Bulan Disember sering dikaitkan dengan musim banjir, khususnya di pantai timur Semenanjung Malaysia. Walaupun kita berharap dan berdoa agar musibah ini tidak melanda mana-mana bahagian negara kita pada tahun ini, namun, kita perlu bersiap sedia menghadapinya.
Bagi kawasan yang teruk dilanda banjir, pusat-pusat pemindahan akan disediakan untuk mangsa-mangsa yang terlibat. Bila bercakap mengenai mangsa banjir, ramai yang melihat semua mangsa adalah sama, walau apapun jantina dan usianya. Akibatnya, mereka akan dilayan secara sama rata. Persoalannya ialah, apakah keperluan mereka itu sama?
Dalam Kitab al-Jihad, Sunan Abu Dawud, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Berperanglah atas nama Allah, percaya pada-Nya, dan berpeganglah pada agama Rasulullah. Janganlah kalian membunuh orang tua yang lanjut usia, bayi, anak-anak, wanita, dan jangan kalian mencuri harta rampasan perang, dan kumpulkan dan serahkanlah (seluruh) ghanimah kalian, bersikap baiklah, dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah SWT menyukai orang-orang yang berbuat baik.”
Hadis di atas menuntut agar warga emas, kanak-kanak dan wanita dilindungi dalam peperangan. Peperangan adalah satu bentuk bencana kepada manusia, sama seperti bencana alam yang lazim dihadapi seperti banjir besar, tsunami, gempa bumi dan angin taufan. Maka, dalam apa-apa bentuk bencana sekalipun, warga tua, kanak-kanak dan wanita perlu dipelihara dan kebajikan mereka perlu dijaga. Hakikat bahawa ketiga-tiga golongan ini disebut secara khusus oleh Rasulullah SAW mungkin menunjukkan bahawa golongan ini memerlukan perhatian khusus sepanjang krisis bencana ini.
Apa agaknya keperluan ketiga-tiga golongan ini? Dari pengamatan penulis, terdapat beberapa kajian yang telah dijalankan mengenai bencana di Malaysia yang memberi fokus kepada wanita, kanak-kanak dan warga emas. Atas faktor ruang, makalah ini akan memfokuskan kepada keperluan dan kebimbangan mangsa banjir wanita di pusat pemindahan dengan harapan perkara ini diberi perhatian oleh mereka yang terlibat dalam memberikan bantuan ketika berhadapan dengan musibah banjir pada tahun ini, sekiranya ada, atau di masa-masa yang akan datang.
Hakikatnya, faktor sosiobudaya telah mewujudkan keperluan dan kebimbangan khusus dalam kalangan mangsa banjir wanita. Didapati bahawa wanita menghadapi masalah-masalah berikut dalam situasi banjir: (i) tiadanya prosedur dan arahan yang jelas dan sistematik – golongan ibu tunggal merasakan mereka tidak mendapat perhatian yang sewajarnya; (ii) wanita terpaksa bergantung kepada jaringan sosial suami untuk mendapat bantuan – ini menjadi satu kekurangan kepada para ibu tunggal; (iii) wanita menghadapi masalah untuk menjaga aurat di tempat awam (pusat pemimdahan) – isu ini mungkin berkurangan sejak keluarga-keluarga di pusat pemindahan diberikan khemah-khemah khas untuk tujuan memberikan sedikit sebanyak ruang peribadi kepada mereka; dan, (iv) tiada capaian kepada bantuan kerana bantuan tidak diagihkan secara sama rata antara mangsa di pusat pemindahan dengan mangsa yang menumpang di rumah saudara-mara.
Adalah diharapkan, di masa-masa yang akan datang, jentera kerajaan yang membantu mangsa banjir dapat memberi arahan yang jelas – khususnya untuk kebaikan ibu-ibu tunggal yang memiliki anak kecil; dan, merancang prosedur yang lebih sistematik untuk mendaftar mangsa banjir dengan memberi keutamaan kepada ibu tunggal, warga emas dan keluarga yang ramai anak.
Ibu-ibu yang menyusu badan dan bayi mereka juga terkesan dengan bencana banjir ini dan memerlukan perhatian khusus. Antara perkara yang merisaukan ibu-ibu ini ialah: (a) kurangnya ruang peribadi untuk mereka menyusukan anak-anak mereka di pusat-pusat pemindahan – isu ini juga selesai dengan pemberian khemah-khemah khusus buat setiap keluarga di pusat-pusat pemindahan; (b) sumbangan susu formula, puting dan botol susu yang tidak terkawal menggugat amalan menyusu badan; dan, (c) salahfaham yang berleluasa menjejaskan aktiviti menyusu badan di pusat-pusat pemindahan.
Maka, untuk memelihara dan menyokong penyusuan ibu, para pengkaji mencadangkan beberapa perkara. Pertama, penyususan ibu perlu dipromosikan secara bersungguh-sungguh di pusat-pusat pemindahan kerana susu ibu sentiasa berada dalam keadaan nyahkuman (sterilised) dan antibodi dalam susu ibu mengelakkan bakteria dan patoogen dari melekat pada usus bayi dan ini mengurangkan risiko cirit-birit dan penyakit berjangkit yang lain dalam kalangan bayi di pusat-pusat pemindahan. Kedua, sumbangan susu formula, puting dan botol susu perlu dielakkan dan penyusuan ibu yang sepenuhnya perlu dianjurkan ketika bencana. Akhirnya, salahfaham yang tidak menggalakkan penyusuan ibu di pusat pemindahan perlu dihentikan dan digantikan dengan kempen “Berikan ibu pemakanan yang sihat agar ia dapat menyusukan bayinya”.
Selesai membentangkan hasil kajian penulis ini dalam sebuah bengkel antarabangsa anjuran IKIM dan Universiti Kyoto pada Mei lalu, penulis ditanya oleh pengkaji dari Indonesia dan Jepun sama ada pernah berlaku kejadian mencabul kehormatan wanita di pusat-pusat pemindahan di Malaysia kerana ia berlaku di negara mereka. Alhamdulillah, setakat ini tiada laporan berlakunya kes-kes seumpama itu baik di media cetak mahupun elektronik termasuklah di media sosial. Semoga kita dapat mempertahankan rekod ini kerana dalam melindungi mangsa banjir, bukan sahaja keperluan fizikal dan emosi mereka yang perlu diberi perhatian, tetapi juga maruah diri mereka wajib kita pelihara.
Boleh dikatakan bahawa kita berhadapan dengan bencana banjir ini pada setiap tahun. Pengalaman dan pengajaran yang diperolehi dari tahun ke tahun sepatutnya mematang dan memahirkan kita dalam menghadapinya. Tingkatkanlah persediaan dan perbaikilah perancangan agar hak dan kebajikan mangsa banjir – yang merupakan amanah untuk kita – akan lebih terjaga dan terpelihara.