Idea persefahaman politik adalah satu bentuk kesepakatan dan persetujuan di antara parti-parti politik serta pemimpin masing-masing tentang sesuatu isu atau perkara demi kebajikan rakyat dan kedaulatan negara. Mewujudkan persefahaman politik adalah satu perkara yang merumitkan terutama jika melibatkan perbezaan ideologi yang ketara. Di United Kingom contohnya, persefahaman politik atau ‘political consensus’ pernah menjadi sebahagian daripada agenda politik arus perdana negara itu dari tahun 1945 sehinggalah ianya ditamatkan oleh Margaret Thatcher pada tahun 1979. Dalam membicarakan kepentingan pendekatan ini, yang menjadi keutamaan adalah usaha mencapai satu bentuk persetujuan atau ‘consensus’ di kalangan umat Islam tentang hal-hal yang membawa kebaikan kepada masyarakat Malaysia secara keseluruhan. Tidak akan menjadi hina atau dipandang lemah jika kelompok-kelompok politik yang berlainan ini bersetuju atas dasar-dasar atau usaha yang dapat membawa kebaikan kepada masyarakat dan negara. Malahan, mereka akan lebih dipandang tinggi dan dihormati kerana berjaya meletakkan keutamaan umat melebihi sentimen perjuangan politik sempit masing-masing. Pemimpin-pemimpin politik umat Islam juga harus sedar akan kewujudan individu-individu di kalangan bukan Islam dan umat Islam sendiri yang ingin melihat perbalahan berterusan bagi memenuhi agenda peribadi mereka.
Amat jelas bahawa perpecahan di kalangan umat Islam di Malaysia hari ini adalah disebabkan perbezaan dalam perjuangan politik kepartian. Masing-masing menegaskan bahawa perjuangan mereka adalah untuk kebaikan Islam. Ditambah pula dengan sifat ego dalam berpolitik yang akhirnya membawa kepada pertelingkahan. Kegagalan membuktikan kesepakatan atau persefahaman di kalangan pemimpin Islam akan menjejaskan imej Islam itu sendiri. Kelemahan pada agama akan dinilai berlandaskan kegagalan ia menyatukan pihak yang bersaing untuk duduk berbincang atas nama agama. Perpecahan di kalangan umat Islam hari ini bukan sahaja disebabkan oleh faktor perbezaan pandangan tetapi juga disebabkan oleh ketaksuban terhadap individu melampaui komitmen terhadap agama. Akhirnya, ini akan melemahkan umat Islam yang berterusan dihimpit dengan pergolakan di kalangan kelompok sendiri sehingga gagal menyelesaikan perkara berkaitan kepentingan ummah.
Pemeliharaan Agama adalah satu keutamaan dan ianya bukan sahaja dinilai dari aspek menegakkan hukum-hukum agama tetapi juga merangkumi usaha memelihara aqidah dan imej Islam itu sendiri. Jika sebarang bentuk perbalahan di kalangan umat Islam itu mengakibatkan Islam itu dilabel dengan penilaian negatif dan dicemuh, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk mengembalikan kredibiliti agama kepada yang sepatutunya. Persefahaman politik tidak semestinya diterjemahkan dalam bentuk penglibatan umat Islam dalam satu parti politik sahaja. Memandangkan demokrasi juga boleh disuburkan dalam Islam, persefahaman atas perkara-perkara yang benar dan mendatangkan kebaikan kepada masyarakat harus dijadikan asas kepada tujuan ini. Umat Islam tidak boleh membiarkan ketaksuban dalam perjuangan parti politik masing-masing menjadi penghalang kepada agenda besar Islam dan antaranya adalah bagi mengekalkan perpaduan dan pemantapan ukhuwwah.
Dalam Surah Ali-Imran, ayat 103, telah digariskan kepentingan tentang perkara ini.
“Dan berpeganglah kamu semua kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai. Dan ingatlah akan nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyyah) bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hati kamu, lalu menjadilah kamu dengan nikmat Allah orang-orang yang bersaudara. Dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada kamu, agar kamu mendapat petunjuk.”
Kematangan berpolitik juga bergantung kepada sejauh mana pihak-pihak yang bertelagah boleh bersetuju dan berlapang dada apabila dikritik. Kekuatan umat Islam akan terjelma apabila perbezaan pendapat yang sedia ada tidak dijadikan alasan untuk bermusuh. Ini adalah kerana Islam dan umat Islam akan dilihat lemah apabila ia gagal menyatukan kelompok yang bertelagah ini walaupun berkongsi aqidah yang sama. Perbezaan dan perselisihan pendapat itu adalah lazim tetapi tidaklah sehingga mendatangkan mudharat kepada agama, kehidupan dan aqal manusia. Sehubungan dengan itu, umat Islam haruslah peka antara keperluan untuk bercanggah pendapat dan juga keperluan untuk membina persefahaman.Permulaan yang baik dalam membina persefahaman ini ialah mengenepikan sikap penting diri dan menjadikan Islam sebagai kayu ukur kepada setiap penilaian dan asas kepada sebarang tindakan kita. Justeru, ini harus menjadi antara agenda penting Ummah bagi mendepani pelbagai cabaran dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara Islam yang maju, dinamik dan progresif dalam acuannya yang tersendiri.