Pelaksanaan subsidi petrol secara bersasar menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 atau BUDI95 mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh disiplin fiskal negara melalui tadbir urus perbelanjaan awam yang lebih cekap dan adil. Langkah ini bukan sekadar bertujuan mengekang ketirisan subsidi dan mengurangkan beban kewangan kerajaan, malah menyediakan ruang untuk menyalurkan semula penjimatan tersebut kepada inisiatif pemuliharaan alam sekitar berimpak tinggi misalnya penggunaan teknologi hijau dan pembangunan bahan bakar mesra alam. Dalam era perubahan iklim global yang semakin ketara, penjimatan subsidi petrol wajar dilihat sebagai peluang dasar yang penting untuk mempercepat peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.
Kementerian Kewangan Malaysia menganggarkan bahawa subsidi bersasar bagi petrol RON95 mampu menjana penjimatan fiskal tahunan sekitar RM8 bilion daripada kira-kira RM20 bilion yang dibelanjakan sebelum ini. Isu utama yang dihadapi sebelum ini ialah ketirisan besar dalam sistem subsidi pukal. Hal ini kerana dianggarkan hampir 40 peratus penggunaan petrol melibatkan segmen bukan warganegara, penggunaan komersial serta aktiviti penyeludupan. Keadaan ini menyebabkan subsidi dinikmati oleh kumpulan sasaran yang salah sekali gus menjejaskan keadilan sosial dan kecekapan pengurusan perbelanjaan negara.
Melalui BUDI95, harga runcit petrol RON95 telah dinaikkan ke RM2.60 seliter. Oleh itu, kumpulan yang tidak layak menerima subsidi perlu membayar pada harga tersebut. Pada masa yang sama, rakyat Malaysia yang layak boleh menikmati harga bersubsidi RM1.99 seliter melalui pengesahan MyKad. Pelaksanaan yang bermula secara berperingkat sejak 27 September lalu ini turut menetapkan had pembelian sehingga 300 liter sebulan bagi individu yang layak. Pendekatan ini memastikan subsidi disasarkan secara lebih tepat kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan, di samping mengurangkan pembaziran dan ketirisan sumber negara.
Kerajaan telah menetapkan bahawa penjimatan fiskal daripada program pengurangan subsidi ini akan diagihkan semula kepada program bantuan sosial seperti Sumbangan Asas Rahmah. Walau bagaimanapun, dalam kerangka pembangunan mampan, penjimatan ini juga perlu dimanfaatkan secara strategik untuk memperkukuh agenda pemuliharaan alam sekitar. Secara langsung atau tidak langsung, pengurangan subsidi petrol boleh memberi kesan positif kepada alam sekitar khususnya jika diteliti dalam jangka masa panjang.
Pertama, pengurangan subsidi dijangka menyumbang kepada pengurangan penggunaan bahan api fosil. Hal ini sebenarnya selari dengan apa yang ditekankan dalam Islam iaitu kesederhanaan dalam penggunaan dan penolakan sikap berlebihan walaupun terhadap perkara yang halal. Penggunaan bahan api fosil secara boros bukan sahaja membebankan alam sekitar, malah bertentangan dengan tuntutan agama yang menggalakkan umatnya hidup secara sederhana. Harga petrol yang terlalu rendah akibat subsidi sebenarnya boleh mendorong penggunaan berlebihan. Apabila harga bahan api dinaikkan dan lebih mencerminkan kos sebenar termasuk kos alam sekitar, pengguna akan menjadi lebih berhati-hati dalam perbelanjaan dan penggunaan minyak. Keadaan ini secara semula jadi menggalakkan perkongsian kenderaan, penggunaan pengangkutan awam serta perancangan perjalanan yang lebih cekap, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap sumber tenaga fosil yang semakin terhad.
Selanjutnya, pengurangan penggunaan petrol membawa kepada penurunan pelepasan karbon dan pencemaran udara. Pembakaran petrol dan diesel merupakan antara penyumbang utama kepada pelepasan karbon dioksida yang mempercepat perubahan iklim global. Pengurangan pelepasan ini berpotensi meningkatkan kualiti udara bandar dan mengurangkan beban kesihatan awam khususnya kepada golongan B40 yang sering terdedah kepada pencemaran akibat tinggal di kawasan berpenduduk padat dan berhampiran laluan trafik utama.
Ketiga, pengurangan subsidi petrol menghantar satu isyarat dasar yang jelas bahawa bahan api fosil bukan lagi pilihan tenaga jangka panjang. Subsidi yang berpanjangan selama ini telah memberikan isyarat yang mengelirukan seolah-olah penggunaan bahan api fosil tidak mempunyai kos alam sekitar. Dengan penstrukturan semula subsidi, jelas bahawa kerajaan sedang bergerak ke arah ekonomi rendah karbon dan membuka ruang kepada pelaburan dalam pengangkutan awam yang lebih bersih dan cekap tenaga.
Dalam konteks ini, penjimatan subsidi wajar disalurkan kepada peningkatan kualiti dan liputan pengangkutan awam seperti bas elektrik, sistem rel bandar yang cekap serta integrasi mobiliti pintar. Pelaburan sedemikian bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon, malah menyediakan alternatif pengangkutan yang mampu milik dan inklusif kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.
Selain itu, penjimatan ini juga boleh dimanfaatkan untuk menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik dan hibrid melalui insentif cukai, pembangunan infrastruktur pengecasan dan sokongan kepada rantaian bekalan tempatan. Peralihan kepada kenderaan elektrik dapat mengurangkan kebergantungan kepada petrol dan diesel seterusnya menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon bagi sektor pengangkutan yang merupakan antara penyumbang terbesar kepada pencemaran udara.
Di samping itu, pelaburan dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan biojisim juga perlu diperkukuh melalui menggunakan penjimatan subsidi petrol. Tenaga solar berpotensi besar di Malaysia berikutan kedudukan geografi negara manakala biojisim dapat dimanfaatkan daripada sisa pertanian dan industri. Pembangunan sumber tenaga ini bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon malah menyumbang kepada keselamatan tenaga dan mencipta peluang pekerjaan hijau.
Lebih penting lagi, penjimatan subsidi petrol juga boleh digunakan untuk meneroka dan membangunkan teknologi hidrogen sebagai bahan bakar masa hadapan. Hidrogen yang dihasilkan daripada sumber tenaga boleh diperbaharui berpotensi menjadi alternatif bersih kepada bahan api fosil khususnya dalam sektor pengangkutan berat dan industri. Pelaburan awal dalam penyelidikan, infrastruktur dan pembangunan hidrogen akan meletakkan Malaysia pada kedudukan strategik dalam landskap tenaga global.
Kesimpulannya, penjimatan sekitar RM8 bilion setahun hasil pengurangan subsidi petrol melalui BUDI95 merupakan satu peluang dasar yang strategik untuk menyepadukan agenda fiskal dengan pemuliharaan alam sekitar dan peralihan tenaga negara. Dengan menyalurkan penjimatan ini kepada pengangkutan awam bersih, kenderaan elektrik dan hibrid, penerokaan tenaga boleh diperbaharui serta teknologi hidrogen, Malaysia sedang melangkah ke arah pembangunan yang mampan, adil dan berdaya tahan demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.

