Hari ini genap sembilan hari umat Islam menjalani ibadah puasa. Dalam tempoh hampir satu pertiga bulan kita menjalani ibadah puasa, ia pastinya sedikit sebanyak dapat mendidik dan memperbaiki akhlak kita ke arah yang lebih baik dan positif.
Peranan puasa dalam pembinaan akhlak adalah sejajar dengan matlamat utama umat Islam diwajibkan berpuasa yakni bagi menghidupkan takwa di dalam hati, menumbuhkan akhlak yang mulia dan terpuji di dalam jiwa, serta menjelmakan roh baharu bagi mereka yang beriman.
Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah (ayat 183) yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa”
Daripada ayat di atas dapat difahami bahawa ibadah puasa adalah wasilah dalam menuju takwa, yakni merupakan salah satu cara yang mampu membina, mempertingkat, serta memperkukuhkan sudut rohani dan akhlak bagi orang yang berpuasa dan melorongkan mereka untuk taat serta patuh hanya kepada perkara-perkara yang dicintai dan diredhai oleh Allah SWT.
Ibadah puasa bukan sahaja membantu dalam pembinaan akhlak dan peribadi umat, bahkan ia juga merupakan perisai atau benteng bagi mencegah manusia daripada melakukan perbuatan yang buruk dan ditegah, mengeluarkan tutur kata yang tidak elok, mencetuskan permusuhan ke atas orang lain, serta melindungi diri daripada bertuhankan nafsu syahwat yang selalu mengajak manusia melakukan perkara-perkara kejahatan dan berbuat dosa.
Hal ini telah dinyatakan dengan jelas sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Puasa itu ibarat perisai. Semasa berpuasa, janganlah kamu mengucapkan kata-kata kotor dan tidak enak didengar, dan jangan pula sibuk bertengkar. Jika ada di antara kamu yang memaki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah kamu katakan kepadanya, ‘sesungguhnya aku sedang berpuasa'” (Hadith riwayat Bukhari & Muslim).
Daripada hadith di atas memperlihatkan kepada kita bahawa ibadah puasa secara tidak langsung dapat melatih serta mendidik diri untuk bersabar dan sentiasa menahan gejolak hawa nafsu serta amarah dalam menghadapi apa jua situasi hatta apabila berdepan dengan sebarang provokasi yang boleh menimbul dan mencetuskan permusuhan sesama manusia.
Dalam erti kata lain, ibadah puasa mampu memberi impak yang cukup besar dalam pembentukan akhlak serta keperibadian yang terpuji dan unggul. Malah, ia merupakan perisai yang cukup utuh dalam mencegah seseorang daripada mengikut hawa nafsu untuk berbuat dosa dan maksiat yang seterusnya boleh mengundang kemurkaan Allah SWT.
Jika diamati pada hari ini, didapati bukan sedikit manusia yang dikuasai oleh hawa nafsu sehingga menuruti apa sahaja keinginan mereka walaupun ianya merupakan sesuatu yang batil yang boleh merosak dan merugikan bukan sahaja diri mereka sendiri tetapi juga orang lain.
Oleh yang demikian, Islam sangat menuntut kita untuk memerangi hawa nafsu yakni dengan maksud mengendalikannya dengan sebaik mungkin agar diri kita terhindar daripada melakukan perkara-perkara mungkar yang ditegah oleh Allah SWT.
Perlu difahami bahawa pengendalian hawa nafsu di sini bukan bermaksud perlu membunuh nafsu secara keseluruhannya sehingga menyebabkan kita tidak mempunyai keinginan terhadap sesuatu yang bersifat duniawi, sebaliknya pengendalian ini bermaksud mengurus dan memerangi hawa nafsu agar bertindak secara seimbang dan rasional terutamanya dalam menentukan perlakuan baik dan buruk sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam.
Perlu diingat bahawa, sekiranya manusia mengalami kekalahan dalam peperangan dengan hawa nafsu, maka ia akan mengundang malapetaka yang besar kerana manusia yang kalah dalam peperangan ini mungkin akan cenderung mengalihkan pengabdian mereka daripada Allah SWT kepada tuntutan hawa nafsu yang seterusnya boleh membawa manusia kepada kesesatan.
Hal ini telah dinukilkan menerusi firman Allah SWT dalam surah al-Jaathiyah, ayat 23 yang bermaksud: “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat kerana diketahui-Nya (bahawa dia tetap kufur dan ingkar)”.
Melalui ibadah puasa, manusia dilatih menguasai hawa nafsu sekali gus menjadikan jiwa mereka lebih kuat untuk memerangi segala bentuk dorongan nafsu jahat yang boleh merosakkan, sekali gus berhasil memperolehi darjat yang tinggi serta mampu mengetuk dan membuka pintu-pintu langit sehingga segala doa mereka dimakbulkan oleh Allah SWT, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ada tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka yakni orang yang berpuasa hingga berbuka, pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi” (hadith riwayat at-Tirmizi).
Dalam kehidupan seharian, akhlak yang baik dan terpuji merupakan aspek terpenting yang perlu dimiliki oleh setiap individu terutamanya dalam memastikan kebangkitan umat ke arah pembinaan peradaban yang lebih cemerlang dari semasa ke semasa.
Oleh yang demikian, bulan Ramadan yang mulia ini seharusnya dijadikan sebagai medium dalam membentuk semula kepincangan akhlak yang mungkin berlaku dalam diri umat Islam pada ketika ini, serta asas kebangkitan dan titik tolak perubahan diri ke arah menjadi insan yang lebih baik.
Ini kerana, puasa merupakan medan terbaik untuk penggemblengan diri bagi individu yang melaksanakannya ke arah membentuk akhlak mulia dan juga ketakwaan kepada Allah SWT, seterusnya melahirkan rasa sentiasa berada dalam pengawasan Allah dan terhindar daripada melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat.
Ibn al-Qayyim pernah mengatakan bahawa: “Puasa memiliki pengaruh yang sangat kuat dalam menjaga anggota tubuh yang bersifat lahiriah dan juga kekuatan batin serta melindunginya daripada faktor-faktor yang merosakkan. Jika faktor-faktor tersebut telah menguasai diri, maka ia akan rosak. Oleh yang demikian, puasa dapat menjaga kejernihan hati dan kesihatan anggota badan sekali gus mengembalikan segala sesuatu yang telah berhasil dirampas oleh nafsu syahwat. Puasa merupakan pembantu paling besar dalam merealisasikan ketakwaan…”