Sebagai salah satu usaha menyelamatkan spesies kelawar yang kini terancam, Konvensyen Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu Tentang Spesies Berhijrah (CMS) dan Perjanjian Kesepakatan Mengenai Pemulihan Populasi Kelawar Eropah (EUROBATS) serta Persatuan Zoo dan Akuarium Sedunia (WAZA) telah menamakan tahun 2011 dan 2012 sebagai tahun kelawar. Sempena tahun kelawar ini pelbagai kempen telah dilaksanakan bagi memberi dan menyuntik kesedaran kepada masyarakat yang mungkin rata-ratanya tidak menyedari mengenai kepentingan spesies mamalia yang begitu unik ini.
Antaranya ialah kempen Sambutan Tahun Kelawar 2011/2012 yang dianjurkan oleh Zoo Negara selaku ahli WAZA dengan kerjasama Persatuan Animasi Malaysia (Animas). Kempen ini yang julung kali diadakan merupakan satu inisiatif yang baik bagi menyampaikan maklumat mengenai kepentingan spesies ini kepada ekosistem dan mendidik masyarakat agar sama-sama memelihara dan tidak menzalimi mamalia berkenaan. Kempen ini yang memberi tumpuan kepada aspek konservasi, kajian dan penyelidikan berkaitan 1,100 spesies kelawar yang terdapat di seluruh dunia diharap dapat menjadi pemacu kepada usaha-usaha konservasi seterusnya agar kelangsungan hidup spesies mamalia ini terus dapat dilindungi.
Mungkin rata-rata kita tidak menyedari bahawa kelawar merupakan antara salah satu spesies vertebrata yang paling berjaya dan terdiri daripada spesies yang pelbagai. Kelawar dikelaskan dalam order Chiroptera dan terbahagi kepada dua suborder iaitu megachiroptera (kelawar pemakan buah) dan microchiroptera (kelawar yang makan serangga dan pelbagai makanan lain). Keunikan yang ada pada spesies kelawar tidak terdapat pada mamalia lain. Salah satunya, kelawar merupakan satu-satunya spesies mamalia yang boleh terbang. Alangkah sayangnya jika spesies yang begitu unik dan menakjubkan ini diabaikan tanpa pembelaan yang sewajarnya. Apa yang paling utama ialah kelangsungannya mesti dipelihara agar turut dapat dinikmati keunikannya oleh generasi akan datang, di samping menyelamatkan penstabil semulajadi ini demi kelestarian alam sekitar secara berterusan.
Justeru, usaha-usaha yang giat bagi memelihara spesies ini perlu dilakukan secara berterusan agar ia tidak terdedah kepada sebarang ancaman kepupusan. Ini memandangkan berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan oleh para penyelidik, didapati bahawa daripada 118 spesies kelawar yang dijumpai di hutan-hutan dan gua-gua di seluruh Malaysia, sebanyak 34 spesies telah dikenalpasti terancam. Ini pastinya menggusarkan kita. Justeru, dengan langkah dan tindakan awal yang diambil, mudah-mudahan ia mampu menyelamatkan spesies ini.
Mungkin terdetik persoalan di benak segelintir kita mengapa perlunya kita memelihara spesies kelawar? Di dalam surah al-Qamar (ayat 49), Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan)”. Daripada ayat tersebut, jelas memberi gambaran kepada kita bahawa setiap makhluk yang Allah SWT ciptakan di atas muka bumi ini mempunyai peranan masing-masing mengikut ketetapan-Nya. Begitu juga dengan spesies kelawar. Ia bukan sahaja spesies yang begitu menakjubkan di atas planet ini dengan pelbagai bentuk rupa, tetapi juga memainkan peranan yang besar dan sangat bermanfaat terhadap persekitaran global.
Misalnya, kelawar pemakan buah memainkan peranan penting sebagai agen pendebungaan kepada kebanyakan pokok hutan tropika dan bertindak sebagai agen penyebaran biji benih untuk tujuan pembangunan semula hutan (kedua-dua peranan ini juga membantu dalam penyebaran dan pembiakbakaan semula tanaman-tanaman makanan). Proses ini sekaligus akan memberi sumbangan yang besar kepada kesihatan persekitaran hutan. Kebanyakan pokok dan semak-samun yang dikunjungi oleh kelawar secara komersialnya penting sebagai sumber makanannya atau untuk tujuan-tujuan lain.
Namun, persoalannya sejauh mana penglibatan spesies kelawar sejak berdekad-dekad lamanya terhadap proses semulajadi ini dihargai oleh kita? Malah, hanya baharu sekarang ia semakin mendapat perhatian dalam kalangan ahli biologi kita. Mudah-mudahan perhatian yang diberikan oleh ahli-ahli biologi pada hari ini terhadap kepentingan spesies ini bukan hanya bersifat sementara, tetapi akan berterusan untuk selama-lamanya dalam memastikan kelangsungan hidup spesies ini terus terpelihara.
Manakala, kelawar pemakan serangga pula banyak terlibat dalam menjaga keseimbangan populasi serangga perosak di dalam ekosistem. Kelawar jenis ini memanfaatkan pelbagai jenis serangga sebagai mangsa. Pemilihan mangsa pula bukanlah secara rawak, dan berkemungkinan wujud pemilihan mangsa di kalangan sejumlah spesies dan kumpulan spesies tertentu. Daripada penyelidikan yang dilakukan oleh para saintis, didapati bahawa kelawar memakan sekurang-kurangnya 10, 000 kilogram serangga dalam satu malam dan membantu dalam penyebaran sebanyak 134 benih pokok.
Secara realitinya, kelawar bukan sahaja memainkan peranan penting terhadap keseimbangan ekologi, tetapi juga banyak memberi manfaat kepada manusia. Misalnya, pengumpulan tinja kelawar (tahi kelawar) di dalam gua-gua telah dimanfaatkan sebagai sumber baja organik sejak bertahun-tahun lamanya terutamanya di kawasan berlakunya mendapan. Walaupun tahi kelawar masih digunakan sebagai baja organik di beberapa daerah tempatan, namun secara umum penggunaannya menurun dalam tempoh dua puluh tahun terakhir ini ekoran kemunculan baja sintetik yang lebih murah. Walau bagaimanapun, di sesetengah negara kurang membangun, tahi kelawar masih lagi menjadi sumber baja organik yang bernilai.
Selain itu, kelawar juga telah lama sinonim sebagai sumber ubatan yang dahulunya dijadikan sebagai ramuan yang mujarab untuk memulihkan demam dan pelbagai penyakit ringan. Malahan, para doktor dari Eropah suatu ketika dahulu juga dipercayai menggunakan darah kelawar bagi menyembuhkan pelbagai penyakit ringan yang dialami oleh pesakit. Bagi segelintir orang Mesir purba, darah kelawar digunakan untuk merawat penyakit mata. Manakala, darah atau otak kelawar yang dicampur dengan hempedu susu kambing juga dianggap sebagai bahan yang sangat baik untuk membuang rambut atau bulu pada bahagian tertentu badan. Berbeza pula untuk rawatan keguguran rambut, yang mana sayap kelawar digunakan untuk memulihkan atau mencegah keguguran rambut.
Di India pula, sayap kelawar yang kering dan hancur kadang-kadang masih digunakan sebagai bahan untuk mencuci rambut iaitu dengan mengadunkannya bersama minyak kelapa dan bahan-bahan lain. Selain itu, tahi kelawar pula digunakan dengan cara yang agak aneh oleh segelintir kaum Arab iaitu dengan mencampurkan tahi kelawar ke dalam cuka untuk diambil secara dalaman bagi menyembuhkan tumor. Malah, campuran tersebut juga turut diambil secara luaran.
Melihat kepada kepentingan dan manfaat yang disumbangkan oleh kelawar kepada manusia dan alam sekitar, ternyata ciri-ciri unik yang terdapat pada spesies ini tidak ditemui pada mamalia lain di atas muka bumi ini. Keunikan yang dimiliki oleh spesies kelawar begitu mengagumkan. Oleh itu, kita seharusnya bersyukur dengan penciptaan spesies ini yang memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada manusia, tetapi juga kepada keseimbangan ekosistem.
Justeru, pengistiharan tahun 2011 dan 2012 sebagai tahun kelawar merupakan langkah wajar dalam memastikan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan spesies ini terhadap ekosistem dapat dipertingkatkan. Mudah-mudahan melalui kempen-kempen yang dianjurkan sepanjang tahun kelawar ini dapat menyebarluaskan dan memberi kefahaman yang mendalam kepada segenap lapisan masyarakat tentang kepentingan makhluk ciptaan Allah ini baik di peringkat kanak-kanak, remaja, mahupun dewasa. Diharap, kerjasama dan maklum balas positif masyarakat terhadap kempen menghargai spesies kelawar dapat menyelamatkan spesies ini daripada terus terancam.