Pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 menandakan satu janji besar negara kepada generasi akan datang. Namun sejarah pendidikan Malaysia mengajar kita satu kebenaran yang pahit: yang sering gagal bukanlah idea, tetapi pelaksanaan. Justeru persoalan sebenar bukan sama ada RPN dirangka dengan niat yang baik, tetapi sama ada ia akan diterjemahkan menjadi perubahan nyata di bilik darjah, atau sekadar mengulangi kitaran pelan yang indah di atas kertas tetapi rapuh di lapangan.
Buat pertama kali, pendidikan sekolah dan pendidikan tinggi dirangka secara bersepadu dalam satu kerangka nasional yang berterusan. Dari sudut dasar, ini langkah penting dan wajar dipuji. RPN hadir sebagai kesinambungan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025 dengan skop yang lebih luas dan cita-cita yang lebih menyeluruh: membina modal insan berilmu, berkemahiran, berakhlak dan beridentiti kebangsaan dalam dunia yang semakin tidak menentu.
Dalam memasuki negara yang matang, sokongan terhadap dasar nasional hendaklah bersifat kekal. Ia mesti disertai dengan wacana yang jujur, kritikal dan bertanggungjawab. Pendidikan bukan projek pentadbiran lima atau sepuluh tahun; ia adalah amanah kenegaraan yang menentukan arah bangsa Malaysia dan masa depan negara.
Sejarah pendidikan Malaysia membuktikan bahawa negara tidak pernah ketandusan pelan. Bermula dengan Laporan Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960, sehinggalah kepada pelbagai pelan induk dan PPPM 2013–2025, semuanya lahir daripada aspirasi murni untuk membina sistem pendidikan yang adil dan berkualiti. Namun kegagalan yang berulang terletak pada jurang antara dasar dan pelaksanaan, serta kecenderungan menilai kejayaan melalui pematuhan prosedur, bukan kesan sebenar terhadap pembelajaran murid dan pembentukan sahsiah mereka.
Prestasi Malaysia dalam penilaian antarabangsa seperti Programme for International Student Assessment (PISA) 2022, yang masih berada di bawah purata negara-negara OECD bagi literasi membaca, matematik dan sains, seharusnya menjadi amaran keras. Reformasi pendidikan memerlukan lebih daripada dokumen strategik yang kemas; ia menuntut keberanian membetulkan struktur, budaya kerja dan pendekatan tadbir urus yang telah lama berakar dalam sistem pendidikan negara.
Antara agenda penting RPN ialah peralihan daripada budaya peperiksaan kepada penilaian pembelajaran yang lebih holistik dan berterusan. Dari sudut falsafah pendidikan, langkah ini tepat dan sejajar dengan keperluan abad ke-21. Namun kejayaannya bergantung sepenuhnya kepada satu faktor kritikal yang sering dipandang ringan: kesiapsiagaan dan kepercayaan terhadap guru.
Realiti di lapangan menunjukkan guru masih dibebani urusan pentadbiran yang berlebihan, sistem pelaporan bertindan dan perubahan dasar yang kerap. Tanpa penstrukturan semula beban kerja, latihan profesional berterusan yang bermakna dan sokongan yang konsisten, perubahan penilaian berisiko menjadi satu lagi tekanan, bukan pemangkin kualiti. Jika RPN benar-benar serius, profesion keguruan mesti diperkasa bukan melalui slogan, tetapi melalui kepercayaan terhadap kebijaksanaan profesional guru dan kepimpinan sekolah.
Penekanan RPN terhadap teknologi, kecerdasan buatan dan TVET pula selari dengan keperluan ekonomi masa depan. Namun reformasi teknologi yang dilaksanakan secara seragam tanpa mengambil kira jurang bandar–luar bandar berisiko melebarkan ketidaksamaan pendidikan. Isu capaian internet, kekurangan peralatan ICT dan kekurangan guru subjek kritikal masih wujud. Dalam konteks ini, keadilan pendidikan bukan soal kesamarataan dasar, tetapi kesaksamaan pelaksanaan.
Dalam aspek kenegaraan, kewajipan pengajaran Bahasa Melayu dan Sejarah di semua aliran sekolah merupakan langkah penting untuk memperkukuh identiti nasional. Jati diri ini tidak hanya lahir melalui kewajipan kurikulum semata-mata. Justeru bahasa dan sejarah mesti diajar sebagai sumber kefahaman, keyakinan dan pemikiran kritis — bukan sebagai subjek hafalan yang kering dan terpisah daripada realiti kehidupan.
Cabaran terbesar RPN akhirnya terletak pada tadbir urus dan akauntabiliti. Kejayaan tidak boleh diukur melalui bilangan program, istilah baharu atau pelancaran berprofil tinggi, tetapi melalui perubahan nyata pada pengalaman pembelajaran murid dan kualiti graduan. Mekanisme pemantauan yang telus, pelaporan yang jujur dan kesediaan membetulkan dasar berdasarkan maklum balas lapangan adalah syarat mutlak agar RPN tidak menjadi satu lagi dokumen yang dilupakan.
RPN 2026–2035 membuka peluang besar untuk meletakkan pendidikan sebagai asas kekuatan negara dan pemangkin perpaduan nasional. Namun peluang ini juga datang bersama tanggungjawab besar. Jika pendidikan benar-benar dilihat sebagai amanah kenegaraan, maka kegagalan pelaksanaan tidak boleh lagi diterima sebagai perkara biasa. Ukuran sebenar RPN ialah sama ada anak-anak Malaysia — tanpa mengira latar belakang dan geografi — menerima pendidikan yang lebih berkualiti, adil dan bermakna menjelang 2035. Di sinilah RPN akan dihakimi oleh sejarah, bukan oleh dokumen yang ditulis, tetapi oleh kesan yang ditinggalkan.

