Laporan Kajiselidik Malaysian Corruption Barometer (MCB) 2014 yang dikeluarkan oleh Transparency International Malaysia baru-baru ini mendedahkan bahawa daripada 12 institusi yang dikaji, parti politik dianggap sebagai institusi yang paling tinggi mengamalkan rasuah di Malaysia. Ini diikuti oleh institusi polis, perkhidmatan awam, badan kehakiman, parlimen dan sektor korporat/perniagaan.
Dari sudut makroekonomi, keenam-enam institusi yang dinyatakan di atas merupakan agen utama dalam proses pembangunan sesebuah negara. Ini kerana institusi-institusi ini merupakan badan-badan yang bertanggungjawab dalam aspek kepimpinan negara; membuat dan melaksana dasar-dasar pembangunan; mengawal selia polisi yang digunapakai; dan membantu kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi.
Umum mengetahui bahawa rasuah tidak baik untuk proses pembangunan dan pertumbuhan negara. Satu kajian yang dirintis oleh Mauro (1995) mendapati rasuah mempunyai pertalian yang negatif dengan pelaburan. Kesan akhir hubungan ini ialah ia merencat proses pertumbuhan negara. Dapatan kajian Mauro ini kemudiannya turut disokong oleh Brunetti dan Weder (1998); Mo (2001) dan Meon dan Sekkat (2005).
Bagaimanapun ada sesetengah pengkaji yang mempunyai pandangan yang sebaliknya. Mereka menyatakan bahawa rasuah juga ada kebaikannya kepada pertumbuhan ekonomi. Justifikasi yang diguna oleh pendokong pandangan ini ialah satu hipotesis yang diutarakan oleh Leff (1964), Huntington (1968) dan Leys (1965) iaitu rasuah boleh mempercepatkan pertumbuhan atau yang dirujuk sebagai “grease the wheels hypothesis”.
Hipotesis ini antara lain menyatakan sistem birokrasi yang tidak efisien adalah penghalang kepada proses pelaburan. Justeru wang rasuah boleh membantu melicinkan atau mempercepatkan proses ini terutamanya dalam mengurangkan karenah birokrasi yang perlu dilalui para pelabur dan sekaligus menjimatkan masa mereka. Dengan kata lain, dalam satu sistem pentadbiran yang lembab, wang rasuah menjadi satu insentif kepada birokrat untuk mempercepatkan sesuatu proses kerja (Lui 1985).
Menurut Huntington (1968) pula, rasuah boleh berperanan untuk menangani peraturan-peraturan birokratik yang meleret-leret. Beliau memberi contoh rasuah yang diamalkan oleh para penyedia utiliti, pembuat jalan keretapi dan ahli industri telah membantu memacu pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat pada 1870 an dan 1880 an.
Pendokong pandangan ini juga mengatakan bahawa rasuah boleh membantu birokrat untuk membuat pilihan yang lebih tepat. Ini terutama dalam aspek pemberian lesen untuk menjalankan sesuatu projek. Dikatakan persaingan dalam pemberian rasuah dapat menentukan tahap kecekapan sesebuah syarikat. Berpandukan kepada andaian ini anugerah untuk sesuatu tender atau lesen itu biasanya akan diberikan kepada pemberi rasuah yang “pemurah” kerana ia diandaikan lebih cekap berbanding pemberi rasuah yang “kedekut”.
Walaupun hipotesis ini tidak konsisten dengan bukti-bukti emperikal yang menyatakan rasuah mendatangkan kesan yang tidak baik kepada aspek makroekonomi sesebuah negara, namun ini tidak bermakna ia boleh dipandang remeh oleh semua pihak. Buktinya, kebanyakan reponden yang disoalselidik oleh MCB 2014 yang mengaku pernah memberi rasuah menyatakan mereka berbuat demikian untuk mempercepatkan urusan.
Malah apa yang lebih mengejutkan ialah pemberian rasuah ini turut melibatkan institusi pendidikan, perubatan dan perkhidmatan utiliti. Dengan kata lain, bagi mendapatkan capaian kepada perkara-perkara asas ini pun, sesetengah ahli masyarakat menggunakan pendekatan pemberian rasuah. Adalah dikhuatiri jika amalan ini tidak dibendung, suatu hari nanti rasuah akan menjadi penentu kepada capaian ahli masyarakat kepada keperluan asas kehidupannya ini.
Peter Eigen, pengasas Transparency International pernah menyatakan bahawa amalan rasuah merupakan satu rompakan ke atas potensi sesebuah negara. Apa yang diutarakan oleh Peter Eigen ini ada kebenarannya. Disebabkan oleh rasuah, potensi sebenar sesebuah negara mungkin tidak dapat dijana dengan sebaik mungkin lantaran wujudnya elemen rasuah di sepanjang rantaian proses pembangunan yang melibatkan sektor awam dan swasta.
Apa pun kesan buruk rasuah ke atas kesejahteraan negara adalah menyeluruh. Kesannya bukan setakat terhenti kepada kecekapan ekonomi dan aspek pertumbuhan, malah ia turut melibatkan ketaksaksamaan agihan sumber di kalangan penduduk; meningkatkan jurang pendapatan; mengganggu-gugat program-program kebajikan selain melemahkan proses pembangunan sumber manusia.
Rasuah dalam apa jua keadaan pun adalah sesuatu yang diharamkan oleh ajaran Islam. Sesuatu yang baik pada mata segelintir pihak tidak semestinya juga baik pada pandangan Islam. Islam melihat kepada sesuatu perkara itu dari aspek kebaikan yang dapat dihasilkan kepada masyarakat umum dan bukannya kebaikan kepada sekelompok yang kecil sahaja.
Justeru Islam secara tegas menolak amalan rasuah. Ketegasan ini dapat dilihat melalui ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis nabi s.a.w. Antaranya ialah ayat ke-35-37 di dalam surah al-Naml di mana Allah s.w.t menceritakan tentang ketegasan Nabi Sulaiman menolak hadiah Puteri Balqis agar membolehkannya berterusan dalam amalan penyembahan matahari ketika mana Nabi Sulaiman menyerunya supaya beriman kepada Allah s.w.t.
Junjungan besar kita, Muhammad s.a.w. pernah menolak tawaran kemewahan dunia yang janjikan oleh pemimpin Quraisy sebagai syarat kepada Baginda supaya meninggalkan dakwah Islamiyyah yang dibawanya.
Tindakan penolakan rasuah oleh Nabi Sulaiman alaihissalam dan Nabi Muhammad s.a.w merupakan satu contoh bentuk pelaksanaan amanah dan nilai kebertanggungjawaban yang tinggi yang ditunjukkan oleh rasul pilihan Allah s.w.t. Jika mereka mengkhianati amanah yang diberikan, sudah pasti risalah tauhid tidak akan sampai kepada kita pada hari ini.
Apa yang ingin penulis nyatakan di sini ialah isu rasuah ada kaitan dengan sikap amanah individu, baik individu tadi mewakili institusi politik, pembuat dasar, agensi pelaksana mahupun orang awam. Orang yang amanah tidak akan mengabaikan tanggungjawab yang diberikan. Malah dia akan cuba melaksanakan amanah tadi sebaik mungkin kerana dia tahu dia akan ditanya dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. Jadi jika setiap individu di setiap peringkat melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sebaik mungkin, maka tidak timbul isu rasuah bagi tujuan untuk ‘melicinkan proses’ atau ‘mempercepatkan’ sesuatu urusan.