Masyarakat beranggapan fatwa boleh dikeluarkan oleh sesiapa sahaja yang bergelar ulama, sama ada daripada kalangan ustaz atau tok guru. Pada zaman permulaan Islam, khususnya selepas ketiadaan Rasulullah s.a.w. sahabat-sahabat termasuk khalifah mengeluarkan fatwa. Ketika itu mereka yang layak di kalangan sahabat tidak dihalang mengeluarkan fatwa.
Fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh sahabat-sahabat dipegang oleh mereka selepasnya iaitu golongan tabiin dengan baik dan begitulah seterusnya. Golongan yang terkemudian berpegang teguh dengan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh ulama yang terdahulu. Selain itu mereka juga menambah khazanah fatwa apabila timbul isu dan persoalan baru yang tidak terdapat hukum.
Mufti adalah seorang yang alim dan berwibawa dalam ilmu syariah. Mufti perlu berijtihad dalam perkara yang tiada hukum sebelumnya dan ada kala memadai berpegang kepada pendapat ulama terdahulu yang lebih alim daripadanya.
Tidaklah menjadi halangan bagi seseorang mufti itu berpegang kepada mazhab tertentu seperti mazhab Shafie. Dia juga boleh mengeluarkan fatwa yang berlainan dengan mazhab yang diikutinya.
Dalam konteks negara kita Malaysia, Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam membenarkan mufti berbuat demikian atas alasan `kepentingan awam’ atau `maslahah ummah’.
Tugas utama mufti adalah menyatakan sesuatu hukum. Fatwa yang dikeluarkan adalah keputusan tentang hukum syarak. Bagaimanapun fatwa masih boleh berubah dan terus berkembang mengikut keadaan, masa dan tempat dan juga bergantung kepada maslahah. Ini berlaku pada Imam Shafie apabila mengeluarkan pendapat atau fatwa yang dikenali dengan kaul kadiun dan kaul jadid.
Kaul jadid merubah pendapatnya yang lama ketika beliau berpindah ke Mesir. Fatwa biasanya dikeluarkan kepada masalah yang sedang dan telah berlaku dan hukum yang hendak dikeluarkan itu adalah mengenai isu semasa yang berlaku dan bukan andaian.
Ada pendapat menyatakan Khalifah Umar bin Al-Khattab adalah khalifah yang pertama mewujudkan jawatan mufti dan ia menjadi ikutan dan menjadi tradisi dalam pemerintahan dan masyarakat Islam hingga ke hari ini.
Orang ramai dibenarkan mengemukakan pertanyaan kepada mufti bagi mendapatkan penjelasan mengenai sesuatu isu atau masalah hukum yang dimusykilkan. Di negara kita terdapat peraturan bagi seseorang mufti mengeluarkan fatwa. Sebagai contoh Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Negeri Selangor 1989 menyatakan dalam Seksyen 31 (2):
“Tiada sesuatu kenyataan yang dibuat oleh mufti dianggap sebagai fatwa kecuali dan sehingga ia diwartakan mengikut subseksyen (1).”
Peruntukan tersebut dengan jelas menyatakan tidak semua kenyataan yang dikeluarkan oleh mufti itu adalah fatwa. Lebih-lebih lagi pada hari ini terdapat di kalangan mufti yang begitu aktif memberi syarahan, ceramah dan menjadi ahli panel forum. Kenyataan yang dikeluarkan adalah pendapat peribadi, jika mengenai sesuatu hukum boleh diikuti, cuma untuk menjadikannya mengikat ke atas masyarakat Islam, ia perlulah mengikut prosedur yang ditetapkan.
Apa yang berlaku hari ini di negara kita pihak yang mengeluarkan pandangan tentang sesuatu perkara yang melibatkan hukum tidak terbatas kepada mufti sahaja. Ada kala orang yang bukan mufti juga mengeluarkan kenyataan mengenai sesuatu hukum.
Keadaan boleh berlaku apabila sesuatu isu timbul dan pihak berwajib yang mempunyai autoriti tidak mengeluarkan pendapat atau fatwa. Ataupun secara tiba-tiba ada pihak mengeluarkan hukum mengenai sesuatu yang menyentuh masyarakat Islam. Perkara ini tidak pula diperjelaskan dengan kadar yang segera oleh pihak berwajib.
Kelewatan pihak berwajib memberi penjelasan boleh menimbulkan masalah jika perkara yang disentuh itu menimbulkan kekeliruan di kalangan orang Islam. Ini boleh menyebabkan segolongan masyarakat menerima `hukum’ yang mengelirukan itu dan untuk memperjelaskan semula dengan betul, ia akan kurang berkesan.
Dalam satu pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan mufti-mufti dari seluruh negeri di Putrajaya baru-baru ini, beliau menegur agar mufti memberikan jawapan segera kepada isu-isu yang menyentuh hukum-hakam supaya rakyat tidak dikelirukan. Mufti-mufti patut menerimanya dengan lapang dada. Ini adalah teguran yang membina.
Institusi mufti di Malaysia agak unik. Mufti-mufti di peringkat negeri dilantik oleh sultan atau raja yang memerintah dan bagi Wilayah Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong. Sistem yang ada sekarang tidak membolehkan pelantikan seorang Mufti Negara, kerana tiada peruntukan undang-undang membolehkan berbuat demikian dan jika hendak dilaksanakan tentunya ia perlu mendapat restu dan persetujuan sultan-sultan melalui Majlis Raja-Raja.
Yang terdapat sekarang ini adalah Majlis Fatwa Kebangsaan yang dianggotai oleh seluruh mufti di negara ini. Pengerusinya tidak semestinya daripada kalangan mufti dan dilantik oleh Perdana Menteri. Bagi memutuskan sesuatu isu dalam majlis ini ia berpandukan prosedur.
Amalan yang berlaku, Majlis Fatwa Kebangsaan selalunya mengadakan muzakarah membincangkan sesuatu isu. Ada kala isu yang dibincangkan itu tidak mendapat kata sepakat seperti dalam isu `zakat pendapatan’. Justeru terdapat negeri yang mengeluarkan fatwa zakat pendapatan wajib dan ada negeri tidak. Perkara yang telah dipersetujui akan dibawa ke peringkat Jawatankuasa Fatwa Peringkat Negeri untuk diterima.
Urus setia Majlis Fatwa Kebangsaan wajar dikemas kini dengan menaikkan taraf kepada jabatan. Jabatan ini hendaklah diketuai oleh seorang pengarah sebagai ketua pentadbiran dan pegawai-pegawai penyelidik kanan dalam bidang berkaitan. Pengerusi Majlis Fatwa yang ada sekarang boleh dikekalkan dengan memberi status yang lebih tinggi sepertimana diberikan kepada pengerusi agensi kebangsaan yang lain.