Salah satu aspek yang sangat diberi perhatian oleh Islam bagi memastikan supaya perjalanan sistem hidup manusia dapat berlangsung dalam suasana yang sihat dan harmoni ialah kesempurnaan akhlak. Ini kerana akhlak yang baik dan mulia sahaja dapat menjamin kesejahteraan dan kejayaan dalam menjalani kehidupan yang penuh dengan cabaran ini. Secara umumnya akhlak boleh dipecahkan kepada dua pembahagian. Pertama, akhlak Islam, dan yang kedua ialah akhlak falsafah atau lebih dikenali sebagai etika.
Akhlak Islam ialah akhlak yang bersumberkan wahyu (Quran dan sunah), bersifat kudus, mutlak, rabbani dan tetap sepanjang zaman. Sementara akhlak falsafah pula berdasarkan kepada kemampuan pemikiran manusia, yang pastinya tidak kudus, berubah-ubah mengikut zaman dan kepentingan dan tidak mutlak.
Oleh yang demikian, apabila membincangkan mengenai akhlak dan etika yang menjadi asas kepada kejayaan sesuatu profesionalisme, maka seringkali dua bahagian akhlak ini ditemui sama ada secara seiring ataupun bertentangan. Dengan itu, apabila membicarakan antara kerjaya profesional dan akhlak yang dilihat dari perspektif Islam, maka beberapa perkara berikut perlu diambil kira, iaitu;
1. Kesesuaian kod etika yang berkaitan dengan profesion.
2. Masalah-masalah yang akan timbul yang berkaitan dengan kejayaan dan kegagalan sesuatu profesion.
3. Adakah amalan sesuatu profesion itu menurut tuntutan akhlak?
4. Sejauh manakah kebenaran sesuatu profesion itu dari sudut penilaian akhlak?
Dari perspektif akhlak, sesuatu pekerjaan yang hendak dilakukan mestilah tidak membawa bencana atau kerosakan, sama ada terhadap diri sendiri, masyarakat ataupun alam sekitar. Pekerjaan tersebut hendaklah selaras dengan tujuan akhlak Islam, iaitu untuk melindungi agama, akal, nyawa, maruah dan harta.
Di samping itu juga, kerjaya tersebut hendaklah tidak bercanggah dengan larangan agama seperti menjadi tukang sihir, pengedar arak atau dadah, pengurus perjudian, pemakan riba, sama ada dikerjakan secara profesional ataupun tidak.
Pada umumnya, kerjaya yang dibenarkan oleh Islam juga harus benar dan sah dari segi pelaksanaannya. Atau dengan perkataan lain, walaupun pada hakikatnya pekerjaan itu mungkin benar dan sah, tetapi jika dilaksanakan dengan cara yang tidak diizinkan oleh Islam, maka ia tetap haram dan ditegah.
Kerjaya yang selaras dengan syarak iaitu sesuai dengan al-Quran, Hadis, Qias dan Ijmak, maka ia dianggap sebagai ibadah umum dan pelaksanaannya akan diberi ganjaran pahala oleh Allah s.w.t. Sebaliknya pula, kerjaya yang dianggap tidak syarie dan bercanggah dengan Islam adalah dianggap tidak mempunyai nilai-nilai akhlak.
Daripada pengalaman yang dilalui dan perkembangan profesion itu sendiri menunjukkan bahawa etika profesion adalah sesuatu yang perlu diadakan untuk menghadapi gejala keruntuhan akhlak seperti pecah amanah, rasuah, penyelewengan dan berbagai masalah yang mungkin timbul dalam amalan kerjaya tertentu. Usaha untuk mewujudkan etika ini sudah pasti menambahkan kewibawaan kerjaya berkenaan.
Sungguhpun begitu, kod etika ini sering diasaskan kepada pertimbangan akal semata-mata yang tidak semestinya sesuai dengan nilai akhlak Islam. Oleh itu akan timbul pertembungan antara kod etika buatan manusia dengan nilai akhlak Islam ciptaan Allah s.w.t.
Keadaan ini sudah pasti akan menyulitkan pada kebanyakan orang dan menyebabkan terhakisnya kecenderungan orang ramai untuk mematuhi kod etika yang telah disediakan.
Oleh itu, apa yang penting ialah, kod etika bagi mana-mana profesion hendaklah berasaskan kepada konsep bekerja menurut Islam iaitu yang selaras dengan tuntutan syarak dan akhlak Islam, sama ada terhadap individu, masyarakat, majikan dan juga teman sekerja.
Islam melihat akhlak bukan hanya sekadar pada tingkah laku luaran sahaja tetapi ia juga harus berakar umbi di hati nurani. Kesedaran dalam melakukan amalan-amalan yang baik tidak berlaku sekali-sekala sahaja tetapi hendaklah menjadi darah daging dan amalan setiap masa.
Dalam Islam, akhlak diperkukuhkan dengan peneguhan keimanan kepada Allah s.w.t. serta iltizam yang tinggi terhadap undang-undang agama, di samping menanamkan nilai tauhid yang mendalam dan akhlak yang mulia.
Sungguhpun begitu, suasana masyarakat yang kita miliki tidak sedemikian sifatnya. Apa yang kita lihat dan dengar setiap hari ialah penipuan, penyelewengan, pecah amanah, rasuah dan seribu macam keruntuhan akhlak yang meningkat pada kadar yang membimbangkan. Masyarakat terus-menerus menanggung kerugian akibat daripada salah laku golongan-golongan profesional yang tidak bertanggungjawab.
Sepatutnya, kerjaya profesional yang baik menuntut kepada persekitaran kerja yang baik. Persekitaran yang bersih ini memerlukan kepada manusia profesional yang berakhlak dan dididik dengan nilai-nilai akhlak Islam yang murni. Ia juga menuntut pengurusan yang menjauhkan diri daripada maksiat sama ada di dalam ataupun di luar pejabat.
Dengan adanya penghayatan nilai akhlak yang merata dalam masyarakat di setiap peringkat, maka diharapkan masalah kecurangan dalam kerjaya profesional di negara kita dapat dikurangkan. Dalam usaha untuk memantapkan ketinggian akhlak dalam kerjaya profesional, beberapa langkah perlu diambil, antaranya;
1. Mewujudkan satu suasana pembelajaran yang bersih dari segala faktor yang meransang keruntuhan akhlak di kalangan pelajar sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah ataupun institusi pengajian tinggi.
2. Kegiatan kokurikulum hendaklah seiring dan selaras dengan usaha dan matlamat untuk memupuk rohaniah, kecintaan kepada Yang Maha Pencipta dan juga menanam komitmen yang kuat kepada nilai-nilai akhlak yang mulia.
3. Di peringkat pengajian tinggi pula, boleh diserapkan subjek etika profesional dari kacamata Islam, dengan pelbagai huraiannya terhadap konsep, falsafah dan amalan bekerja menurut Islam serta langkah-langkah pengukuhannya menurut bidang-bidang kerjaya yang tertentu.
4. Tenaga-tenaga pengajar hendaklah terdiri daripada mereka yang mempunyai nilai akhlak yang tinggi agar menjadi model yang dapat dicontohi oleh pelajar.
5. Pembangunan negara seperti ekonomi, pendidikan dan seumpamanya, hendaklah berasaskan kepada nilai-nilai akhlak Islam.
6. Etika kerja dan amalan pengurusan kerjaya hendaklah diterapkan lunas-lunas yang sesuai dengan syarak dan akhlak Islam.
Ringkasnya, setiap ciri dan nilai yang dapat membentuk akhlak yang mulia dalam seseorang individu atau profesional itu hendaklah dipupuk dan ditanam supaya ia menjadi amalan sama ada dalam masyarakat mahupun di tempat bekerja.
Semoga dengan ini usaha untuk melihat golongan profesional dan masyarakat yang berakhlak yang bebas daripada gejala keruntuhan moral dapat dicapai, dan seterusnya membentuk sebuah negara yang progresif dan dinamik.