Dalam beberapa hari sahaja lagi, permohonan ke institusi pengajian tinggi melalui UPUOnline akan ditutup iaitu pada 18 Mei 2025. Ketika ini, ribuan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sedang giat mengisi dan mengemaskini pilihan kursus masing-masing. Dalam keterujaan mengejar minat dan impian, ramai yang terlupa akan satu perkara penting — iaitu masa depan kerjaya yang menanti selepas tamat pengajian.
Setiap tahun, kita melihat senario yang sama berulang. Pelajar memilih jurusan berdasarkan kecenderungan rakan, populariti kursus atau sekadar minat tanpa memahami keperluan industri. Akibatnya apabila bergelar graduan kelak, ramai yang menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan mereka. Tidak kurang juga yang akhirnya bekerja dalam bidang yang langsung tidak berkaitan dengan apa yang dipelajari.
Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran dalam kalangan graduan adalah sebanyak 9.3% pada tahun 2023, melibatkan lebih daripada 173,000 orang. Manakala laporan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun yang sama menunjukkan bahawa hampir 40% graduan bekerja di luar bidang pengajian mereka, termasuk dalam pekerjaan yang tidak memerlukan kelulusan tinggi.
Masalah ini bukan sahaja menjejaskan individu, malah memberi kesan besar kepada ekonomi negara. Kajian oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Shahidan Shaari pada tahun 2019, ditegaskan bahawa pengangguran dalam kalangan graduan memberi tekanan kepada produktiviti negara kerana bakat dan sumber manusia berpendidikan tinggi tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Keadaan ini juga mengurangkan hasil cukai dan meningkatkan kebergantungan kepada sokongan kewangan kerajaan seperti subsidi dan bantuan pekerjaan.
Lebih membimbangkan, fenomena ketidakpadanan pekerjaan atau ‘job mismatch’ — di mana individu bekerja dalam bidang yang tidak sejajar dengan kelulusan — turut menjejaskan motivasi, produktiviti dan kemajuan kerjaya. Kajian oleh Prof. Dr. Nor Azina Ismail, pensyarah Universiti Malaya menyatakan bahawa ketidakpadanan ini menyebabkan kehilangan hasil ekonomi akibat kurangnya penghasilan daripada potensi sebenar tenaga kerja berpendidikan tinggi.
Tidak dinafikan minat sememangnya penting, ia menjadi pemangkin semangat untuk belajar dengan tekun dan tekal. Namun minat sahaja tidak memadai sekiranya bidang yang dipilih itu tidak menjanjikan prospek kerjaya yang baik atau tidak sejajar dengan keperluan pasaran. Di sinilah keperluan membuat kajian dan pertimbangan rasional sangat dituntut.
Pelajar dan ibu bapa harus meneliti statistik kebolehpasaran graduan ‘GE – Graduate Employability’ yang dikeluarkan oleh KPT saban tahun. Terdapat bidang-bidang yang menunjukkan kadar kebolehpasaran melebihi 90%, seperti teknologi maklumat, pendidikan, perakaunan, kejuruteraan dan sains kesihatan. Dalam masa yang sama, terdapat juga jurusan yang mencatatkan kadar rendah kerana lebihan graduan atau kurangnya permintaan dalam industri.
Selain itu, penting juga untuk memahami perubahan dalam landskap pekerjaan hari ini. Banyak pekerjaan konvensional kini digantikan oleh automasi dan kecerdasan buatan. Sebaliknya, kemahiran digital, keusahawanan, pengurusan data dan kreativiti menjadi nilai tambah yang dicari oleh majikan.
Oleh itu, semasa membuat pilihan UPU, pastikan pelajar bertanya beberapa soalan penting:
1) Apakah potensi kerjaya dalam bidang ini lima atau sepuluh tahun akan datang?
2) Adakah industri masih memerlukan tenaga kerja dalam bidang ini?
3) Apakah kemahiran tambahan yang boleh saya kuasai untuk menambah nilai diri?
Peranan ibu bapa amat besar dalam hal ini. Selain hanya menyokong keputusan anak-anak tanpa soal, ibu bapa perlu menjadi penasihat yang bijak. Berbincang, lakukan carian maklumat bersama dan libatkan mereka dalam memahami realiti dunia pekerjaan. Guru dan kaunselor sekolah juga boleh membantu dengan menyediakan sesi bimbingan yang lebih bersifat realistik dan berorientasikan kerjaya.
Akhirnya, memilih kursus pengajian bukan semata-mata soal mengikut minat atau kehendak hati. Ia adalah keputusan penting yang akan mencorak masa depan seorang insan. Maka, jadikan keputusan itu bukan hanya berdasarkan apa yang diinginkan hari ini tetapi juga apa yang bakal diperlukan di masa hadapan.