Selain COVID-19, negara juga dilanda gelombang “pandemic” rohani yang meruncing. Adakah gelombang ini menggambarkan penghayatan agama sedang tenat dan sejauh mana Islam memberi jalan penyelesaiannya? Dari aspek sejarah, rasuah, pengkhianatan dan penyalahgunaan kuasa terbukti menjadi virus yang memusnahkan banyak pemerintahan sepanjang sejarah tamadun manusia.
Kebelakangan ini, beberapa laporan tangkapan dan dakwaan menggambarkan betapa rasuah berlaku di pelbagai peringkat sama ada dalam talian, pejabat, sempadan atau jalanan. Hubungan ‘rapat’ antara projek dan kuasa politik bukan perkara asing terutama dalam kes rasuah berprofil tinggi. Warga asing tanpa dokumen dan barangan import dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) “karpet merah” bolos sempadan negara. Manakala di penempatan pendatang pula, ada pelawat yang mengutip “cukai” ketika membuat rondaan berkala. Seolah-olah, ketelusan sudah menjadi spesies nadir yang sukar ditemui sekarang ini.
Rasuah bukan sekadar sogokan atau suapan, tetapi satu pengkhianatan dan penyalahgunaan. Amanah datang dengan kepercayaan, kuasa diberi kerana kemampuan. Mereka yang mengambil rasuah sebenarnya bukan sahaja mengambil hak orang lain tetapi menghilangkan dua ciri utama perlantikannya seperti yang disebutkan dalam al-Quran iaitu qawiy (mampu) dan amīn (dipercayai). Dalam al-Quran juga, rasuah ialah al-suht iaitu perolehan secara batil (al-Mā’idah; 42). Rasuah adalah pengkhianatan dan salahguna yang tidak boleh dimaafkan.
Lebih menyedihkan lagi, pengkhianatan sebegini berlaku dalam kalangan mereka yang berprofil tinggi dan melibatkan oleh orang Islam. Instrumen undang-undang rasuah dan agensi semata-mata tidak menjamin penghapusan rasuah seperti Filipina yang memiliki 7 undang-undang dan 19 agensi penguatkuasa rasuah. Apakah rasuah di Malaysia telah dirasionalisasikan di Malaysia seperti Filipina sebagai tiada pilihan atau tidak melakukannya dianggap lurus bendul dan kurang bijak?
Rasuah atau korupsi dikategorikan sebagai syarakah (curi), ghazab (guna hak orang lain), ghulul (penyelewengan harta negara), khianah (pengkhianatan) dan harobah (perampasan harta orang). Dalam kitab Sahih Muslim berkaitan Tahrim Hadayat ul-Ummali (haram pemberian kepada petugas) Nabi SAW menganggap sogokan sebagai ghulul (penyelewengan) yang disepakati sebagai haram oleh ulamak sebagaimana yang dicatat dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah.
Berat kesalahan rasuah dibayangkan dalam sebuah hadith iaitu “Allah melaknat pemberi dan penerima rasuah” (Hadith riwayat Imam Ahmad). Tidak berganjak kaki anak Adam kecuali setelah ditanya tentang hartanya bagaimana diperolehi dan dibelanjakan. Perolehan, pendapatan dan perbelanjaan akan dihisab. Rasulullah s.a.w dalam satu peristiwa membuat satu acid test perolehan mereka yang berjawatan iaitu adakah mereka akan mendapatnya sekiranya mereka tidak memegang jawatan tersebut. Jika Rasulullah SAW cukup berhati-hati dalam hal ini dan sekeras itu Islam melaknat rasuah, piawaian iman mana yang tinggal kepada perasuah? Pengkhianat sanggup kepalanya dipancung atau dihukum gantung jika mengambil risiko khianat semasa keagungan pemerintahan kerajaan Islam Uthmaniah.
New Zealand disenaraikan negara paling Islami diikuti Sweden, Iceland, Belanda dan Switzerland bukan kerana masjidnya cantik, ramai orang Islam atau menekuni ritual Islam tetapi kerana nilai dan akhlak Islami yang diterjemahkan dalam kehidupan dari sudut ekonomi, undang-undang, tadbir urus, kemanusiaan, politik dan hubungan antarabangsa.
Psikologi perasuah berkadar songsang dengan tahap keimanan. Bilakah Malaysia akan merimbun dengan nilai dan akhlak Islami jika rasuah, khianat, pecah amanah & salahguna kuasa melazimi budaya? Hakikat sebenar Islam terjelma dalam nilai, prinsip dan tingkahlaku, bukan pada bangunan, bilangan umpama buih atau ritual agama. Fikrah Islami, celik syariat dan taqwa merupakan nadi jiwa yang akan membuka jalan pembimbing yang berkesan.
Asas kukuh perubahan sikap dalam agama bertunjangkan kekuatan akidah, yang bakal mendokong sistem nilai. Masalah yang kita hadapi bukan saja korupsi peribadi tetapi korupsi ilmu. Ilmu Islam bukan sekadar memahirkan diri dalam ibadah, tetapi membenihkan kefahaman, keyakinan dan ketaqwaan. “Sesungguhnya, orang yang paling mulia dalam kalangan kamu adalah orang yang paling bertaqwa” (Atl-Hujarat: 13).
Kenapa Allah mengiktiraf taqwa sebagai ukuran kemuliaan seseorang dan bolehkah taqwa dijadikan “vaksin pandemik” rasuah? Menurut Hujjatul Islam Imam Ghazali, taqwa bermaksud takut, gerun dan taat. Taqwa itu suci hati membentengi cela dosa dan maksiat. Pengaturcaraan apa yang dilakukan oleh taqwa dalam diri manusia sehingga ia mampu mengatasi ilmu dan teknik mengubah sikap yang lain?
Sabda Nabi Muhammad s.a.w; “Taqwa itu di sini” sambil menunjukkan pada dada baginda tiga kali (Hadith riwaat Muslim). Rasulullah juga nisbahkan kepada seketul darah yakni hati; jika baik, maka baiklah seluruhnya. Dengan hati kita merasa, taqwa kepada Allah yang menyelinap dari akal mendarat di hati. Dalam al-Quran, perkataan taqwa yang disandarkan kepada Allah “ittaqullah!” “anittaqullah!” disertai dengan jaminan, panduan, hidayah, jalan keluar (makhraja) yang tidak terjangkakan. Tiada ketaqwaan atau nipis keimanan terhadap Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Mengetahui merupakan punca pelaku rasuah merasionalisasikan dan melakukan rasuah.
Kesimpulannya, taqwa menghubungkan dimensi hubungan dengan Allah, dan perasuah terputus dimensi ini ketika memberi atau mengambil rasuah. Penghayatan ilmu dan iman mampu menterjemahkan taqwa kepada penzahiran nilai dan akhlak yang tinggi. Manakala pembudayaan amar ma’ruf nahi munkar pula merupakan syarat sampai ke matlamat ‘khairu ummah’ agar ramuan ini menjadi “vaksin” yang mampu menghadapi pandemik rasuah.