moden menyediakan satu model pembelajaran yang sama untuk semua pelajar. Ini bermakna, sama ada pelajar tersebut bijak atau tidak, mereka tertakluk kepada model pembelajaran yang sama. Berbeza dengan proses pembelajaran tokoh-tokoh ilmuwan Islam terdahulu, hanya pelajar-pelajar yang sudah bersedia sahaja yang akan dibenarkan mempelajari bidang baharu. Bagi yang agak lemah, mereka dibenarkan untuk mengambil masa yang lebih panjang untuk menguasai ilmu tersebut. Kaedah sebegini, pada pandangan penulis, lebih baik dan mesra pelajar.
Sebagai penutup, untuk menjadi kreatif, ilmu adalah penting. Dalam hal ini, pendedahan pelajar terhadap pelbagai bentuk ilmu perlulah diberi perhatian. Ini menyangkal pandangan sesetengah pihak yang terlalu memberi perhatian kepada kejayaan akademik semata-mata, sehinggakan membunuh unsur kreatif dalam diri pelajar.