Fenomena perubahan iklim kini menjadi perbualan hangat dan banyak pihak mula menunjukkan minat untuk memberikan sumbangan buah fikiran. Kalau ditanya para pengkaji hampir kesemua akan mengatakan bahawa punca terbesar perubahan iklim adalah aktiviti manusia. Secara khusus yang dimaksudkan adalah pelepasan gas rumah hijau ke dalam atmosfera bumi dalam tempoh 50 tahun kebelakangan akibat dari aktiviti pembangunan.
Umat Islam yang jumlahnya merangkumi seperempat penduduk dunia turut menunjukkkan perhatian yang serius terhadap masalah ini. Persidangan demi persidangan telah dianjurkan untuk membincangkan masalah-masalah yang berbangkit bagi mencari penyelesaiannya. Sekali lagi aktiviti manusia telah dikenalpasti sebagai puncanya. Tetapi tidak ditanyakan lebih lanjut manusia yang bagaimanakah yang telah menimbulkan masalah sedemikian? Semenjak bila manusia jadi begitu? Bagaimanakah manusia itu menanggapi dirinya, peranan dan tanggungjawabnya, alam sekelilingnya, serta nasib akhirnya? Bagaimanakah tanggapan itu mempengaruhi pula apa yang dia fahami sebagai pembangunan, yang kita dapati bertanggungjawab menimbulkan banyak kerosakan alam?
Kalau diamat-amati soalan-soalan di atas kita dapati kesemuanya adalah berkenaan dengan diri insan dan kehidupan duniawi. Faham diri insan seperti yang dianjurkan oleh pemikiran sekular barat itulah sebenarnya yang menguasai akal manusia moden, dan model pembangunan sekular itulah yang selama ini menjadi ikutan seluruh manusia. Siapakah manusia sekular itu? Iaitulah manusia yang mengikat cita-cita teragung dan nasib akhirnya kepada kehidupan duniawi ini, kerana itulah yang dia akui sebagai kehidupan yang hakiki. Dia menafikan ada hakikat di sebalik apa yang terzahir dari dunia dan isinya itu. Dan dia menafikan bagi insan hakikat selain dari darah dan dagingnya. Itulah secara ringkasnya tanggapan manusia terhadap hakikat dirinya dan kehidupan duniawi. Dengan tanggapan yang sedemikianlah bangsa-bangsa Eropah membangunkan negara mereka menjadi kuasa-kuasa ekonomi, politik dan ketenteraan. Dan dengan kuasa yang mereka miliki itulah mereka mempengaruhi aliran sejarah zaman moden. Maka mereka dicemburui, dan kejayaan mereka mahu dicontohi oleh bangsa-bangsa yang lain, yang melihat dirinya jauh ketinggalan dalam skala kemajuan semasa.
Dalam keghairahan bangsa-bangsa Eropah itu mengejar pembangunan dan kemajuan mereka itulah mereka telah mengubah segala-galanya, iaitu diri dan alam sekeliling. Yang mula-mula berubah dan diubah adalah faham atau tanggapan. Faham diri insan baharu yang mereka anjurkan itu meletakkan manusia sebagai penguasa sebenar alam ini, dan tiada lagi Tuhan atau Hakikat yang perlu dia takuti atau harapkan. Nasib dirinya kini berada dalam tangannya sendiri dan di dunia inilah kesudahannya. Inilah yang mereka mahu manusia yang lain juga terima sebagai ‘hakikat’. Dan oleh kerana mereka telah membuktikan ‘kejayaan’ mereka setelah beralih kepada hakikat itu tidak sukar untuk meyakinkan orang lain untuk menerima hakikat yang sama, iaitu perubahan. Perubahan itulah hakikat, maka kalau ingin maju, syaratnya adalah bersedia untuk berubah. Kata-kata inilah yang telah didendang-dendang menjadi kata hikmat yang tidak dipersoalkan lagi kebenarannya. Setiap orang berazam mahu berubah dan mengubah segala-galanya: agama, nilai, institusi, bahasa, budaya, adab, sehinggalah kepada tabiat seks dan jantina. Semua orang percaya bahawa hanya dengan perubahan yang berterusan sahaja manusia dapat bergerak ke hadapan.
Walau bagaimanapun semua itu kelihatan berubah apabila mereka berhadapan dengan fenomena perubahan iklim. Nampaknya manusia tidak mahu iklim berubah. Mereka takut iklim berubah, dan yang mereka takuti itu adalah kebinasaan yang akan menimpa mereka, walaupun kebinasaan yang mereka takuti itu adalah semata-mata bencana alam seperti ribut taufan, banjir dan kemarau. Mereka masih tidak sedar bahawa falsafah hidup sekular yang mengisbatkan yang berubah-ubah semata-mata dan menafikan yang kekal abadi itulah yang menjadi punca semua masalah ini. Kerosakan alam dan iklim dunia hanyalah bayangan kepada kerosakan sebenar yang berlaku dalam akal dan diri insan.
Al-Quran telah memberi amaran bahawa kerosakan yang berlaku di daratan dan di lautan adalah angkara manusia, dan manusia yang dimaksudkan itu adalah manusia yang mensyirikkan Allah. Syirik adalah kerosakan akal yang paling dahsyat kerana ia adalah penafian kepada Hakikat Yang Amat Nyata. Apabila Hakikat itu dinafikan maka yang tinggal pada renungan insan hanyalah dirinya. Kini dirinya itulah yang menjadi hakikat teragung. Diri itulah yang dia angkat menjadi tuhan, menjadi sekutu kepada Tuhan Yang Hak. Itulah yang telah berlaku, dan al-Quran mengingatkan bahawa sekiranya ada dua tuhan nescaya langit dan bumi akan binasa. Dua tuhan yang dimaksudkan itu adalah apabila yang palsu dipertuhankan di samping Tuhan Yang Hak. Tuhan yang palsu itu adalah tidak lain dari hawa nafsu manusia yang sentiasa mendorongnya ke arah kejahatan. Hawa nafsu itulah yang disamarkan sebagai pembangunan dan kemajuan, maka tidak hairanlah apabila akibat dari pembangunan dan kemajuan itu bukanlah kesejahteraan insan, tetapi kesengsaraan hidup dan kezaliman.
Ternyata manusia kini perlukan perubahan yang besar, dan yang dimaksudkan adalah perubahan yang menyeluruh terhadap akal-budinya. Dia perlu menilai semula secara kritis kerangka pemikiran yang selama ini membawa manusia ke jurang kebinasaan hidup duniawi. Di sinilah letaknya peranan sebenar umat Islam. Mereka hendaklah memimpin agenda perubahan ini, bukan lagi sebagai pengikut agenda orang lain yang sebenarnya tidak pasti ke arah mana mereka mahu bawa manusia kerana mereka sebenarnya tiada arah untuk dituju.