Dalam kegembiraan menerima keputusan kerajaan mengenai kenaikan baru bagi gaji kakitangan awam, tidak dinafikan ia mengundang perasaan bimbang kerana ia juga membawa kebarangkalian untuk menyebabkan kenaikan harga barang. Sekiranya kenaikan harga barang ini berlaku, maka matlamat kerajaan untuk membesarkan kuasa beli bagi kakitangan awam tidak terlaksana, malah kesannya akan turut menimpa golongan yang bukan dari kalangan kedua-dua dua sektor ini, iaitu mereka yang bekerja sendiri seperti golongan petani, nelayan dan mereka yang menawarkan perkhidmatan dengan kemahiran tertentu. Golongan yang kurang bernasib baik seperti golongan yang layak menerima bahagian zakat juga dibimbangi menjadi mangsa keadaan.
Apabila Rasulullah SAW bersabda yang antara lain bermaksud, “Bekerjalah kamu, kerana setiap orang itu diberi kemudahan melakukan pekerjaan yang sesuai dengannya”, menunjukkan bahawa setiap individu mempunyai kecenderungan tersendiri dalam dunia kerjaya. Apa yang penting setiap orang boleh menyara diri serta tanggungannya dengan punca pendapatan yang halal seiring dengan saranan Rasulullah dalam satu Hadis lain yang antaranya bermaksud, “Berusaha mencari rezeki yang halal itu adalah suatu kewajipan”.
Berdasarkan kepada kedua-dua Hadis ini, setiap orang akan berusaha untuk mendapatkan pekerjaan sesuai dengan kelayakan dan kemampuannya. Dan menjadi kelebihan atau bonus bagi seseorang sekiranya dia memperoleh pekerjaan yang memang menjadi impian dan cita-citanya sejak zaman persekolahan atau ketika di universiti. Menjawat jawatan sebagai pegawai kerajaan juga antara pilihan yang popular di kalangan rakyat. Malah pernah pada suatu ketika bekerja sebagai kakitangan kerajaan dianggap sebagai pekerjaan yang dipandang tinggi oleh masyarakat disebabkan pendapatan yang diterima secara relatifnya lebih tinggi berbanding pekerjaan yang lain selain terdapatnya keistimewaan-keistimewaan lain serta kos-kos lepas yang membesarkan lagi kuasa beli di kalangan pekerja kerajaan.
Walau bagaimanapun, keadaan ini berubah apabila sektor swasta mula mewarnai bidang ekonomi negara dan pernah pada suatu masa pekerjaan di kilang lebih mendapat tempat berbanding bidang perguruan memandangkan pendapatan tambahan bagi tugas lebih masa dicampur dengan gaji pokok boleh menandingi gaji seorang pendidik. Waima perubahan sosioekonomi berlaku dalam negara dan dunia antarabangsa, fungsi kerajaan tetap perlu dilaksanakan dengan mekanisme dan sumber manusia seperti yang ada pada hari ini.
Kenaikan gaji yang lebih baik pakejnya memang mempunyai hubungan dan kesan secara langsung dengan kualiti dan kuantiti produktiviti. Lazimnya rakyat mengharapkan produktiviti yang berkualiti daripada perkhidmatan kerajaan yang ditawarkan, akan tetapi keadaan tentunya menjadi bertambah baik sekiranya pertambahan kuantiti yang berkualiti beriringan berlaku. Sudah tentu keadaan ini akan mempercepatkan proses pembangunan negara dari semua aspek.
Sehubungan dengan perkara ini Ibnu Khaldun berpendapat bahawa kestabilan kehidupan rakyat dalam sesebuah negara; bersama keadaan yang aman dan keadilan yang dinikmati, mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap kemantapan pengeluaran. Atau dalam erti kata yang lain apabila keadaan sesebuah negara itu stabil, adil dan aman; ia berfungsi sebagai kayu sokong yang sangat kuat untuk meninggikan daya pengeluaran dan hasil pendapatan.
Nampaknya kerajaan Malaysia menerima dan merealisasi teori dan pandangan Ibnu Khaldun apabila kenaikan gaji yang lebih baik diperuntukkan kepada sektor pertahanan dan keselamatan. Sokongan yang diwujudkan ini mempunyai potensi yang sangat kuat untuk membina sistem pertahanan dan keselamatan negara yang lebih berintegriti. Berbanding dengan keadaan semasa yang anggota keselamatan kita agak terdedah dengan amalan rasuah. Amalan yang buruk dan keji ini sebagaimana yang kita maklum ibarat penyakit barah di dalam tubuh masyarakat dan boleh mengakibatkan pelbagai kepincangan dan kerosakan; itulah sebabnya mengapa Islam mengharamkan amalan rasuah. Sayugia itu, sistem gaji yang baru ini adalah ibarat menutup ruang-ruang kerosakan daripada berlaku terhadap masyarakat. Dan inilah sebenarnya antara tanggungjawab manusia sebagai khalifah di atas muka bumi yang perlu mencegah fasad daripada berlaku. Ia juga selaras dengan rumusan Imam al-Ghazali dalam membincangkan Kemudaratan Mesti Dihapuskan sebagai salah satu kaedah fiqah dengan kata-katanya yang masyhur, “mencegah kerosakan itu lebih utama berbanding mendapatkan manfaat”.
Isu kenaikan harga barang sepatutnya tidak perlu timbul sekiranya setiap individu yang terlibat dalam dunia pasaran memahami fungsi pendapatan yang diraih oleh setiap orang. Pendapatan sangat diperlukan bagi menyempurnakan keperluan asas dan hasrat seseorang serta tanggungannya. Secara umumnya, pendapatan yang lebih baik bertujuan untuk membina kualiti hidup yang lebih baik. Sekiranya pendapatan yang diperoleh pada hari ini hanya mampu membiaya 70% keperluan isi rumah, benarkan ia memiliki pendapatan yang lebih besar pada Julai akan datang supaya dia dapat menguruskannya dengan selesa; tanpa kekangan atau tekanan daripada mana-mana pihak dan supaya dia dapat menyelesaikan baki 30% daripada keperluan keseluruhan. Selanjutnya, jika pendapatan yang baru ini memberi lebihan, benarkan ia menyimpan atau melabur bagi keperluan masa depan dan tabungan untuk menangani sebarang hal kecemasan.
Selain ia adalah sumber pembinaan kehidupan yang lebih berkualiti, ia juga adalah modal bagi seseorang untuk melaksanakan tanggungjawab sosial seperti meraikan undangan, melaksanakan ibadah korban, akikah dan bersedekah. Begitu juga dalam pelaksanaan membayar zakat fitrah, kewajipan ini tentunya dibayar dengan menggunakan pendapatan yang diraih seseorang daripada hasil kerjanya. Dengan adanya pendapatan, seseorang juga mempunyai potensi untuk menunaikan ibadah haji dan umrah. Berekreasi atau melancong juga merupakan tuntutan badaniah yang mempunyai perkiraan pahalanya. Selain tidak dinafikan seseorang dapat membayar kifarah ataupun sebarang denda bila dia melanggari peraturan atau undang-undang.
Sekiranya semua pihak memahami hasrat dan matlamat kerajaan mewujudkan sistem gaji yang baru ini, maka golongan yang menerimanya akan menguruskan pendapatan ini dengan cara yang berhemah dan bijaksana. Kelebihan ini juga tidak akan dimanipulasi oleh mana-mana pihak. Kebaikan jangka panjang akan berlaku dan manfaatnya pasti akan dirasa oleh semua rakyat sekiranya kita lapang dada, bersabar dan tidak cepat melatah.