Pengenalan
Pejam celik, tanpa disedari, tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum ‘tetamu’ yang dinanti-nantikan ini pergi meninggalkan kita. ‘Tetamu’ yang digelar penghulu segala bulan (sayyidu al-syuhur) dan bulan penuh keberkatan (syahr al-mubarak) ini adalah bulan Ramadan.
Allah SWT menawarkan bermacam-macam ganjaran dan kelebihan dalam bulan Ramadan kepada mereka yang mengharapkan kebaikan berusaha mendapatkannya. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
“Apabila tiba malam pertama bulan Ramadan, syaitan-syaitan dan jin-jin yang jahat dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup, tidak ada satu pun pintunya yang terbuka. Pintu-pintu syurga dibuka, tidak ada satu pun pintunya yang tertutup. Lalu seorang penyeru menyeru: ‘Wahai yang mengharapkan kebaikan, bersegeralah (kepada ketaatan). Wahai yang mengharapkan keburukan, berhentilah (daripada melakukan keburukan). Allah SWT akan membebaskan hamba-hamba-Nya daripada api neraka dan perkara tersebut berlaku pada setiap malam (di bulan Ramadan).”
Puasa (al-siyam) dari segi bahasa bermaksud menahan diri (al-imsak) atau meninggalkan (al-tarku). Dari sudut istilah syarak pula, puasa bermaksud meninggalkan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa (seperti makan, minum, jimak dan sebagainya) dan menahan diri (daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa) dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Puasa dapat dilihat sebagai satu bentuk latihan untuk membina daya tahan dan kawalan kendiri dalam melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan Allah SWT.
Puasa adalah “Perisai”
Puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi juga mengawal tingkah laku serta perbuatan zahir dan batin. Hal ini dapat kita rujuk kepada hadis nabi SAW daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
“Puasa adalah perisai diri. Maka apabila seseorang daripada kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau diajak bermusuhan, maka hendak ia berkata, ‘Sesungguhnya aku berpuasa hari ini…’” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Walaupun tegahan yang terdapat dalam hadis di atas terpakai sepanjang masa, ia lebih ditekankan dalam bulan Ramadan kerana puasa itu adalah perisai (junnah) yang melindungi kita daripada nafsu syahwat dan godaan untuk berbuat dosa dengan melanggar larangan Allah SWT dan meninggalkan suruhan-Nya. Puasa sebagai perisai juga bermaksud puasa adalah pelindung daripada azab api neraka.
Sifat Sabar dan Kawalan Kendiri
Dari sudut emosi dan kejiwaan, puasa melatih sifat sabar. Hal ini merangkumi sabar dalam ketaatan, sabar dalam meninggalkan keburukan, sabar menghadapi ujian, dan sabar dalam berinteraksi dengan ragam manusia. Sifat sabar ini berkait rapat dengan kawalan kendiri kerana ia mencerminkan keupayaan seseorang untuk mengawal diri dan menahan nafsu.
- Sabar dalam ketaatan – Mendorong diri untuk berbuat kebaikan walaupun terasa berat atau sukar pada awalnya.
- Sabar dalam meninggalkan keburukan – Menahan diri daripada terjebak dalam maksiat walaupun ia kelihatan indah dan menyeronokkan.
- Sabar menghadapi ujian – Tidak menyalahkan keadaan atau berputus asa atas musibah yang menimpa.
- Sabar dalam pergaulan – Mengawal diri daripada mengeluarkan kata-kata buruk atau melakukan perbuatan yang menyakiti orang lain.
Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa orang yang paling kuat adalah mereka yang dapat mengawal diri ketika marah. Ini menunjukkan bahawa kawalan kendiri dan sifat sabar adalah tanda kekuatan dalaman seseorang.
Istiqamah Selepas Ramadan
Latihan sabar dan kawalan kendiri sepanjang Ramadan seharusnya membentuk disiplin dan konsistensi (istiqamah) dalam beribadah dan melakukan kebaikan walaupun Ramadan telah berlalu. Istiqamah ini memastikan bahawa perubahan positif yang dibentuk dalam Ramadan tidak terhenti selepas Syawal, tetapi diteruskan dalam kehidupan seharian.
Selain istiqamah dalam ibadah khusus umat Islam juga perlu meneruskan kawalan kendiri terhadap aspek ekonomi dalam bentuk perbelanjaan yang tidak boros dan pengamalan pengurusan kewangan yang bijak. Sikap bersederhana dalam berbelanja dan mengutamakan keperluan berbanding kehendak yang diterapkan dalam Ramadan perlu diamalkan berterusan dalam kehidupan. Pengurusan ekonomi yang baik melalui kawalan kendiri yang berkesan dapat membantu umat Islam meningkatkan tahap kesejahteraan hidup serta menyokong pertumbuhan ekonomi Islam melalui zakat, sedekah, dan wakaf.
Kesimpulan
Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga medan latihan untuk membentuk kawalan kendiri dan ketahanan jiwa. Puasa mengajar kita bukan sahaja menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mengawal tingkah laku, emosi, dan nafsu agar tetap dalam batasan syariat.
Puasa adalah perisai yang melindungi kita daripada keburukan serta benteng daripada dosa dan azab neraka. Jangan biarkan amalan baik kita hanya eksklusif untuk Ramadan, teruskan sabar, kawal diri dan berbuat kebaikan hingga ke hujung usia!
Semoga Allah menerima segala amalan kita semua, Insya-Allah.