Budaya membaca merupakan amalan murni yang sewajarnya dijadikan amalan setiap masa. Ciri-ciri negara maju ialah negara yang rakyatnya kuat membaca dan kadar literasi yang tinggi. Dalam ajaran Islam, surah yang pertama diturunkan ialah Surah al-‘Alaq yang kalimah pertamanya ialah “Bacalah! oleh-Mu (Wahai Muhammad)”. Ia sekaligus menggambarkan bahawa ajaran Islam adalah ajaran yang berpaksikan ilmu dan menggalakkan pembacaan. Hakikat ini diakui sendiri hatta oleh para orientalis Barat seperti Franz Rosenthal dalam bukunya “Knowledge Triumphant”. Untuk menggalakan budaya membaca, sesetengah negara melancarkan bulan membaca bagi masyarakat mereka. Negara kita pernah melancarkan kempen Gerakan Membaca melalui pelancaran Bulan Membaca Kebangsaan pada setiap bulan Ogos setiap tahun bermula 1995, dan kemudiannya bertukar ke setiap bulan Julai bermula 2001. Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dilapurkan telah mengadakan lebih 102,813 program galakan membaca sepanjang 2024 lalu.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang pernah menyebut bahawa Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia pernah dibuat oleh pihak Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dalam menilai tahap membaca rakyat Malaysia dan sebagai asas pengukuran negara maju. Mengikut standard Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO) kadar literasi antara 95-100 peratus penting bagi sesebuah negara kerana, antara lain, ia mencerminkan negara tersebut sudah berjaya keluar daripada kategori “masalah literasi besar” yang biasa dihadapi negara membangun, dan sudah hampir memenuhi status negara maju, walaupun literasi bukanlah satu-satu kriterianya.
Melalui kajian tersebut didapati, rakyat Malaysia membaca sekurang-kurangnya dua naskah pada tahun 2005, 15 naskah pada tahun 2014 dan terkini adalah 24 naskah pada tahun 2023. Kadar minat membaca rakyat Malaysia terkini berada pada tahap 88.6 peratus. Jumlah naskah pembacaan dalam tempoh setahun menunjukkan rakyat Malaysia membaca sebanyak 24 naskah merangkumi 16 naskah bahan bercetak dan lapan naskah bahan digital. Penulis sependapat dengan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang yang berpandangan amalan membaca mempunyai kaitan yang erat dengan perpaduan di Malaysia antaranya meningkatkan pemahaman akan budaya yang berbeza. Dengan membaca, masyarakat dapat memahami latar belakang budaya, tradisi dan sejarah pelbagai kaum di Malaysia.
Ada laporan yang menyebut rakyat Malaysia berada di kedudukan antara yang berbelanja terbesar untuk buku, namun bukan masyarakat yang teratas dalam budaya membaca. Saya dimaklumkan oleh sahabat saya yang lama belajar di Jepun, ada perkataan Jepun “tsundoku” yang berasal sebagai istilah slanga untuk mentakrifkan tabiat atau minat membeli buku kerana perasaan ingin tahu (curiosity) yang mendalam untuk mengetahui ilmu tersebut, namun lama-kelamaan membiarkannya bertimbun tanpa membacanya sehingga menjadi koleksi. Ada juga golongan yang dikatakan sudah merasakan dirinya cukup ilmuwan, ataupun mahu dipandang berilmu oleh para tetamu yang bertandang ke rumahnya apabila memiliki koleksi bukunya yang banyak, walaupun tidak membacanya. Kita tidak mahu masyarakat kita sekadar membeli buku untuk sekadar berfungsi sebagai hiasan, tetapi tidak membacanya.
Justeru itu, memupuk budaya membaca itu amat penting sekali. Namun, budaya membaca semata itu tidak memadai tetapi perlu disusuli dengan pemilihan bahan-bahan pembacaan yang berkualiti, yang dapat membangun minda dan menambah kefahaman yang benar. Kalau sekadar membaca majalah hiburan, bahan-bahan popular dan santai atau media sosial, walaupun dari satu segi ia lebih baik daripada membuang masa dan melakukan perkara yang sia-sia, tetapi sewajarnya masa digunakan untuk membaca bahan yang lebih berkualiti.
Dalam hal ini, penulis ingin mengambil kesempatan memperkenalkan Koleksi Tamadun Islam Perpustakaan Tun Ahmad Sarji (PTAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Langgak Tunku off Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur yang memiliki sejumlah koleksi bahan akademik yang amat berwibawa dan terkenal dalam kalangan para ahli akademik dan para tokoh dalam bidang kajian Islam. IKIM memiliki koleksi khas Tamadun Islam (KTI) sebanyak lapan ribu enam puluh empat naskhah yang terdiri daripada koleksi buku dan jurnal pengumpul ilmuwan dari benua Eropah, bukan sahaja dalam Bahasa Inggeris tetapi bahasa lain seperti Rusia, Perancis, Hebrew, Arab, Jerman, Belanda, Latin, Turki, Itali, Sepanyol dan sebagainya. Semuanya menjangkau lebih kurang dua puluh bahasa. KTI Perpustakaan Tun Ahmad Sarji ini sememangnya mampu memberi manfaat yang besar kepada para pengunjung di PTAS serta para cendekiawan Malaysia. Yang menariknya, PTAS ini bukan sahaja terbuka untuk kegunaan warga IKIM, tetapi juga terbuka untuk kegunaan masyarakat awam khususnya dalam kalangan sarjana dan penyelidik. Sehubungan dengan itu, kepada yang berminat untuk mendapatkan bahan pembacaan berkualiti, bolehlah datang ke PTAS IKIM untuk maklumat lanjut.