“Dan tidaklahhalal bagi kamu mengambil kembali sesuatu daripada apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri kamu), kecuali jika kedua-duanya(suami isteri) takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu).”
Ayat 229 Surah al-Baqarah inilah yang menjadi dalil kepada semua ulama mengenai keharusan pembubaran perkahwinan melalui tebus talak ataupun khuluk. Dalam bahasa Arab, konsep khuluk berasal dari kata-kata khala’a al-thauba yang bermaksud menanggalkan pakaian.Menurut fuqaha, khuluk adalah pembubaran perkahwinan yang dilakukan oleh pihak isteri dengan membayar ganti rugi kepada suaminya.
Pengalaman pada zaman Rasulullah SAW juga turut dijadikan sebagai sandaran hukum berkenaan khuluk.Ibn Abbas meriwayatkan satu Hadis bagaimana Jamilah binti Abdullah, isteri kepada Thabit bin Qais mengadu kepada Rasulullah SAW berkenaan kesusahan hatinya jika meneruskan kehidupan berumah tangga bersama Thabit. Wanita ini menyatakan bahawa Thabit tidak mempunyai masalah akhlak mahupun dalam perkara-perkara bersangkutan agama, akan tetapi beliau bimbang akanmenjadi seorang hamba Allah yang berdosa disebabkan tidak mampu memenuhi tuntutan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Baginda Rasulullah SAW mendorongkan kepada beliau jalan penyelesaian dengan cara mengembalikan semula sebidang tanah kebun yang diberikan oleh Thabit sebagai mahar pada waktu pernikahan. Persetujuan di pihak Jamilah dilanjutkan dengan saranan Rasulullah kepada Thabit untuk menerima semula mahar tersebut, dan berakhirlahkemelut perkahwinan antara Jamilah dengan Thabit dengan baik.
Dalil-dalil ini memberi bukti bahawa tidak wujud kuasa monopoli perceraian oleh kaum lelaki walaupun mereka digelar sebagai sahib al-talaq, iaitu tuan punya talak.Khuluk seharusnya dilihat sebagai pengimbang kepada kuasa talak yang diberi dan diamanahkan kepada pihak suami.
Dalam talak, sekali talak dilafazkan maka terbubarlah satu-satu perkahwinan walaupun ia dibuat di luar mahkamah. Walaubagaimanapun agama Islam memberikan garis panduan melalui hukum-hukum menjatuhkan talak kepada isteri dalam suasana tertentu untuk mengelak berlakunya penganiayaan kepada pihak isteri. Selanjutnya, peruntukan iddah kepada isteri yang diceraikan dan hak nafkah selama tempoh beriddah selain mutaah menunjukkan unsur belas ihsan dan keutamaan menjaga kebajikan kepada pihak isteri sebagai rakan kongsi kehidupan berkeluarga.
Atas dasar suami merupakan sahib al-talak, maka undang-undang keluarga Islam memperuntukkan khuluk bagi pihak isteri iaitu dengan cara menebus dirinya ketikaberhadapan dengankemelut perkahwinan yang tidak berkesudahan. Jika kita dapat melihat khuluk sebagai pengimbang kepada talak, maka kejernihan hati kita akan dapat melihat betapa syumulnya agama Islam dalam dimensi keadilan.
Situasi tertentu menerbitkan hukum tertentu apabila menjatuhkan talak kepada isteri, sama ada ia jatuh kepada wajib, harus, makruh, sunat ataupun haram. Begitu juga dalam tuntutan pembubaran perceraian melalui khuluk. Menurut Ibnu Munzir, khuluk tidak boleh berlaku dengan sewenang-wenangnya. Ia tidak akan dibenarkan kecuali apabila berlaku perselisihan antara suami isteri. Ada juga ulama berpendapat, jika isteri mengugut untuk tidur dengan lelaki lain atau orang yang dibenci suaminya, maka adalah wajib bagi suami tersebut untuk menerima khuluk.
Sesetengah ulama meletakkan kederhakaan sebagai syarat kepada sah khuluk, namun Abu Hanifah dan Imam Syafii menolak syarat tersebut. Pendirian Imam Abu Hanifah dan juga Imam Syafii dilihat selaras denganfaktor-faktor penyelesaian yang didorongkan oleh Rasulullah terhadapkonflik yang berlaku antara Jamilah dan juga Thabit; Jamilah tidak menderhakai suaminya, malah kebimbangannya tidak dapat menjalankan tanggungjawab isteri dengan sempurna telah menjadi alasan dan juga keterangan untuk membuat tuntutan perceraian oleh beliau. Baginda Rasulullah SAW pula menerima alasan tersebut dan tidak sedikit pun mempertikaikannya.
Walaupun ia seperti jalan keluar yang luas dan mudah bagi pihak isteri untuk melepaskan ikatan perkahwinannya, tetapi menurut al-Marghinani, secara logiknya seorang perempuan atau isteri tidak akan sanggup membuat sebarang tindakan yang akan merugikan dirinya sendiri sehingga sanggup mengeluarkan sejumlah wang miliknya sendiri melainkan demi kesejahteraan dan keselamatan diri, dan ini lebih penting buat dirinya sehingga memerlukan kepada pembubaran perkahwinan.
Mungkin banyak rahsia getir rumah tangga yang tersimpan tetapi pada masa yang sama pihak isteri tidak mahu mendedahkannya demi menjaga nama baik suami dan rahsia tersebut boleh menjadi alasan perceraian melalui fasakh, maka tebus talak ataupun khuluk adalah alternatif yang boleh diambil tanpa memburukkan mana-mana pihak.
Sebenarnya, kesungguhan Jamilah hendak membubarkan perkahwinan adalah sehingga disebut dalam satu riwayat, beliau sanggup membuat bayaran yang lebih, bukan sahaja memulangkan semula kebun yang diterimanya sebagai mahar semasa pernikahan berlangsung malahan juga hendak menambahnya dengan sejumlah wang. Walau bagaimanapun tawaran tersebut telah dilarang oleh Baginda Rasulullah. Apa yang penting, sejumlah bayaran hendaklah dibuat untuk membolehkan perceraian melalui khuluk berlaku.
Menurut sesetengah ulama terdapat suasana yang membenarkan pihak suami boleh menerima khuluk dengan jumlah yang melebihi mahar, akan tetapi sekiranya penentuan kadar penebusan merupakan beban berat kepada isteri bagi melepaskan dirinya tentulah ia sesuatu yang bersifat zalim dan menganiaya. Ujar Imam Malik sebagai reaksi kepada perkara ini, “… ia berlawanan dengan makarim al-akhlak, iaitu kemuliaan akhlak seseorang“.
Amalan di Malaysia, khuluk dapat dilaksanakan apabila suami bersetuju dengan jumlah yang isteri tawarkan, ataupun pihak isteri melunasi pembayaran mengikut kadar yang diminta oleh pihak suami. Sekiranya pihak suami tidak bersetuju dengan amaun yang ditawarkanoleh pihak isteri ataupun sebaliknya, hakim biasanya akan mengarahkan supaya diwujudkan satu jawatankuasa pendamai bagi mewakili kedua-dua belah pihak untuk memutuskan pertikaian jumlah tersebut. Dengan jumlah yang telah disepakati oleh jawatankuasa berkenaan, maka pembubaran perkahwinan berlaku apabila pihak isteri membayar amaun berkenaan kerana autoriti suami untuk menjatuhkan talak telahpun diambil alih oleh jawatankuasa pendamai tersebut.
Peruntukan yang terkandung dalam undang-undang keluarga Islam juga membenarkan hakim untuk membuat keputusan menetapkan jumlah sekiranya terdapat pertikaian oleh pihak-pihak. Keputusan tersebut merupakan suatu perintah yang mesti dipatuhi oleh pihak-pihak yang terlibat. Sekiranya ada pihak yang ingkar terhadap perintah tersebut, hakim boleh membuat perintah menghina mahkamah sebab ingkar perintah, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh seorang hakim syarii di Pulau Pinang.
Berhubung penetapan jumlah penebusan talak, Hadis sebelum ini telah pun menjelaskan kaedah pembayaran dengan memulangkan jumlah mahar yang telah diberikan oleh suami kepada isteri semasa akad. Konsep ini sebenarnya ada persamaan dengan undang-undang kontrak yang jika seseorang itu sudah tidak menyukai barang yang pada awalnya telah dipersetujui menurut satu-satu perjanjian, maka ia perlu memulangkan semula barang tersebut kepada pemilik asal, dan konsep ini dikenali sebagai restitutio in integrum.
Dengan sifat kesederhanaan yang Islam miliki, perceraian bukanlah bermakna telah berakhirnya sebuah kehidupan kepada mana-mana pihak yang terlibat. Malah sekiranya pasangan suami isteri yang telah bercerai berhasrat untuk mendirikan semula perkahwinan, tidak ada sebarang halangan oleh hukum Syarak untuk mereka melakukannya.
Masih ada ruang untuk memperbaiki amalan yang berlaku di Malaysia supaya ia lebih mudah untuk mencapai maqasid Syariah. Intipati firman Allah SWT, ayat 229 Surah al-Baqarah, dan bagaimana ia diselesaikan ketika Baginda Rasulullah menjadi hakim, membawa rumusan dan suatu kefahaman bahawa tebus talak ataupun khuluk adalah pengimbang kepada kuasa talak yang diberi kepada suami, dan penyelesaian yang dibuat benar-benar tidak memberi beban kepada pihak isteri. Apatah lagi khuluk tidak boleh dibuat secara yang wewenang.