Setiap yang bernyawa pasti akan mati kerana itu janji azali. Dan sakit adalah perantara di antara hidup dengan mati. Manakala kewajipan setiap hamba terhadap Tuhannya seperti pelaksanaan solat tidak boleh ditinggalkan tanpa uzur syarii. Sesiapa yang meninggalkan solat bererti dia memutuskan hubungan dengan Tuhan yang menciptakannya sedangkan perkara tersebut tidak seharusnya berlaku. Apatah lagi dalam keadaan hamba ditimpa sakit serta kelemahan, maka pelaksanaan solat seharusnya dilaksanakan tanpa sebarang alasan.
Perhubungan di antara hamba dengan Penciptanya perlu dipelihara, maka solat sebagai pengantara mesti dilakukan tanpa mengira keadaan. Dalam keadaan solat mesti dilakukan, dengan sifat pengasih dan penyayang Allah SWT, maka pelaksanaan solat diberi fleksibiliti menurut kepada masyaqqah (kesulitan) dan rukhsah (kelonggaran atau keringanan).
Apabila seseorang Muslim mengalami masalah kesihatan atau kecederaan yang mengakibatkan tubuhnya lemah dan tidak mampu untuk bergerak seperti manusia lain yang sihat dan normal, maka Islam memberikan keringanan untuknya menunaikan ibadah solat. Iaitu, walaupun solat tidak boleh ditinggalkan tetapi pelaksanaan solat boleh dimudahkan mengikut kepada kemampuan seseorang itu; sama ada dengan menjamakkannya, solat dengan cara duduk seperti tahiyat awal, duduk di atas kerusi, atau mengiring.
Sehubungan dengan perkara ini, pihak yang menjaga orang sakit mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pesakit dapat mengerjakan solat dengan selesa dan menurut kemampuannya. Ini bermakna, sekalipun solat merupakan kewajipan bersifat peribadi, tetapi apabila ia melibatkan keadaan kurang upaya, maka menjadi kewajipan terhadap individu yang paling dekat dengan pesakit bagi membolehkannya untuk melaksanakan kewajipan tersebut. Iaitu bukan sahaja dengan menyediakan keperluan solat seperti menyediakan tempat yang suci daripada najis bahkan juga membantu pesakit untuk bersuci, berwuduk ataupun bertayamum.
Melihat kepada kepentingan solat kepada setiap individu sebagai tiang agama, hospital ataupun pusat-pusat perubatan perlu mempunyai rasa prihatin yang tinggi terhadap perkara ini. Pengusaha pusat perubatan swasta ataupun pihak pengurusan hospital kerajaan tidak seharusnya hanya memikirkan bagaimana untuk mencapai keuntungan atau sasaran tertentu, tetapi juga perlu meletakkan nilai-nilai dan ciri-ciri ketakwaan terhadap kemudahan yang ditawarkan kepada pesakit yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan mereka.
Kemudahan yang disediakan oleh sesetengah pusat perubatan persendirian yang dimiliki oleh syarikat Muslim memang amat dipuji. Kemudahan bilik air yang disediakan tidak sahaja memberi kemudahan kepada pesakit untuk menyucikan diri, tetapi juga kemudahan untuk mereka mengambil wuduk. Selain itu, setiap bilik disediakan sejadah dan juga arah kiblat.
Walau bagaimanapun, masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki sebagai suatu tindakan yang lebih prihatin. Contohnya, mempertingkatkan kemudahan kepada pesakit yang terlantar dan tidak berdaya untuk bergerak sendiri mengambil wuduk dan dalam keadaan waris pesakit tidak berada berhampiran.
Seperkara lain yang perlu sama-sama diperhatikan ialah kesedaran pesakit itu sendiri untuk melaksanakan solat. Kajian yang pernah dibuat adalah mendapati bahawa kebanyakan pesakit enggan untuk bersolat dan lebih selesa untuk mengqada’nya setelah sembuh dan keluar dari hospital. Alasan yang diberikan ialah kesukaran yang dihadapi yang menyebabkan rasa malas, dan juga rasa malu untuk bersolat. Mereka kurang senang untuk bersolat kerana perbuatan itu akan diperhatikan oleh pesakit-pesakit lain termasuk oleh pesakit bukan Islam. Kurangnya kesedaran oleh diri pesakit itu malangnya ditambah sokong lagi dengan kurangnya keprihatinan oleh waris yang menjaga pesakit berkenaan.
Bahan-bahan bacaan dan panduan untuk melaksanakan solat semasa sakit memang disediakan oleh hospital-hospital kerajaan. Walau bagaimanapun, tindakan tersebut belum cukup untuk menggalakkan para pesakit menunaikan tanggungjawab peribadi yang amat penting itu. Ini kerana pesakit yang terlantar dan tidak berupaya untuk bergerak bebas, tidak menyedari pun kewujudan bahan-bahan berkenaan.
Perkara yang sebegitu lama terlepas pandang ini perlu sama-sama disemak dan diinsafi. Kita seharusnya memikirkan dosa pahala yang akan ditanggung bersama-sama sekiranya pesakit menemui ajal semasa terlantar di hospital dan ia dalam keadaan sedar dan waras sebelum kematiannya. Sedangkan, alasan sakit tidak termasuk antara sebab seseorang itu boleh meninggalkan atau menangguhkan solat.
Rantaian daripada hukum solat yang tegas sifatnya ini, usaha dan tindakan yang lebih sempurna perlu dilakukan dan digiatkan secara serius. Pihak pengurusan hospital perlu menambah baik prasarana sedia ada supaya suasana yang diwujudkan lebih mesra kepada ibadah. Penulis mencadangkan agar risalah bagaimana untuk menunaikan solat semasa sakit perlu diberikan kepada setiap pesakit yang memerlukan penjagaan rapi di hospital.
Risalah tersebut bukan sahaja menerangkan atau memberi panduan bagaimana mengerjakan solat semasa sakit, tetapi harus dimulakan dengan kepentingan solat kepada manusia sebagai hamba yang lemah dan yang perlu menundukkan dirinya kepada Penciptanya. Selain daripada itu, risalah berkenaan juga perlu menimbulkan rasa ketakwaan dan rasa takut untuk tidak bersolat, dan pada masa yang sama memberi nilai-nilai motivasi bahawa solat sebenarnya adalah sebahagian daripada terapi dan rawatan kepada pesakit.
Jika poster-poster yang mengandungi maklumat kesihatan menjadi sebahagian daripada hiasan dinding wad yang menempatkan pesakit, maka poster-poster yang dapat mengingatkan pesakit tentang kewajipan untuk bersolat juga boleh dijadikan sebagai sebahagian daripada hiasan berkenaan.
Dan alangkah baiknya, jika setiap hospital ataupun pusat perubatan dapat menyediakan kakitangan tertentu yang peranannya adalah khusus untuk menguruskan hal-ehwal agama yang boleh memberi khidmat nasihat berkaitan hukum-hakam kepada pesakit. Antara tugasnya adalah membuat rondaan, bertanyakan masalah pesakit dari aspek ibadah dan memberikan penyelesaian terhadap sebarang kemusykilan agama. Dengan kewujudan pegawai yang menguruskan hal-hal keagamaan (dan bukan setakat menguruskan jenazah pesakit) ia boleh membantu dan juga menggalakkan pesakit untuk bersolat tanpa rasa malu.
Dalam hal pelaksanaan ibadah, kita perlu mempunyai rasa empati terhadap orang lain, bahawa bukan diri kita sahaja yang ingin menjadi insan yang bertakwa, mengumpul pahala sementara masih hidup dan tidak mahu diazab di dalam neraka semasa di akhirat, tetapi orang lain juga turut ingin masuk ke dalam syurga tanpa sebarang azab api neraka.