Entah di mana silapnya, kebelakangan ini, ketika banyak pihak di Malaysia sedang berjuang melawan pandemik Covid-19 dan ramai ahli masyarakat bergelut untuk meneruskan kehidupan dalam suasana ekonomi yang mencabar, kita turut disajikan dengan berita-berita yang berkaitan dengan salah laku penjawat awam terutama mereka yang terlibat dengan urusan penguatkuasaan undang-undang dan menjaga kepentingan serta keselamatan negara.
Penahanan mereka oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berserta rampasan kereta mewah, wang tunai dan pelbagai barang berharga membuktikan bahawa mereka sanggup menggadaikan maruah dan amanah yang dipertanggungjawabkan bagi memenuhi kerakusan nafsu duniawi.
Bukan bermaksud mengatakan bahawa penjawat awam dalam sektor perkhidmatan lain tidak terlibat dengan salah laku, tetapi apa yang ingin ditegaskan di sini isu, rasuah dan salah laku dalam kalangan penjawat awam seakan tiada kesudahan.
Apa yang menggerunkan ialah apabila gejala rasuah yang dilakukan oleh segelintir penjawat yang curang ini dikaitkan pula dengan masalah kemasukan pendatang asing, aktiviti scam, penyeludupan dadah, pemerdagangan orang, jenayah kekerasan dan sebagainya. Apa yang berlaku ini adalah selari dengan perakuan berulang kali Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bahawa rasuah mempunyai hubungan dengan pelbagai bentuk ketidakstabilan, keganasan dan ekstremisme.
Rasuah dan salah laku wujud di mana-mana, baik di negara maju, membangun mahupun mundur. Gejala yang bersifat destruktif ini mampu memberi kesan buruk kepada masyarakat, intitusi dan juga negara. Menurut Association of Certified Fraud Examiners (ACFE), sektor awam dan swasta di seluruh dunia kerugian sebanyak 5 peratus daripada perolehan mereka setiap tahun akibat jenayah penipuan dan salah laku. Jika angka ini diterjemahkan dalam bentuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, ia menyamai USD3.7 trillion KDNK 2013 global. Angka ini adalah lebih besar berbanding anggaran kerugian akibat aktiviti rasuah yang dibuat oleh pihak Bank Dunia mahupun World Economic Forum yang masing-masing meletakkan angka USD 1 trillion dan USD 2.6 trillion.
Di peringkat nasional pula, menurut Global Financial Integrity Report 2017, antara tahun 2005 hingga 2014, Malaysia telah kehilangan RM1.8 trillion menerusi aliran kewangan tidak sah yang mana sebahagian daripadanya berpunca daripada amalan rasuah. Dalam perspektif lain, jumlah ini adalah menyamai 5.59 kali bajet 2021 yang dikatakan bajet terbesar dalam sejarah negara. Jadi jika rasuah dan salah laku tidak berlaku, Malaysia sebenarnya boleh membiayai kos operasi dan pengurusan negara untuk tempoh 5 tahun dengan jumlah RM1.8 trillion ini.
Penjawat awam merupakan enjin kepada pentadbiran kerajaan. Tanpa mereka sudah pasti operasi dan perjalanan aktiviti pentadbiran negara akan tergendala. Akan tetapi apabila ada segelintir daripada mereka ini terlibat dengan kancah rasuah, sudah pasti perkara ini amat membimbangkan kita. Apa akan terjadi kepada negara jika jenayah rasuah ini tidak dibendung dan perangi sehingga peringkat akar umbi? Lebih membimbangkan, pihak SPRM melaporkan sebanyak 46.3 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan dari tahun 2014 hingga Jun 2019 akibat rasuah adalah kakitangan awam dan separuh daripada jumlah ini membabitkan mereka yang berusia di bawah 40 tahun.
Ramai mengatakan unsur gaji yang rendah menjadi punca utama mengapa rasuah berlaku. Bagaimanapun masalah ini juga dilakukan oleh mereka yang berpangkat dan mempunyai kedudukan dalam perkhidmatan kerajaan. Bahkan saiz rasuah yang dilakukan adalah lebih besar dan memberi kesan yang berganda lebih buruk berbanding dengan salah laku yang dibuat oleh kakitangan bawahan yang dikatakan bergaji kecil.
Dalam hal ini, teori-teori penipuan Barat (fraud theories) seperti fraud triangle theory atau fraud diamond theory juga tidak menyenaraikan isu gaji kecil sebagai punca berlaku penipuan dalam organisasi. Jika adapun ia lebih menjurus kepada tekanan ekonomi di mana ia yang berpunca daripada tekanan kewangan seperti sikap tamak dan gaya hidup di luar kemampuan. Menurut Albrecht, Hill, et al. (2006), hampir 95 peratus daripada kes-kes penipuan bertitik tolak daripada masalah tekanan kewangan ini.
Selain daripada tekanan ekonomi atau insentif monetari, teori-teori penipuan ini juga turut menyenaraikan faktor peluang dan faktor rasionalisasi sebagai punca yang mendorong seseorang itu terlibat dalam salah laku. Peluang untuk melakukan rasuah dan salah laku wujud bila terdapat kelemahan kawalan dalaman (internal control) di dalam sesebuah organisasi. Dengan kata lain apabila sesebuah institusi itu gagal mewujudkan satu mekanisme, peraturan dan prosedur bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan operasi, keabsahan pelaporan kewangan dan pematuhan kepada undang-undang, peraturan dan polisi yang digunapakai; maka ini membuka ruang dan peluang kepada mereka yang lemah iman dan integriti untuk melakukan rasuah dan penipuan. Peluang-peluang ini kemudiannya akan dirasionalisasi dengan pelbagai justifikasi oleh si pengkhianat bagi menghalalkan tindakan tidak beretika tersebut.
Menurut Fraud Diamond Theory, walaupun unsur peluang melorongkan jalan kepada penipuan, dan unsur insentif serta aspek rasionalisasi menjadi penguat kepada dorongan untuk melakukan tindakan tidak beretika, namun semua ini tidak akan terhasil tanpa unsur kapasiti. Unsur kapasiti ini boleh wujud dalam bentuk kedudukan atau fungsi seseorang itu di dalam organisasi. Menteri, Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah – kalau di jabatan kerajaan; atau Ketua Pengarah Eksekutif atau Ketua Pegawai Operasi mahupun akauntan – jika di jabatan swasta, mempunyai lebih kapasiti untuk melakukan salah laku berbanding dengan pegawai bawahan atas dasar mereka mempunyai lebih kuasa dan kedudukan yang boleh dimanipulasi bagi tujuan tersebut. Kapasiti juga dikaitkan dengan kemampuan seseorang untuk mengatasi tekanan risiko kemungkinan dia akan ditangkap akibat salah laku. Selain itu dia juga perlu mempunyai ego dan keyakinan bahawa kegiatan jahatnya tadi tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa atau pihak atasan.
Bagi kita orang Islam, iman adalah pendinding kepada perilaku jahat. Dalam konteks organisasi, amanah dan ikhlas dalam melakukan tugasan merupakan cerminan iman. Walaupun wujud tekanan, insentif dan peluang di depan mata; dan kemampuan untuk berbuat jahat sudah ada, namun jika seseorang itu mempunyai iman, dia tidak akan melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama.