Penghinaan terhadap agama bukanlah perkara baharu. Para Rasul bukan sahaja dihina tetapi juga disakiti bahkan ada yang diperangi dan dibunuh demi menyampaikan peringatan kepada umat manusia. Nabi Muhammad s.a.w. sendiri dicerca, dikatakan gila dan dituduh mengamalkan sihir manakala para pengikut Baginda ada yang diseksa dan dibunuh. Orang-orang beriman ditindas, dihina dan[1] dipermainkan oleh orang-orang kafir disebabkan oleh keadaan mereka yang serba kekurangan dari segi harta dan jumlah. Walau bagaimanapun, sejarah menunjukkan bahawa semua itu tidak melunturkan semangat Rasulullah s.a.w. dan para pengikut Baginda bahkan menambahkan lagi keyakinan dan keazaman mereka dalam menyampaikan Risalah Islam kepada manusia.
Sebagaimana dijanjikan, hari ini umat Islam kembali lemah dan berpecah-belah, walaupun kali ini bilangan mereka bukan lagi sedikit bahkan amat ramai. Ternyata bahawa jumlah yang ramai semata-mata tidak cukup untuk mendatangkan rasa hormat ataupun takut oang lain kerana yang lebih penting bukanlah kuantiti akan tetapi kualiti. Penghinaan terhadap Islam bukan menunjukkan kepada kehinaan agama itu sendiri kerana hakikatnya Islam itu mulia dan tiada yang mengatasi kemuliaannya. Penghinaan itu sebaliknya menunjukkan kepada hal keadaan umat Islam itu sendiri yang sudah kehilangan maruah diri. Rasulullah s.a.w., apabila ditanya perihal umat Baginda pada akhir zaman menyifatkan hal keadaan mereka seumpama buih-buih di laut. Walaupun banyak memutih akan tetapi tiada siapa yang mengambil kisah kewujudannya apatah lagi menghormatinya. Kenapakah demikian? Kerana buih sifatnya lemah, dan tidak berupaya mencorakkan keadaan sekelilingnya, sebaliknya dialah yang dicorakkan dan ditentukan nasibnya oleh pergerakan arus. Justeru, kewujudan buih, walaupun banyak memutih, tidak membawa apa-apa kesan ataupun perubahan kepada orang lain di sekelilingnya.
Perbandingan dengan buih itu bertujuan supaya umat Islam mencermin hal keadaan diri mereka yang sebenar agar tidak mudah tertipu hanya dengan penampilan luaran. Ia menuntut umat Islam melihat ‘ke dalam’ bagi mengenalpasti kesalahan dan keaiban diri yang tersembunyi untuk dihapuskan. Hanya dengan cara itu sahaja nasib umat Islam akan dapat diubah dan dipulihkan.
Cabaran terhadap usaha pemulihan itu, walau bagaimanapun, bukanlah kecil kerana umat Islam pada hari ini sudah terlalu jauh dari petunjuk agama sehinggakan ramai yang berhadapan dengan krisis kekeliruan makna diri yang genting hasil dari gerakdaya pembaratan dan pensekularan sejak sekian lama. Natijahnya, bukan sedikit dari kalangan Kaum Muslimin yang sudah tidak lagi mengenali siapa dirinya, apakah nasib akhir yang bakal menimpanya, dan apakah tugas, tanggungjawab dan peranannya di dunia yang sementara ini.
Hakikatnya, masalah makna diri dan nasib akhir adalah merupakan jurang yang memisahkan Islam dari kebudayaan Barat. Dan jurang pemisah yang dimaksudkan itu adalah merujuk kepada perbezaan tanggapan masing-masing terhadap ‘hakikat wujud’ sedangkan di atas hakikat itulah dibina nilai-nilai yang menjadi panduan hidup seseorang. Sesungguhnya, tutur kata dan tingkahlaku seseorang itu membayangkan apa yang dipercayai dengan hatinya sebagai ‘benar’ dan ‘wujud’. Justeru, jika benar seseorang itu meyakini Wujud Allah, dan bahawa Dia bersifat dengan segala sifat keagungan dan kesempurnaan, tidak mungkin dia berani menjadikanNya bahan senda gurau dan hinaan demi untuk mencari sedikit populariti.
Perbuatan menghina agama, sama ada terhadap dasar-dasar akidahnya ataupun terhadap amalan dan syiarnya adalah merupakan manifestasi masalah kehilangan makna diri dan sekaligus menunjukkan kegagalan pendidikan semasa dalam menghadapi cabaran pemikiran masa kini. Berselindung di sebalik slogan kebebasan bersuara dan hak asasi manusia agama kini dipermainkan sesuka hati manakala pelakunya pula dibela, dipertahankan, bahkan diangkat sebagai jaguh kebebasan dan hak asasi. Amat jelas siapa yang mendalangi semua ini dan apa agenda mereka, akan tetapi yang lebih penting dan lebih utama untuk kita lakukan adalah memperbetulkan kekurangan kita dalam mendidik generasi akan datang. Kekurangan yang kita maksudkan itu bukanlah kekurangan yang berbentuk prasarana pendidikan akan tetapi kerangka falsafah yang mencorakkan sistem pendidikan itu sendiri.
Pendidikan yang melahirkan ribuan teknokrat dan profesional dalam berbagai bidang tetapi tidak berupaya menerapkan makna diri dan membina keperibadian bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan. Pendidikan yang dikehendaki oleh Islam, sebaliknya, adalah berpaksikan hakikat diri insan yang, bukan manusia sekular yang diasuh semata-mata untuk berkhidmat kepada negara sekular. Sistem pendidikan yang dibina di atas kerangka falsafah sekular menjadikan manusia dan kehidupan duniawi ini sebagai matlamat akhir, dan agama tidak mempunyai tempat ataupun peranan di dalamnya. Dalam suatu masyarakat yang berpegang teguh kepada ideologi sekular seperti di Barat, penghinaan terhadap agama tidak dianggap suatu masalah kerana agama sudah tidak lagi menjadi unsur penting dalam pembinaan makna diri. Bahkan agama itulah yang dianggap sebagai penghalang kepada kebebasan dan kemajuan, justeru, penghinaan terhadap agama dianggap sebagai sebahagian dari proses semulajadi ke arah pensekularan.
Dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia penghinaan terhadap mana-mana agama berpotensi mencetuskan api kebencian dan permusuhan. Justeru, tndakan mendakwa dan menghukum mereka yang melakukannya hendaklah dilakukan dengan tegas, akan tetapi penguatkuasaan undang-undang semata-mata tidak memadai kerana masyarakat hendaklah dididik supaya menghargai kewujudan berbagai tradisi keagamaan di negara ini sebagai sesuatu yang istimewa dan patut dibanggakan. Pada masa yang sama masyarakat hendaklah juga difahamkan tentang bahaya pensekularan dan bagaimana ia berpotensi menjadi ancaman terhadap keharmonian hidup beragama.