Kesihatan mental di tempat kerja merupakan tema utama sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut pada 10 Oktober 2017 ini yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Persekutuan Kesihatan Mental Sedunia. Sambutan tahunan ini memilih tema ini pada tahun ini memandangkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan merupakan satu aspek terpenting bagi sektor pekerjaan, Bagi setiap pekerja di dalam mana-mana organisasi tempat mereka bekerja, aspek keselamatan dan kesihatan dalam persekitaran pekerjaan adalah satu perkara rutin yang tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Sewajarnya para pekerja perlu memahami bahawa aspek ini adalah berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan diri mereka dalam konteks pekerjaan atau di tempat serta lokasi di mana mereka bertugas.
Bertepatan dengan nama dan gelaran yang diberikan, justeru skop dan fokus utama aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan ialah bagi mengelakkan sebarang musibah, kemalangan, kecederaan ataupun kematian yang boleh berpunca dari pelbagai faktor risiko pekerjaan dan tempat kerja. Skop keselamatan dan kesihatan ini meliputi keseluruhan golongan pekerja yang terdiri dari pelbagai lapisan dan kedudukan, sama ada di peringkat pengurusan dan profesional seperti ketua-ketua jabatan, peringkat pertengahan, mahupun pekerja dari peringkat bawahan dan sokongan.
Pada umumnya, pekerjaan merupakan satu cara bagi umat manusia untuk memperolehi rezeki dan membina kehidupan mereka. Dengan rezeki dan pendapatan yang diperolehi, ia dapat membantu mereka menyumbang kepada pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Islam turut mengiktiraf pekerjaan sebagai satu amalan yang mulia kerana ia juga merupakan satu daripada beberapa amalan kaum muslimin yang bakal menjamin balasan syurga kepada meraka, asalkan ia menuruti kehendak syarak dan menepati ciri-ciri yang telah termaktub dalam syariat Islam. Rasulullah s.a.w ada bersabda yang bermaksud “tidaklah ada makanan seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari hasil usaha tangannya sendiri”, sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari.
Lantaran itu, golongan pekerja adalah golongan yang dipandang mulia dalam Islam, kerana sumbangan mereka kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Justeru, atas dasar kemuliaan mereka sebagai satu kelompok golongan manusia yang bertanggungjawab, kedudukan mereka telah diangkat ke satu tahap yang lebih tinggi sehinggakan segala makhluk dan kemudahan adalah dikurniakan sebagai satu keselesaan bagi mereka. Ini bertepatan sebagaimana menurut firman Allah dalam Surah al Isra’ yang bermaksud: “dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, dan Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami berikan mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan”.
Secara umumnya, pekerjaan dipercayai boleh mengangkat darjah kemuliaan seseorang individu pekerja. Namun Islam juga mengajarkan kepada umatnya bahawa kemuliaan yang dikurniakan di kalangan manusia itu bukanlah satu jaminan khusus bahawa mereka mempunyai hak mutlak ke atas golongan manusia yang lain, atau berhak memandang lemah ke atas golongan manusia yang lain, kerana Allah memandang manusia itu bukan berasaskan kepada pangkat, keturunan, kekayaan harta mahupun kedudukan mereka, tetapi lebih kepada atas dasar takwa dan keimanan yang mereka sendiri miliki dan amalkan.
Ini amatlah benar kerana kekuatan masyarakat Muslim itu adalah berdasarkan kepada amalan kerjasama dan tolong menolong sesama mereka, sebagai satu kelompok golongan manusia yang berkongsi keinginan dan keperluan yang sama, dan menolong atas dorongan kebajikan dan ketakwaan, bukan atas dasar perbezaan dan persaingan. Ini amat berbeza dengan fahaman anutan kaum kapitalis dan sebagainya, yang mempercayai akan wujudnya kasta dan perbezaan sesama golongan pekerja, dan perbezaan itulah yang menjadikan golongan pekerja itu terbahagi kepada beberapa golongan dan lapisan pekerja yang eksklusif serta berhak memandang rendah orang lain atas dasar persaingan yang akhirnya mencetuskan penganiyaan, kezaliman dan penindasan. Amat menyedari wujudnya suasana yang tidak sihat seperti ini, maka Islam itu pada awal-awal lagi telah diturunkan oleh Allah sebagai satu bentuk peradaban bagi mencorak perjalanan sistem pekerjaan yang sewajarnya diaplikasikan dalam organisasi pekerjaan. Bahkan, inilah juga beberapa isu yang dilihat oleh perspektif organisasi pekerjaan moden sekarang sebagai beberapa faktor risiko psikososial yang berpotensi untuk meningkatkan risiko ancaman terhadap kesejahteraan para pekerja dalam persekitaran pekerjaan abad ke 21 ini.
Istilah psikososial merujuk kepada interaksi sistem dalaman yang berlaku dalam diri setiap individu pekerja, merangkumi aspek emosi, pemikiran dan tingkahlakunya yang dilihat sering berhubung kait dan bertindakbalas dengan persekitaran tempat atau organisasi mereka bekerja. Setiap organisasi mempunyai imej, identiti, visi dan misi serta prosedur dan sistem gerak kerja mereka yang tersendiri, dan semua elemen tersebut bergabung dan berkait dalam membentuk satu faktor organisasi pekerjaan yang memberi kesan langsung kepada tahap kesejahteraan semua individu yang bekerja di dalam organisasi tersebut. Beberapa faktor organisasi yang boleh bertindak sebagai faktor risiko dan mendatangkan kesan negatif psikososial ialah seperti stres dan tekanan pekerjaan, keletihan, faktor ergonomik, diskriminasi dan pilih kasih, buli, konflik pekerjaan dan perhubungan, tidak berdisiplin dan melanggar arahan tugasan, penderaan dan gangguan seksual serta lain-lain lagi.
Faktor organisasi dan persekitaran pekerjaan tersebut pada akhirnya akan berinteraksi dengan aspek dalaman psikologi individu pekerja bagi menghasilkan satu kesan sampingan yang dikenali sebagai kesan psikososial pekerjaan. Adalah diharapkan agar tidak muncul kesan psikososial yang buruk-buruk kepada mana-mana individu pekerja, kerana kita mahukan satu persekitaran kerja yang dapat menjamin kesihatan dan kesejahteraan fizikal dan mental serta perhubungan sosial kerja yang baik, lantas meningkatkan kecekapan dan produktiviti syarikat. Namun, dalam banyak keadaan, kesan psikososial itu pula muncul dalam bentuk kesengsaraan fizikal dan mental, tingkahlaku negatif dan stigma sosial yang akhirnya menjejaskan kecekapan dan produktiviti individu serta pencapaian organisasi. Inilah isunya yang perlu dielakkan pada peringkat awal lagi sebelum ia menjadi bertambah buruk.
Oleh yang demikian, aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi setiap individu pekerja perlulah mempertingkatkan kesedaran terhadap ancaman risiko psikososial ini kerana ia akan memberi kesan negatif secara langsung kepada kesejahteraan individu dari segi fizikal, mental dan kecekapan serta produktiviti mereka. Kesedaran yang telah wujud itu pula perlu dioptimakan di dalam peringkat organisasi seperti mewujudkan satu pasukan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang mempunyai kepakaran dalam aspek pengurusan risiko psikososial. Seterusnya, setiap organisasi juga perlu bersepakat untuk mewujudkan satu polisi dan prosedur pengurusan risiko psikososial dan kesihatan mental sebagai satu langkah proaktif seperti mana yang telah diamalkan oleh kebanyakan negara maju seperti negara Kanada dan England melalui penubuhan polisi kesihatan mental di dalam Bell Canada dan Bank of England.