Orang Melayu terkenal dengan budi pekertinya yang tinggi, bersopan-santun dan bertimbang-rasa. Sifat yang ada ini bertunaskan ajaran Islam yang mengajar umatnya supaya senantiasa menjaga hati dan perasaan orang lain walaupun hatinya terasa pahit untuk menerimanya. Dengan erti kata yang lain, memuliakan orang lain merupakan budaya orang Melayu yang diterapkan oleh ajaran Islam bersesuaian dengan sepotong Hadis yang diriwayatkan dalam Sahih Bukhari bermaksud “Dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Satu jenazah lewat di hadapan kami. Nabi saw berdiri menghormatinya, maka kamipun berdiri pula. Kata kami, Ya Rasulullah! Itu jenazah orang Yahudi. Sabda Nabi, Apabila kamu melihat Jenazah, berdirilah!”. Pemahaman ini telah membudayakan orang Islam menghormati agama lain.
Orang Melayu juga budayanya suka menjaga kehormatan orang lain kerana paksinya terikat dengan pemahaman hadis yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim bermaksud “Seorang Muslim adalah saudara bagi sesama Muslim. Kerana itu janganlah menganiayanya, jangan membiarkannya teraniaya, dan jangan menghinanya. Taqwa tempatnya di sini! Sambil beliau menunjuk ke dadanya tiga kali. Alangkah besar dosanya menghina saudaranya sesama Muslim. Setiap Muslim haram menumpahkan darah saudaranya sesama Muslim. Haram merampas hartanya, dan haram mencemarkan kehormatan atau nama baiknya”.
Di atas dasar inilah maka semasa zaman pemerintahan Raja-raja Melayu di Tanah Melayu, tetamu dari negara asing seperti peniaga Arab, Cina dan Eropah dimuliakan sebagai tetamu yang diberikan penghormatan dengan hati yang terbuka. Namun sebahagian daripada tetamu ini yang datang ke Tanah Melayu atas alasan berdagang telah mengambil kesempatan untuk menjajah Tanah Melayu.
Semasa Tanah Melayu menuntut kemerdekaan daripada Penjajah, orang Melayu berbesar hati menerima orang Cina dan India menjadi warganegara atas dasar muhibah yang terbina sejak dulu lagi. Orang Melayu tidak meminta sebarang hak orang Cina dan India dikurang, malah mereka mendapat lebih daripada apa yang mereka dapat daripada pihak penjajah.
Begitu juga sikap dan perasaan orang Melayu kepada kehilangan kedaualatan terhadap Tanah Melayu Singapura. Sebahagian persempadan Tanah Melayu telah diberikan kepada bukan Melayu hanya melalui meja perundingan demi keamanan negara. Ini merupakan pengorbanan besar yang diberikan oleh orang Melayu di Tanah Melayu. Jarang sekali di dalam dunia ini terdapat sedemikian perlakuan sebagaimana yang ditunjukkan oleh orang Melayu.
Apabila Tanah Melayu bergabung dengan Kepulauan Borneo untuk membentuk Persekutuan Tanah Melayu yang dikenali Malaysia, masyarakat pribumi Sabah dan Sarawak mendapat taraf sama rata seperti orang Melayu di Tanah Melayu. Walhal dalam beberapa hal berkaiatan, masyarakat pribumi Sabah dan Sarawak mendapat kelebihan berbanding orang-orang Melayu di Semananjung Malaysia dalam hal pemilikan tanah dan permastautinan.
Maka setelah Malaysia terbentuk, digubal lagu NegaraKu yang mengikat dan menyatukan semangat patriotisme semua kaum dan agama di negara ini melalui lagu kebangsaan yang berbunyi “NegaraKu Tanah tumpahnya darahku, Rakyat hidup bersatu dan maju, Rahmat bahagia Tuhan kurniakan, Raja kita selamat bertakhta. Rakyat hidup bersatu dan makmur, rahmat bahagia Tuhan kurniakan, Raja kita selamat bertahta”. Pada ketika itu tidak ada isu pertikaian yang dituntut oleh orang Melayu terhadap penggunaan perkataan ‘Tuhan’ dalam lagu kebangsaan ini demi menjaga perasaan penganut agama lain.
Begitu juga setelah peristiwa hitam 13 Mei yang merosakkan perpaduan dan ketenteraman negara, kerajaan pada ketika itu telah mewujudkan ideologi kebangsaan dengan prinsip Rukun Negara untuk menyatupadukan kaum dan agama di negara ini. Lima prinsip utama Rukun Negara ini terdiri dari Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-undang; Kesopanan dan Kesusilaan. Hakikatnya, orang Melayu tidak juga mempertikaikan pengunaan perkataan ‘Tuhan” dalam prinsip pertama Rukun Negara atas dasar menjaga semangat muhibah dan hormat pada penganut agama lain.
Inilah timbang-rasa, penerimaan dan semangat muhibah yang terjalin pada ketika itu. Dalam hal ini, orang Melayu menyedari hak agama lain dalam negara ini serta menghormati penganut agama lain tanpa mempertikaian sekeras-kerasnya penggunaan perkataan tersebut (Tuhan) dalam lagu dan ideologi kebangsaan; NegaraKu dan Rukun Negara. Walhal, orang Melayu boleh menuntut sekeras-keras kepada kerajaan supaya menggunakan perkataan ‘Allah’ dalam lirik lagu kebangsaan kepada “Rahmat bahagia Allah kurniakan” dan prinsip pertama Rukun Negara kepada “Kepercayaan kepada Allah”, tetapi kemahuan ini tidak dituntut demi menjaga hati dan perasaan penganut agama lain. Inilah pengorbanan besar orang Melayu yang jarang sekali dihormati dan disanjung.
Berdasar peruntukkan rasmi dalam Perlembagaan Malaysia yang memaktubkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, apakah wajar dan boleh umat Islam di negara ini menuntut supaya perkataan ‘Tuhan’ dalam lagu kebangsaan dan Rukun Negara ditukar kepada ‘Allah’?
Apa pula perasaan warga Malaysia yang beragama Hindu, Buddha, Sikh, Kristian Anglican, Kristian Protestant, Kristian Methodist, Kesaksian Jehovah dan lain-lain agama terhadap tuntutan ini? Sudah tentu mereka merasa kurang selesa kerana Tuhan mereka memiliki nama Khas yang lain daripada ‘Allah’.
Oleh yang sedemikian, janganlah segelintir penganut mazhab agama yang berfikiran cetek cuba menjejaskan kestabilan dan keharmonian dengan mengenengahkan tuntutan-tuntutan yang tidak menjaga perasaan orang lain.
Kestabilan dan keharmonian kaum dan agama di negara ini telah dipupuk bersama sejak dulu lagi dan mendapat sanjungan dan pujian dari negara-negara lain. Janganlah ada segelintir orang-orang tertentu yang telah dimuliakan oleh Raja-raja Melayu dengan pelbagai gelaran kehormat dan keistimewaan cuba menggugat keharmonian yang sudah terbina. Paling tidak mesti ada perasaan hormat kepada Yang Dipertuan Agung kerana baginda lah Ketua Negara dan penjaga kesucian Islam.
Sebagai rakyat Malaysia yang sejati, janganlah kita menggadaikan kesejahteraan dan keamanan negara dengan membangkitkan dan mempolitikan isu-isu keagamaan dan perkauman kerana akibatnya kita juga yang akan rugi sekiranya berlaku ketegangan dan konflik. Dalam hal ini, kita tidak dapat beribadat dengan khusyuk.
Dalam konteks negara kita, menjaga emosi dan sensitiviti adalah paling penting kerana emosi yang tidak terkawal akan membelakangi keyakinan dan akal. Sekiranya emosi dipersendahkan, maka terjadilah pembakaran rumah ibadat dan penghinaan agama. Sukar bagi kita mengawal orang-orang yang beremosi dari mengawal diri sendiri daripada mencetuskan perselisihan. Orang-orang yang beremosi keterlaluan selalunya bertindak di luar batasan. Sudah tentu kita semua mahu menghindari perkara-perkara ini daripada berlaku dalam kawasan kita.
Oleh itu, marilah kita semua bersatu atas persetujuan menjaga kesejahteraan dan keamanan negara. Selesaikan perselisihan faham penggunaan kalimah Allah di meja perundingan dengan menggunakan naluri mata hati bukannya melalui kaca mata perundangan.