Usaha pemuliharaan kerang gergasi yang sedang dijalankan oleh Pusat Kajian Marin Ekologi (MERC) Gayana Eco Resort, Sabah (seperti yang dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia beberapa hari lepas) perlu disambut baik oleh semua lapisan masyarakat agar kesinambungan ekosistem marin terus terpelihara. Usaha tersebut yang merangkumi program penyemaian terumbu karang, penanaman bakau serta pembiakan rumpai laut dan kerang dilaksanakan bagi mengatasi masalah kepupusan yang melanda kerang gergasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ia merupakan satu pendekatan yang wajar dicontohi oleh negeri-negeri lain agar usaha tersebut lebih menyeluruh dalam mengatasi masalah kepupusan hidupan marin.
Laporan mengenai kepupusan kerang gergasi yang dikeluarkan oleh Buku Data Merah Persekutuan Pemuliharaan Antarabangsa (IUCN) pada tahun 2000 pastinya memberi gambaran yang jelas bahawa ekosistem marin kita masih tiada pembelaan dan kian tenat dari sehari ke sehari. Pertambahan satu lagi spesies marin yang diancam kepupusan pastinya bisa menggusarkan hati para pencinta alam. Apatah lagi jika faktor kepupusan spesies marin tersebut dikaitkan dengan aktiviti penjualan kerang secara berleluasa sebagai bekalan bagi makanan laut. Selain itu, spesies hidupan laut tersebut juga dikatakan semakin menyusut dari dasar laut dek kerana perubahan iklim global, pencemaran laut dan aktiviti-aktiviti lain manusia yang menyumbang kepada kemusnahan habitat spesies itu. Situasi tersebut tidak harus dibiarkan berlanjutan tanpa adanya langkah proaktif untuk memulihara kelangsungan hidup spesies-spesies berkenaan. Sebaliknya ia memerlukan perhatian yang serius daripada pihak berwajib agar masalah tersebut dapat diatasi dengan sewajarnya.
Jika diimbas kembali permasalahan yang melanda ekosistem marin . ia bukanlah satu isu baru. Malah saban hari kita menyaksikan satu persatu spesies marin diancam kepupusan. Belum pun reda isu kepupusan penyu dan lenyapnya spesies dugong diperkatakan, timbul pula isu kepupusan kerang gergasi. Jika diamati dan direnung sedalam-dalamnya, kepupusan spesies-spesies tersebut kesemuanya berkisarkan permasalahan yang sama yakni berakar umbi dari segi sikap. Persoalan sikap ini pula merupakan persoalan pokok yang tidak pernah terungkai sejak sekian lama. Apabila menyentuh persoalan sikap, pastinya gambaran sikap pesimis terhadap alam menjadi penyumbang utama kepada masalah kepupusan pelbagai hidupan pada hari ini baik hidupan marin mahupun spesies-spesies yang lain.
Justeru adalah penting bagi seluruh anggota masyarakat untuk memperhalusi segala permasalahan yang melanda ekosistem marin agar penyelesaian dapat dicapai. Usaha pemuliharaan ini perlu dilakukan secara berterusan kerana jika tiada tindakan pemuliharaan diambil dikhuatiri generasi akan datang hanya dapat melihat spesies kerang tersebut di muzium atau buku-buku sahaja. Alangkah ruginya jika keadaan ini berlaku. Sedangkan kita sepatutnya mengambil iktibar daripada kepupusan spesies yang pernah berlaku sebelum ini umpamanya kepupusan dinosaur yang hanya menyaksikan kita mengenalinya melalui buku sahaja. Tegarkah kita untuk membiarkan perkara yang sama berulang kembali kepada anak cucu kita kelak? Sedangkan kita sepatutnya belajar daripada sejarah dan pengalaman lampau agar generasi akan datang berpeluang melihat sendiri sisa-sisa spesies hidupan yang masih wujud pada hari ini pada zaman mereka.
Oleh yang demikian, tugas memelihara alam sekitar khususnya ekosistem marin tidak seharusnya dilihat sebagai tugas pihak-pihak tertentu sahaja. Sebalikya ia perlu menjadi agenda semua pihak termasuk orang perseorangan. Dalam hal ini, kesedaran dan keprihatinan semua pihak menjadi perkara asas yang bakal menjadi penentu sama ada sesuatu usaha yang dilakukan berjaya ataupun sebaliknya. Bagi menyuntik semangat kesedaran di dalam setiap diri individu, perkara utama yang perlu dititikberatkan ialah kesediaan seseorang individu itu untuk mengubah sikap dan kembali merenung fungsi dan hikmah setiap kejadian di dalam alam semesta. Dengan bermuhasabah diri, ia mampu melahirkan jiwa insan yang lebih berintegriti dan tahu mensyukuri nikmat yang dianugerahkan oleh Maha Pencipta yakni Allah S.W.T.
Seruan Allah agar manusia sentiasa bersyukur telah berkali-kali di sebut di dalam Al-Quran. Salah satu daripadanya telah dinyatakan di dalam firman-Nya (surah an-Nahl: ayat 14) yang bermaksud: “Dan Dia-lah, Allah yang menundukkan lautan (untukmu), agar kamu dapat memakan daripadanya daging yang segar (ikan), dan kamu mengeluarkan dari lautan itu perhiasan yang kamu pakai; dan kamu melihat bahtera belayar padanya, dan supaya kamu mencari (keuntungan)dari kurnia-Nya, dan supaya kamu bersyukur”. Seruan bersyukur dalam konteks ini membawa pelbagai pengertian termasuklah menyeru agar manusia menggunakan segala nikmat yang ada di atas muka bumi ini dengan sebaik mungkin dan tidak sekali-kali membiarkan berlakunya kerosakan ke atas nikmat yang telah dikurniakan.
Justeru, setiap aktiviti penuaian yang dilakukan ke atas khazanah alam perlulah disusuli dengan langkah pemuliharaan yang sewajarnya agar sumber yang sedia ada tidak kehabisan dan sentiasa bercambah demi memastikan ia terus berkesinambungan untuk turut digunakan oleh generasi yang seterusnya. Selain berhemah di dalam aspek penuaian sumber, kita juga diseru agar sentiasa menjaga keharmonian alam supaya segala komponen yang ada di dalamnya terus terpelihara. Oleh itu, selagi masih ada ruang untuk kita sedar dan berubah, maka rebutlah peluang dan kesempatan yang ada untuk kita hargai setiap apa yang telah kita perolehi daripada kemurahan nikmat Allah yang tidak ternilai harganya kepada kita. Jika sebelum ini kita memandang enteng terhadap aspek penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar, masih belum terlewat untuk kita perbaiki segala kepincangan yang pernah kita lakukan demi memastikan nasib ekosistem marin dan alam sekitar kita tidak terus diselubungi kesuraman.
Hanya tindakan segera dan kerjasama daripada semua pihak sahaja mampu menyelamatkan khazanah alam daripada terus berada di ambang kepupusan. Sikap berdiam diri tanpa adanya usaha untuk memperbaiki mutu dan keseimbangan alam sekitar pastinya kelak akan membawa padah bukan sahaja kepada alam bahkan juga kepada seluruh penghuni alam. Sebagai khalifah di atas muka bumi ini kita sangat dituntut agar sentiasa memelihara alam sekitar supaya setiap komponen yang ada di dalamnya dapat saling berinteraksi secara sihat antara satu sama lain demi kemaslahatan seluruh kehidupan sejagat. Malah kita juga telah diingatkan oleh Allah agar sentiasa memakmurkan bumi sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “..Dia telah menciptakan kamu daripada bumi (tanah) dan menugaskan kamu memakmurkannya…” (surah al-Hud, ayat 61) dan firman-Nya lagi yang bermaksud: “…Dan ingatlah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Aad dan ditempatkan-Nya kamu di bumi untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka kenanglah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di atas muka bumi” (surah al-A’raaf, ayat 74). Kedua-dua ayat tersebut jelas menggambar bahawa kita sebagai khalifah di atas muka bumi ini dianjurkan agar sentiasa menjaga dan membangunkan alam sekitar dengan teratur dan sebaik mungkin supaya keharmonian dan keseimbangan alam sekitar terus terpelihara.