Program moratorium yang diperkenalkan kerajaan enam bulan lepas akan berakhir pada penghujung bulan ini. Mulai Oktober para peminjam dengan institusi kewangan yang menyertai program ini perlu membayar balik ansuran mereka dengan pihak bank masing-masing. Memandangkan wabak Covid-19 ini masih belum dapat diatasi dan keadaan ekonomi juga masih belum pulih sepenuhnya, kelonggaran untuk menangguhkan atau menstrukturkan semula pembayaran balik ini diberikan kepada mereka yang masih berhadapan dengan masalah kewangan.
Wabak Covid-19 ini ialah sesuatu yang tidak dijangkakan pada awalnya. Apabila ia tercetus dan merebak ke seluruh dunia, kesannya begitu dirasai oleh semua peringkat ahli masyarakat. Bermula sebagai satu wabak yang memberi kesan kepada kesihatan manusia, ia turut mencipta kesan sampingan kerana dalam usaha untuk memerangi wabak ini, pihak berkuasa di seluruh dunia bertindak menghadkan aktiviti-aktiviti harian penduduk mereka. Antara sektor yang paling terjejas ialah ekonomi. Perintah kawalan pergerakan (PKP) yang diambil telah menyebabkan aktiviti ekonomi tergendala. Kesannya banyak perusahaan dan perniagaan menanggung kerugian. Ia kemudiannya dimanifestasikan menerusi peningkatan kadar pengangguran mahupun penurunan jumlah pendapatan yang diterima oleh pekerja.
Jadi apabila kerajaan memperkenalkan program moratorium tempoh hari ia sebenarnya satu langkah yang tepat bagi membantu mereka yang terjejas dalam membayar balik pembiayaan atau pinjaman mereka dengan pihak bank. Ini juga selaras dengan semangat yang dianjurkan Islam sepertimana yang dijelaskan oleh al-Quran di dalam surah al-Baqarah ayat ke 280 di mana Allah swt berfirman yang bermaksud: Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.
Secara amnya ayat ini amat jelas maksudnya dan mudah difahami oleh semua. Mustafa al-Maraghiy dalam tafsirnya menjelaskan bahawa sekiranya orang yang sedang menanggung hutang sedang menghadapi kesulitan, hendaklah pemiutang menunggu atau memberi tempoh sampai penghutang tadi berkelapangan atau mampu melunaskan hutangnya. Bagaimanapun jika pemiutang bersedekah kepada orang yang berhutang yang sedang menghadapi kesulitan dengan membebaskan sebahagian atau seluruh hutangnya, itu adalah lebih baik di sisi Allah swt daripada memberi penangguhan pembayaran balik. (Al-Maraghiy, 2001, 2:649)
Dari satu sudut, panduan yang diberikan oleh ayat ini ialah sesuatu yang sukar untuk diikuti oleh institusi perbankan. Bagaimanapun masyarakat harus berterima kasih kepada institusi ini kerana memberi kelonggaran sepanjang 6 bulan yang lepas untuk menangguhkan pembayaran balik pembiayaan atau pinjaman yang dibuat.
Bagaimanapun jika hutang tadi melibatkan individu dengan individu anjuran al-Quran ini ialah sesuatu yang boleh berlaku di mana pemiutang individu menyedekahkan hutang yang diberikan kepada individu lain yang berhadapan kesulitan untuk membayar balik. Sebenarnya pematuhan kepada panduan ayat ini merupakan satu terjemahan keimanan si pemiutang di mana menurut Hamka hanya orang yang beriman sahaja yang mahu memberi kelapangan kepada orang yang berhutang kepadanya. Apatah lagi kalau yang berhutang tadi orang yang beriman sepertinya juga (Hamka, 2020, 3: 98). Menurut Hamka lagi orang yang beriman tidak perlu didesak-desak untuk membayar hutangnya kerana dia akan berusaha untuk membayar hutangnya. Cuma apabila dia berhadapan dengan kesulitan, pemiutang perlu memberi kesempatan kepadanya.
Selain daripada menggalakkan pemiutang memberi penangguhan kepada penghutang yang terjejas, Islam pada masa yang sama juga menganjurkan agar mereka yang berhutang yang tidak mampu membayar bayar dalam tempoh yang ditetapkan supaya meminta maaf daripada pemberi hutang dan memohon agar diberi tempoh lanjutan untuk melangsaikan hutang tadi.
Menurut Hamka, ada hikmah di sebalik anjuran ini. Pertama ia menunjukkan satu tingkat budi yang wujud dalam diri penghutang. Adab dan budi yang ditunjukkan si penghutang ini boleh memberi kesan kepada pihak pemiutang untuk lembut hati yang akhirnya memungkinkan dia menyedekahkan hutang tadi kepadanya dan seterusnya mengukuhkan ukhuwah sesama mereka. Seterusnya bergantung kepada niat si pemiutang, sedekah tadi boleh dianggap sebagai zakat yang wajib dikeluarkannya kerana dalam Islam, penghutang berhak menerima zakat mahupun diberi sebagai sedekah biasa sahaja.
Apa pun panduan ayat ini adalah terpakai kepada mereka yang berhutang dan berhadapan dengan kesukaran membayar balik hutang tadi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan seperti ramai dalam kalangan masyarakat hadapi sekarang berikutan wabak Covid-19.
Dalam situasi biasa, dalam Islam hutang wajib dibayar baik hutang sesama rakan dan saudara mahupun hutang dengan institusi perbankan. Terdapat banyak hadis yang menyentuh tentang hal ini. Antaranya ialah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang menerangkan tentang pengharaman penangguhan atau melengah-lengahkan pembayaran hutang oleh peminjam yang berkemampuan. Begitu juga dalam kes orang yang mati syahid. Dalam Islam orang yang mati syahid akan diampunkan oleh Allah swt semua dosanya kecuali dosa hutangnya. Malah Nabi saw sebelum dia melakukan solat jenazah, baginda akan bertanya sama ada si mati tadi masih mempunyai hutang atau tidak. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Baginda tidak solat kan jenazah yang mempunyai hutang sehinggalah ada sahabat yang berjanji untuk menanggung hutang si mati tadi.
Berbalik kepada konteks semasa di mana program moratorium akan berakhir pada penghujung bulan ini; seperti yang diumumkan kerajaan menerusi moratorium dan bantuan bank bersasar baru-baru ini, mana-mana dalam kalangan kita yang masih lagi terjejas akibat pandemik yang melanda boleh menghubungi bank masing-masing sehingga hujung bulan ini bagi memohon pelanjutan tempoh pembayaran mahupun untuk menstrukturkan semula jumlah ansuran mereka. Langkah awal untuk menghubungi pihak bank bagi memohon lanjutan atau menstrukturkan semula pembayaran balik ini bukan sahaja dapat mengelak rekod kredit seseorang itu menjadi buruk, bahkan ia sebenarnya sebahagian daripada adab yang dianjurkan terhadap penghutang oleh Islam.