Teknologi boleh meningkatkan keberkesanan dan kecekapan dalam kehidupan namun kemampuan teknologi terbatas terutama dalam menyelesaikan isu berkaitan nilai kemanusiaan dan etika. Aspek ini berbentuk abstrak dan hanya terletak di tangan manusia sama ada untuk mengamalkannya atau tidak, termasuklah isu berkaitan kualiti ketelusan sistem pilihan raya. Dalam situasi ini, pemurnian fungsi dan interaksi manusia-teknologi boleh membantu meningkatkan keyakinan dan ketelusan dalam pilihan raya.
Setiap kali tiba pilihan raya, pasti heboh polemik ketelusan jentera pilihan raya dibangkitkan. Tambahan pula, dengan adanya media sosial, sebaran berita menjadi lebih mudah. Polemik terkini yang tular adalah berkaitan kemungkinan pihak tertentu mengetahui siapa yang mengundi parti yang mana, sedangkan undi adalah rahsia dan pengundi mempunyai kebebasan memilih. Isu ini dikenal pasti berlegar setiap kali tiba musim pilihan raya sejak dahulu lagi. Walaupun kebenaran berita ini boleh diragui, namun ia mampu mencetus kebimbangan seterusnya menjejaskan kredibiliti sistem pilihanraya secara keseluruhannya.
Sebagai langkah proaktif, ada pihak yang mengambil inisiatif menganjurkan gerakan besar-besaran mewujudkan pemantau sukarela (PACA-Polling and Counting Agents). Kempen penubuhan pemantau sukarela ini berjaya menarik ramai penyertaan sukarelawan. Suasana ini membawa kita kepada dua rumusan penting iaitu; ramai yang berpandangan bahawa kredibiliti sistem pilihanraya perlu ditingkatkan dan kedua, teknologi komunikasi media sosial telah berjaya menyampaikan maklumat serta menarik minat sukarelawan menyertai kempen ini. Walau bagaimanapun percaturan semasa berlaku, persoalan yang ingin ditelusuri di sini ialah bagaimana kaedah terbaik meningkatkan kredibiliti sistem pilihan raya dan apakah peranan berkesan yang boleh dimainkan oleh teknologi, terutamanya teknologi maklumat dan komunikasi dalam hal ini?.
Dunia telah berubah dengan adanya teknologi. Apa yang dahulunya dilakukan secara manual kini boleh dibantu oleh teknologi. Hampir semua urusan boleh dilakukan secara atas talian. Aplikasi digital kini menjadi pilihan kerana kemudahan capaian internet dan peranti komunikasi banyak dan murah dalam pasaran.
Tidak hairanlah ramai yang lebih gemar membuat bayaran secara atas talian, menempah barangan dengan hujung jari atau berkomunikasi dengan orang tersayang walaupun jaraknya jauh beribu batu. Malah tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa penggunaan teknologi merupakan pelengkap kepada keperluan kehidupan seharian kita. Di samping memudahkan, teknologi juga menjimatkan kos, masa dan tenaga.
Bagi merungkai polemik berkaitan pilihan raya dengan berkesan, cekap dan beretika, penerokaan potensi teknologi perlu diberi keutamaan. Peruntukan dan kajian perlu dijalankan. Tambahan pula, dengan penemuan teknologi terbaru yang dinamakan blockchain, sistem pilihanraya atas talian dapat dijamin agar ia dilakukan dengan penuh ketelusan dan berkeyakinan. Ini adalah kerana teknologi ini mampu menggabungkan unsur abstrak seperti nilai keyakinan dan ketelusan dalam sistem tersebut kerana sistem pengundian diadakan dengan bentuk terbuka (open source)-pantauan dalam rangkaian oleh semua pelayar data dalam rangkaian.
Teknologi blockchain merupakan teknologi yang pada awalnya digunakan sebagai sistem pembayaran atas talian dengan penerbitan wang digital iaitu Bitcoin. Sejak diperkenalkan, teknologi ini melalui fasa pemurnian fungsi dengan tambahan tingkat keselamatan, ketangkasan transaksi dan kecekapan kos. Fungsi dan kemampuan teknologi ini termasuklah kontrak pintar, platform Web 4.0 dan setoran data tidak berpusat (decentralized data storage) yang lebih berkesan. Dengan menggunakan kodifikasi algoritma rahsia, pengesahan dan pengundian dalam rangkaian disahkan secara terbuka, telus dan berkeyakinan. Berdasarkan kajian, belum ada kes melibatkan perubahan data melalui tindakan menggodam kerana penggodam perlu mengubah rekod yang dimiliki di platform pelayar lain yang tersebar di seluruh rangkaian terbuka tersebut.
Teknologi ini juga boleh dianggap menyerupai metode pengelasan sanad hadith yang dianggap sahih iaitu sifat mutawātir. Maklumat (matan-dalam konteks hadith) yang selari, sama dan benar, tidak terputus antara satu sama lain dan mustahil berlaku perubahan fakta kerana rangkaian, rentetan dan rentasan masa juga direkodkan dalam sistem. Sama juga halnya al-Quran dipelihara dalam dada para huffaz di seluruh dunia. Walaupun tanpa naskah al-Quran, bacaan ayat al-Quran yang salah dapat dikenal pasti dan diperbetulkan oleh mereka yang menghafaz al-Quran.
Aplikasi undian atas talian bukanlah perkara baru tetapi dahulunya ia dibimbangi akan disalahgunakan kerana keterbatasan teknologi dan ancaman keselamatan siber seperti penggodam. Namun, dengan adanya teknologi Blockchain ini, pengundian sudah boleh dilaksanakan secara atas talian tanpa keraguan.
Jika ruang dan peluang diberikan sama ada memilih mengundi manual atau atas talian, pasti pengundian atas talian akan menjadi pilihan majoriti pengundi. Bayangkan betapa sukar dan tingginya kos yang terlibat untuk menjayakan pilihan raya, sama ada di pihak badan pelaksana, pengundi atau pihak-pihak berkaitan. Tanggungjawab sebagai pengundi dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan komitmen rutin harian. Malah peratusan pengundi yang mengundi juga akan meningkat.
Sudah sampai masanya institusi penting negara diperkasakan seiring perkembangan semasa. Dengan adanya platform pengundian atas talian, pengundi boleh mengundi pada tarikh dan tempoh yang ditetapkan sahaja secara serentak. Pihak berkaitan boleh membantu menyokong pilihan raya dengan menyediakan infrastruktur terutamanya di kawasan yang berkemungkinan tiada kemudahan atau capaian.
Pilihan raya dapat dilaksanakan dengan lebih murah, mudah dan cekap, malah keputusannya boleh diprogramkan dan dicapai secara langsung. Penyelidikan dan pembangunan teknologi berkaitan perlu diterokai agar potensinya mampu mengharmonikan interaksi manusia-teknologi dan menjamin sistem undian dan pilihanraya berfungsi dengan berkesan, cekap dan beretika.