Bila kita berbicara mengenai rasuah, isu alam sekitar ini sebenarnya tidak dapat lari daripada rasuah ini, isu ini perlu beri diperhatian sebelum ia menjadi lebih serius pada masa akan datang. Terdapat banyak sebab yang dapat kita kaitkan dengan rasuah alam sekitar ini antaranya ialah disebabkan penguatkuasaan yang tidak telus, penguatkuasaan yang gagal disebabkan rasuah dan salah guna kuasa. Jadi, baru-baru ini sebuah pembentukan Kokus Perlindungan Alam Sekitar dan Antirasuah (EPACC) bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pakar alam sekitar bagi memastikan pembangunan pesat di negara ini tidak menjejaskan keseimbangan alam sekitar.
Menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad berkata sudah tiba masanya perhatian serius diberi terhadap isu penguatkuasaan yang longgar dan penyalahgunaan kuasa dalam isu alam sekitar ini. (Kosmo 5 April 2017).
Alam sekitar sebenarnya tidak terhad kepada aspek estetika, fizikal serta lain-lain aspek-aspek yang boleh dilihat dengan mata kasar semata-mata tetapi ianya melibatkan sebuah hakikat keseimbangan alam sekitar dan ekosistem yang memberi kesan ketara kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup dan ianya mestilah selari dengan kemajuan negara serta kemakmuran yang dikecapi.
Alam sekitar ini dapat lihat dari pelbagai sudut samada dari segi agama, falsafah atau sains. Jika kita melihat alam sekitar ini dari perspektif kimia misalnya ianya merupakan kajian fenomena kimia dan biokimia. Fenomena ini lebih melihat kepada punca, tindakbalas dan kesan bahan kimia di air, udara dan tanah-tanih kesan daripada kegiatan manusia terutama pemcemaran dan gelaja-gejala rasuah boleh berlaku dalam konteks ini.
Secara amnya, tanggungjawab menjaga alam sekitar adalah amanah kepada semua pihak iaitu daripada rakyat biasa yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, budaya dan bangsa sehinggalah kepada pemimpin-pemimpin di peringkat negara. Bumi yang kita diami ini bukanlah milik manusia selamanya, tetapi hak milik Allah yang kita pinjamkan untuk kehidupan yang sementara di dunia ini dan manusia berkongsi kehidupan ini dengan makhluk-makhluk Allah yang lain.
Oleh sebab itu, kehadiran manusia di muka bumi ini adalah sebagai pemegang amanah Allah untuk memakmurkan bumi ini serta mengambil manfaat daripadanya dan bukanlah untuk memusnahkan alam ini dan mengambil keuntungan peribadi semata-mata. Memusnahkan alam sekitar pada fikiran kita mungkin menggunakan jentera-jentera berat seperti jentolak tetapi kemusnahan terbesar ialah memberi rasuah pada orang-orang yang berkepentingan.
Sebagaimana sebuah cerita yang seringkali kita dengar berkaitan dengan rasuah ini ialah kisah Tembok Besar Negeri China. Tembok Besar Negeri China ini adalah merupakan banteng pertahanan silam yang kuat yang dibina sekitar 200SM dan diperkukuhkan antara akhir abad ke-14 sehinga permulaan abad ke-17 semasa Dinasti Ming untuk melindungi utara China daripada serangan puak Mongol dan Turkik.
Bahagian dalam tembok berisi tanah yang bercampur dengan batu batan manakala bahagian atasnya dibuat jalan utama untuk pasukan berkuda Negeri China dan fungsi utama adalah untuk menahan serangan agar mereka dapat hidup dalam keadaan aman dan dan selamat serta beranggapan tidak ada sesiapa pun yang dapat memanjat tembok yang terlalu tinggi ini namun hakikatnya dalam seratus tahun pertama sahaja mereka di serang sebanyak tiga kali, musuh mereka tidak perlu untuk bersusah payah memanjat tembok yang tinggi atau meruntuhkan tembok tersebut tetapi mereka hanya perlu rasuah para pengawal dan masuk melalui pintu yang dibukakan untuk mereka.
Masyarakat China ketika itu sibuk memikirkan untuk membina tembok yang panjang keseluruhan menjangkau 8851.8 km tetapi mereka telah terlupa mengenai persoalan rasuah iaitu jati diri pengawal mereka.
Sebagaimana peringatan daripada Allah SWT di dalam Surah al-Rum ayat ke 41 yang mafhumnya “ telah timbul pelbagai kerosakan di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah di lakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan taubat)”.
Daripada ayat ini terdapat penegasan dari Allah SWT berkaitan alam sekitar mengenai berbagai kerosakan yang terjadi di daratan dan di lautan adalah disebabkan oleh tangan-tangan manusia. Jika kita lihat dengan teknologi yang ada pada hari ini, pengerudian bumi di lautan dalam berlaku hampir saban waktu bagi mendapatkan minyak dan gas.
Hal ini hendaklah disedari oleh umat manusia di seluruh dunia bahawa mereka menyebabkan timbulnya kerosakan di lautan dengan menggantikan dengan sumber tenaga lain yang bermanfaat untuk kelestarian alam. Selain daripada teknologi yang digunakan, berbagai-bagai cara terjadinya kerosakan di muka bumi ini yang disebabkan oleh tangan manusia dan rasuah adalah salah satu daripada caranya.
Rasuah ini adalah perbuatan pecah amanah. Dosa pertama yang dilakukan oleh manusia adalah kesalahan melanggar amanah dan perkara ini dikisahkan dalam Surah Taha ayat ke 115 yang bermaksud “Sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi dia lupa dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh. Perintah ini terkandung di dalam Surah al-Baqarah ayat ke 35 yang bermaksud “ Dan Kami berfirman “wahai Adam! Diamlah bersama isterimu di dalam syurga, dan makanlah daripadanya makanan sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, tetapi janganlah kamu hampiri pokok ini. (Jika kamu menghampirinya) maka kamu akan menjadi sebahagian daripada golongan yang zalim.”
Akhir sekali, kehidupan di dunia ini adalah berkesinambungan dengan kehidupan di akhirat nanti seperti mana firman Allah SWT, Surah al-Mu’min ayat ke 39 yang bermaksud “Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja), dan sesunguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal”.
Al-Quran dan Sunnah Rasullulaw SAW memberikan peringatan demi peringatan kepada kita supaya tidak melakukan rasuah ke arah menuju jalan yang lurus. Orang yang mengamalkan rasuah di dalam kehidupan mereka mungkin di lihat kaya raya dengan timbunan harta tetapi hakikatnya Allah telah mencampakkan kedukaan di dalam hati mereka. Mereka tidak pernah tenang untuk membelanjakan apa-apa yang mereka dapati daripada habuan rasuah ini.
Setiap pergerakan mereka serta aktiviti mereka akan sentiasa di ukur dengan kemampuan pendapatan atau gaji mereka. Apabila semakin meniti usia, kemewahan harta benda ini seakan-akan tidak memberi makna sangat dalam kehidupan yang di kejar. Apa yang diharapkan ialah menghabiskan masa di hujung usia dengan keadaan aman dan tenang untuk kembali menemui pencipta.
Peringatan lain mengenai perbuatan kita akan dihitung nanti, Allah telah berfirman dalam Surah Yasin ayat ke-32 yang bermaksud “Tidak ada satu makhluk pun melainkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya akan hadir (untuk menerima balasan).
Pada surah yang sama juga iaitu Surah Yasin dan Allah berfirman pada ayat ke 53 yang bermaksud “Hanyalah dengan berlakunya satu pekikan sahaja, maka dengan serta-merta mereka dihimpunkan ke tempat perbicaraan kami, semunya dibawa hadir.
Dan akhirnya pada ayat ke 63 dan 64 Allah berfirman lagi yang bermaksud “ Inilah neraka Jahanam, yang dahulunya kamu diancam (kalau kamu tidak mentaati perintah Allah, maka kamu akan memasukinya. Rasalah kamu bakarannya pada hari ini, disebabkan perbuatan kufur yang telah kamu lakukan.
Akhir sekali, persoalan rasuah ini bukanlah hanya melibatkan persoalan dunia semata-mata tetapi terkait dengan kehidupan di akhirat nanti.