Masihkah kita mengingati kisah seorang pemuda, Mohamed Bouazizi di Tunisia yang meninggal dunia pada Januari 2011? Pemuda ini seorang peniaga di jalanan, melakukan protes kepada pihak berkuasa dengan membakar dirinya di hadapan pejabat pihak berkuasa tempatan. Dikatakan bahawa pemuda ini mengambil tindakan tersebut akibat terlalu tertekan kerana menghadapi kesukaran menjalankan perniagaan yang menjadi sumber pendapatannya.
Peristiwa ini dilihat amat mendukacitakan apabila seorang anak muda yang berusaha untuk menyara diri dan keluarganya menjadi taruhan kepada sistem yang tidak adil. Pemuda tersebut bukanlah seorang penderhaka negara, sebaliknya berasa amat kecewa apabila berasakan dirinya tidak dianggap penting dalam negara sendiri.
Akibat daripada peristiwa ini, ia telah mencetuskan protes besar-besaran di seluruh negara dan negara-negara Arab yang lain dikenali sebagai “Arab Spring”. Kesannya, berlaku kekacauan, kerosakan, kemusnahan ekonomi, dan ketidakstabilan politik dalam negara. Perkara ini amat dikesali kerana ia bermula dengan kesukaran dalam proses mencari pendapatan yang halal dan telah membawa kepada kemusnahan yang amat besar.
Di Malaysia, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020, ramai individu yang telah kehilangan pekerjaan. Keadaan ini berlaku apabila berlaku penutupan secara besar-besaran operasi perniagaan dan sebahagian besar sektor ekonomi bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Akibat penutupan ini, banyak perniagaan dan sektor ekonomi terjejas kerana tidak mampu menanggung kos penutupan operasi seperti sewa, bahan mentah rosak, gaji pekerja dan sebagainya.
Kesannya, berlaku peningkatan kadar pengangguran di seluruh negara. Sebelum PKP, kadar pengangguran Malaysia sekitar Januari, berada pada kadar 3.2% dan dilihat sebagai tidak tinggi. Kemudian, pada Mei 2020 kadar penggangguran mencecah 5.3% sebelum turun sedikit kepada 4.9% pada Jun selepas pembukaan hampir semua sektor ekonomi, iaitu pada Mei 2020. Namun, berdasarkan jangkaan pakar-pakar ekonomi, keadaan ekonomi akan mengambil masa untuk pulih seperti sebelumnya termasuklah dalam konteks sektor pekerjaan.
Kesan kehilangan sumber pendapatan juga dijangka akan lebih menonjol setelah tamatnya pelaksanaan moratorium pada 30 September ini. Pada ketika ini, individu yang terjejas pendapatannya terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan semasa termasuklah mencari pekerjaan baharu.
Sebab itulah dalam tempoh PKP dan selepasnya, dilihat semakin ramai individu terlibat dalam ekonomi gig, perniagaan kecil-kecilan, perniagaan atas talian dan sebagainya. Jenis-jenis perniagaan juga pelbagai, daripada membersihkan barangan basah dan dihantar kepada pelanggan, sehinggalah kepada pempengaruh di media sosial.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, dari Zubair bin Awwam RA, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu menyiapkan seutas tali, lalu pergi mencari kayu api, kemudian dibawanya seikat kayu dipunggungnya lalu dijualnya, dan Allah memberi kecukupan bagi keinginannya, itulah yang lebih baik baginya daripada ia meminta-minta kepada orang banyak diberi ataupun tidak.”
Berdasarkan hadis ini, usaha individu untuk mencari sumber pendapatan sendiri berbanding meminta-minta adalah satu perbuatan yang dituntut. Dalam konteks pandemik Covid-19, adapun kerajaan memberikan bantuan kepada semua golongan yang terjejas, bantuan ini adalah bersifat sementara. Oleh itu, masyarakat yang berusaha untuk mencari pendapatan sendiri serta meningkatkan taraf hidup hendaklah disokong dan dipermudahkan.
Hal ini walau bagaimanapun bukanlah bermaksud dasar dan peraturan sedia ada berhubung perkara-perkara yang berkaitan dikesampingkan. Sebaliknya, dasar dan peraturan ini hendaklah diperkasa dan disesuaikan dengan keadaan semasa. Ini bagi membolehkan masyarakat yang terjejas berupaya untuk kembali berdikari seterusnya menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.
Dalam lapangan ekonomi, Islam menganjurkan pemerintah untuk memastikan bukan sahaja kemiskinan dapat ditangani, tetapi turut memastikan pertumbuhan ekonomi mencapai tahap yang optimum dan negara mencapai guna tenaga penuh. Hal demikian kerana, melalui pekerjaan, manusia beroleh sumber pendapatan untuk menafkahi diri dan keluarganya.
Tidak dapat menafkahi diri dan keluarga boleh membawa individu kepada rasa kecewa dan berputus asa. Dalam konteks negara, kekecewaan boleh menghakis semangat patriotik dan rasa bernegara. Bagi individu, rasa bernegara memberikannya perasaan selamat, aman, harapan, cinta, bersama-sama, taat setia dan bercita-cita untuk membangunkan negara. Ia tidak hanya tentang asal usul dan kesetiaan, tetapi juga berkenaan emosi dan jiwa bagi seseorang individu.
Manakala negara pula adalah tempat yang memberi semua perasaan itu dan menjadi benteng terakhir bagi individu setelah dia tidak punya sesiapa lagi di sampingnya. Sesebuah negara juga dipandu dengan amanah oleh pemerintah yang dipilih. Hala tuju negara juga hendaklah mengikuti undang-undang yang disepakati. Sebab itulah kewarganegaraan amat mahal dan tidak boleh diberikan sewenang-wenangnya.
Malaysia dan negara-negara lain di seluruh dunia sedang mengalami perubahan akibat kesan Covid-19. Kebanyakannya mengalami kesulitan apabila sumber pendapatan terjejas. Pemulihan juga dijangka akan berlaku dalam jangka masa yang panjang.
Setiap individu amat bermakna dan penting bagi negaranya. Ketidakpedulian kita tentang sebahagian ahli masyarakat yang terjejas boleh memburukkan lagi kesan pandemik yang melanda negara. Kisah pemuda dari Tunisia ini hendaklah diambil sebagai pengajaran. Usah tunggu sehingga berlaku kerosakan barulah kita hendak memperbetulkan keadaan kerana pada ketika itu, kita telah terlewat untuk melakukannya.
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Ke-63, Malaysia Prihatin.