Sejak kebelakangan ini terdapat banyak kes penderaan dilaporkan dalam media cetak dan elektronik, khususnya penderaan terhadap golongan wanita dan kanak-kanak. Penderaan yang dilakukan terhadap mereka merupakan perlakuan yang amat ganas kerana terdapat kejadian tersebut yang membawa kepada kematian. Walaupun peristiwa-peristiwa seperti itu mengundang banyak reaksi marah dan kesal di kalangan pelbagai agensi, NGO dan orang awam, namun nyawa yang hilang tidak akan hidup kembali. Semuanya sudah terlambat kerana ia sudah berlaku tanpa disangka. Apa yang diharapkan ialah semoga perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan. Inilah harapan semua rakyat Malaysia. Tetapi apakah jaminan peristiwa seperti ini tidak akan berlaku lagi?
Memang amat sukar untuk memberi jaminan bahawa perkara seperti ini tidak mungkin berlaku lagi nanti. Ini kerana kita berhadapan dengan individu yang bernama manusia yang memiliki fitrah kejadian yang amat kompleks. Setiap individu di kalangan manusia memang ada naluri atau kecenderungan untuk bertingkahlaku ganas atau menjadi ganas. Tahap kecenderungan ini akan menjadi lebih tinggi lebih-lebih lagi jika individu itu mempunyai personaliti panas baran, selain pengaruh bahan terlarang. Oleh itu, tidak hairanlah jika kebanyakan kes penderaan yang berlaku itu dilakukan oleh mereka yang majoriti bersifat panas baran. Tingkahlaku ganas ini pula boleh berlaku kepada sesiapa saja dalam pelbagai peringkat umur dan ia boleh bermula seawal usia kanak-kanak lagi. Namun perlu difahami bahawa setiap individu tidak sama tahap kecenderungan untuk mereka bertukar menjadi ganas.
Kecenderungan untuk menjadi ganas memang berbeza di antara individu kerana pelbagai faktor dan keadaan. Mereka boleh menjadi ganas kerana trait personaliti atau kerana provokasi yang bersifat konfrontatif. Perasaan geram dan marah juga boleh menjadi sebab mereka bertindak ganas. Malah rasa cemas dan takut juga turut menyumbang kepada seseorang untuk bertindak ganas. Perasaan kecewa yang kronik juga mampu membangkitkan naluri ganas seseorang. Ada juga beberapa kejadian di mana sesetengah individu bertukar menjadi ganas kerana kesan perubahan cuaca yang keterlaluan, dan ia telah dibahaskan oleh beberapa kajian dan eksperimen. Malah tidak dinafikan juga kesan tekanan yang kronik turut mampu mengubah individu menjadi seorang yang ganas dan hilang pertimbangan akal yang waras. Semua keadaan ini mampu membangkitkan naluri ganas seseorang.
Apabila seseorang itu telah bertukar menjadi ganas, ia akan turut menjejaskan pengaruh akal yang sihat dan waras. Dalam situasi seperti ini, mereka lebih dikuasai oleh tindakbalas tubuh badan yang menuntut pemikiran dan aturan fizikal mereka agar lebih terjurus untuk beradapatasi dengan tuntutan naluri ganas dalam tempoh beberapa ketika. Oleh itu, dalam tempoh sebegini, terdapat di kalangan mereka yang dilihat seperti orang yang kerasukan dan hilang pertimbangan akal yang waras, tidak sedar diri atau kurang siuman untuk beberapa minit. Keadaan ini berlaku kerana inilah fitrah reaksi ganas. Untuk beberapa ketika, ia akan menghadkan pemikiran rasional seseorang agar lebih terfokus lagi dalam mendepani objek yang mencetuskan sifat ganas itu bagi meningkatkan keupayaan otak dan fizikal untuk lebih bersedia dan berani berdepan dengan situasi tersebut secara lebih efisien lagi.
Dalam situasi sebegini, seseorang itu akan terus dikuasai oleh naluri ganas dengan kawalan dan pengaruh kewarasan yang amat minima. Pelbagai kemungkinan boleh terjadi apabila sifat ganas telah menghadkan pemikiran rasional seperti membawa kepada tingkahlaku agresif, kekasaran dan kekerasan fizikal. Malah, tidak mustahil ia turut mengundang kepada pelbagai kejadian berunsur jenayah seperti pembulian, pergaduhan, penderaan, dan pembunuhan. Situasi ini menggambarkan bahawa punca kepada permasalahan adalah dari diri individu terbabit, di mana mereka gagal untuk mengendalikan sikap dan emosi sendiri tatkala dihimpit suasana atau perasaan tegang dan cemas. Jawapan yang terbaik setakat ini ialah mereka perlu untuk mengendalikan sikap dan pemikiran mereka sendiri secara lebih positif dan proaktif apabila berada dalam suasana tegang yang mendorong kemungkinan tercetus naluri dan tingkahlaku ganas dalam diri mereka. Atau dalam erti kata yang lain, mereka perlu menguasai kemahiran untuk mengendalikan sikap dan emosi yang negatif supaya ia menjadi lebih terkawal pada setiap masa.
Berusaha untuk memiliki kemahiran seperti ini bukan sesuatu yang sukar atau terlalu mahal jika dibandingkan dengan tragedi berdarah dan menyayat hati yang sering berlaku kesan dari kegagalan mengendalikan sikap buruk dan emosi negatif yang tidak terkawal. Memandangkan Malaysia berhasrat untuk menjadi bakal sebuah negara yang aman dan maju serta dihuni pula oleh rakyat berbilang agama dan budaya berteraskan nilai-nilai murni, ia akan menjadi mustahil jika rakyatnya masih mengamalkan sikap ganas dan kasar sesama mereka. Oleh itu, satu usaha teguh perlu diperkenalkan kepada masyarakat dalam usaha untuk mendidik mereka memiliki kemahiran-kemahiran seperti teknik pengurusan sifat marah, teknik pengendalian sikap baran, langkah-langkah mendepani suasana cemas dan tertekan serta sebagainya. Walaupun ia kedengaran amat mudah, namun kemahiran seperti ini tidak harus dipandang ringan kerana banyak kesan buruk yang mengekorinya akibat sikap sambil lewa ini, hingga ke tahap nyawa melayang. Malah bukan sesuatu yang tidak proaktif jika dicadangkan agar kemahiran dan teknik seperti ini dikendalikan penganjurannya di peringkat Persekutuan di bawah kementerian tertentu. Ini kerana sebahagian besar permasalahan yang wujud ialah kurangnya usaha proaktif di peringkat pemerintah untuk mendidik atau menyedarkan rakyat agar menguasai kemahiran seperti ini. Kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah, kemahiran ini telahpun diajar di peringkat sekolah menengah dan universiti serta di peringkat komuniti dan terbukti dapat mendidik rakyatnya memiliki tahap kawalan diri yang baik dalam masyarakat. Malah rakyat mereka juga telah dibekalkan maklumat tentang tahap kemampuan dan kecenderungan personaliti diri mereka apabila berhadapan dengan situasi cemas dan menekan, di samping ke mana tempat yang mereka boleh tuju bagi mendapatkan bantuan sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal. Keadaan ini berbeza sekali di negara Malaysia ini.
Di Malaysia, walaupun cuma segelintir sahaja rakyat yang amat jahil terhadap perkara ini, namun ia akan menjadi semakin tidak penting jika sikap yang sama, iaitu memandang remeh atau dingin dalam menguasai teknik seperti ini, tidak dianggap kritikal atau penting oleh rakyat dan pihak berkuasa. Malah, isu ini juga adalah sebahagian daripada matlamat pembangunan modal insan, sebagaimana menurut kerangka Model Ekonomi Baru negara, iaitu ingin melahirkan sumber manusia yang berdaya tahan, bukan sahaja dari segi fizikal dan intelektual, tetapi juga dari segi kekuatan jiwa dan pengukuhan minda mereka.