Awal tahun ini (Februari 2017), dilaporkan bahawa subjek pengajian alam sekitar akan diperkenalkan di sekolah. Ini merupakan berita yang telah lama ditunggu dan pastinya memberi sinar baharu kepada usaha meningkatkan kesedaran dan penglibatan awam dalam pemuliharaan alam sekitar negara.
Pendidikan alam sekitar bukanlah sesuatu yang baharu. Ia mempunyai satu sejarah yang panjang. Pendidikan alam sekitar mula mendapat perhatian di Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Alam Sekitar Manusia di Stockholm pada 1972. Selanjutnya pada 1977, usaha melaksanakan pendidikan alam sekitar diperkemaskan di Persidangan Tbilisi apabila rangka kerja, prinsip dan garis panduan pendidikan alam sekitar telah dipersetujui pelbagai negara. Perbincangan demi perbincangan telah diadakan selepas itu hinggalah pada 1992, pembangunan mapan menjadi salah satu agenda penting bagi pendidikan alam sekitar.
Di Malaysia, pendidikan alam sekitar mula diberikan perhatian terutamanya dalam Rancangan Malaysia Ketiga (1976-1980). Kemudiannya, Laporan Kabinet 1979, yang bertujuan mengkaji pelaksanaan pendidikan di Malaysia, telah memutuskan bahawa pendidikan alam sekitar hendaklah dilaksanakan secara merentas kurikulum. Pada 1986, pendidikan alam sekitar merentas kurikulum dilaksanakan sepenuhnya di sekolah rendah dan menengah di Malaysia. Manakala, pada Februari 2017, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mencadangkan subjek khusus berkaitan alam sekitar dan hal ini masih diperingkat perbincangan antara pihak-pihak berkaitan.
Berdasarkan latar belakang ringkas pendidikan alam sekitar di atas, jelas bahawa usaha mempromosikan pendidikan alam sekitar ini telah berlangsung dalam satu tempoh masa yang panjang iaitu lebih daripada 30 tahun. Dalam usaha yang panjang ini sewajarnya banyak perkara yang telah kita capai terutamanya dalam konteks meningkatkan kesedaran alam sekitar dan penglibatan awam.
Walau bagaimanapun, secara peribadi, penulis berpandangan bahawa pencapaian itu belum begitu memberangsangkan. Terdapat banyak petanda-petanda yang menyokong hal ini. Misalnya, kadar kitar semula di Malaysia pada 2015 hanya 17.5 peratus. Jumlah ini jauh lebih rendah berbanding Jerman (62 peratus), Austria (68 peratus), Taiwan (60 peratus) dan Singapura (59 peratus). Malah, usaha untuk mengurangkan plastik turut dikritik apabila kutipan bayaran 20 sen dianggap membebankan sedangkan matlamat asalnya adalah untuk menggalakkan pengguna membawa beg sendiri ketika membeli-belah.
Kesedaran serta penglibatan awam dalam usaha pemuliharaan alam sekitar yang masih rendah perlu ditangani dengan segera. Kita tidak punya masa yang banyak untuk berlengah-lengah kerana pengabaian ini bermakna kita sedang memusnahkan kehidupan manusia.
Oleh kerana pendidikan alam sekitar penting untuk mengubah masyarakat daripada lalai kepada peka alam sekitar, maka isi kandungan dan pelaksanaan pendidikan alam sekitar di sekolah serta peranan pelaksana pendidikan tersebut haruslah diberikan perhatian khusus.
Jika pendidikan alam sekitar akan dijadikan satu subjek khusus, isi kandunganya harus diteliti dan ditentukan sesuai demi membentuk generasi celik alam sekitar. Perlulah diingat bahawa penyelesaian permasalahan alam sekitar ini memerlukan pendekatan pelbagai disiplin dan bersifat menyeluruh (holistik). Oleh itu, isi kandungan pendidikan alam sekitar juga perlulah mencerminkan pendekatan tersebut.
Usaha ini mungkin agak mencabar kerana pendekatan pelbagai disiplin ini bermakna input sains, geografi, sejarah dan sebagainya harus ada dalam subjek alam sekitar tersebut. Dalam masa yang sama, pendekatan agama, nilai dan etika amat kritikal dan tidak boleh diabaikan memandangkan pendekatan ini penting bagi memahami hubungan manusia dan persekitarannya.
Selain itu, peranan guru juga kritikal. Jika subjek alam sekitar diperkenalkan di sekolah, adakah ini bermakna guru yang mempunyai kepakaran khusu dalam bidang alam sekitar akan dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan subjek tersebut? Atau, adakah guru sedia ada, dengan kepakaran yang berbeza, akan memikul tanggungjawab tersebut?
Hal ini perlu diperhalusi. Guru dengan kepakaran pendidikan alam sekitar semestinya satu kelebihan kerana guru tersebut telah mendapat latihan tertentu untuk menyampaikan ilmu berkaitan subjek alam sekitar itu nanti. Walau bagaimanapun, jika guru dengan kepakaran berbeza dipertanggungjawabkan untuk mengajar subjek alam sekitar, maka guru tersebut perlu mendapatkan ilmu, latihan dan kemahiran tambahan berkaitan subjek tersebut.
Dalam konteks ini, penulis berpandangan bahawa selain kepakaran dari segi pengetahuan dan kemahiran, guru pendidikan alam sekitar juga harus mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang alam sekitar. Minat ini nanti akan menentukan kejayaan penyampaian ilmu dan maklumat serta kemahiran menguruskan alam dalam kalangan pelajar.
Selain kandungan subjek, pelaksanaan subjek itu juga seharusnya berbeza. Berbeza di sini membawa maksud, ia seharusnya merupakan gabungan antara kegiatan di dalam bilik darjah dan juga kegiatan luar. Malah, pada pandangan penulis, kegiatan di luar bilik darjah seharusnya meliputi 70 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan untuk subjek alam sekitar tersebut.
Alam sekitar itu sendiri bermaksud persekitaran hidup dan bukan hidup di sekeliling manusia. Oleh itu, kegiatan luar bilik darjah akan memberi peluang untuk pelajar meneroka persekitarannya. Malahan, penilaian untuk subjek ini juga seharusnya memberikan tumpuan kepada kerja lapangan. Dengan kata lain, pelajar dibenarkan menguruskan sesebuah projek yang memerlukannya meneroka persekitaran.
Walaupun aspek penerokaan ini penting, penulis bimbang perkara ini tidak dapat dilaksanakan. Lihat sahaja apa yang berlaku terhadap subjek sains. Mempelajari sains juga memerlukan penerokaan persekitaran luar bilik darjah atau makmal. Walau bagaimanapun, hal tersebut tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya akibat beberapa kekangan seperti kekangan masa, tiada guru untuk membimbing, aspek keselamatan dan sebagainya. Penulis bimbang, keadaan yang sama ini akan menimpa pelaksanaan subjek alam sekitar di sekolah. Oleh itu, cabaran-cabaran ini perlulah diteliti.
Jika subjek alam sekitar dapat direalisasikan di sekolah, tentulah ini merupakan satu kejayaan bagi pelbagai pihak yang telah lama mengusulkan hal tersebut misalnya ahli akademik, penyelidik mahupun pencinta alam sekitar. Walau bagaimanapun, penelitian terhadap pelaksanaannya harus dilakukan dengan cermat, jujur dan ikhlas. Jika tidak, ia hanyalah sekadar memenuhi impian orang lain tanpa keikhlasan untuk melihat usaha tersebut berjaya.