Perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) membawa banyak manfaat kepada kehidupan manusia dalam semua bidang. Bagaimanapun, di sebalik kemajuan tersebut, muncul fenomena yang semakin membimbangkan iaitu deepfake.
Teknologi ini membolehkan wajah, suara dan gerak tubuh seseorang dimanipulasi secara digital sehingga kelihatan seolah-olah benar walaupun hakikatnya palsu. Deepfake tidak lagi boleh dilihat sekadar hiburan dalam media sosial, sebaliknya berpotensi membawa kepada jenayah.
Deepfake kini banyak digunakan dalam penipuan kewangan, pencemaran imej individu dan manipulasi pendapat awam. Lebih membimbangkan, orang awam gagal membezakan antara kandungan tulen dan palsu, sekali gus menjadikan kebenaran suatu yang kabur dalam ruang digital.
Terdapat sindiket yang menggunakan teknologi ini yang mencuri data peribadi daripada media sosial untuk mencipta identiti palsu yang meyakinkan bagi digunakan untuk penipuan. Antara Januari hingga Ogos 2024, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 454 kes penipuan menggunakan taktik deepfake dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM2.72 juta.
Dari perspektif Islam, kebenaran (al-ḥaqq) merupakan asas penting dalam kehidupan bermasyarakat. Al-Quran menegaskan keperluan melakukan tabayyun apabila menerima sesuatu berita khususnya daripada sumber yang tidak dapat dipastikan.
Dalam al-Quran, menerusi ayat 6 Surah al-Hujurat, penekanan kepada kepentingan tabayyun ini yang membawa maksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepadamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini; dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya); sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
Prinsip tabayyun menjadi semakin relevan dan kritikal dalam era digital yang dimangkinkan oleh AI apabila video dan audio yang kelihatan “meyakinkan” sebenarnya boleh direka sepenuhnya oleh mesin.
Penyebaran deepfake yang berunsur fitnah jelas bercanggah dengan nilai Islam. Fitnah bukan sahaja merosakkan reputasi seseorang, malah boleh menggugat keharmonian sosial dan mencetuskan ketidakadilan.
Dalam konteks ini, deepfake boleh dianggap sebagai “fitnah visual” iaitu pembohongan yang disampaikan melalui imej, video dan audio. Hakikatnya, imej dan video yang dihasilkan oleh AI tidak mengurangkan tanggungjawab moral pihak yang mencipta atau menyebarkannya.
Baru-baru ini, timbul kontroversi yang melibatkan aplikasi AI seperti Grok yang dikaitkan dengan platform media sosial X. Kontroversi ini menyerlahkan sisi gelap baharu permasalahan deepfake ini.
Kontroversi yang melibatkan Grok mencerminkan masalah yang sama melibatkan AI mampu menghasilkan kandungan yang kelihatan yakin dan berautoritatif tetapi tidak semestinya benar. Apabila masyarakat terlalu bergantung kepada AI tanpa semakan kritikal, risiko penyebaran maklumat palsu menjadi semakin besar.
Dari sudut fiqh, persoalan tanggungjawab menjadi sangat penting. Prinsip al-darar yuzal menuntut agar segala bentuk kemudaratan dicegah dan dihapuskan. Dalam hal ini, penggunaan deepfake yang memudaratkan individu atau masyarakat perlu dikawal.
Kawalan ini boleh dilakukan sama ada melalui undang-undang, etika profesional atau garis panduan agama. Pembangun teknologi, pengguna dan penyebar kandungan masing-masing memikul amanah tersendiri.
Islam memberi penekanan kepada prinsip pemeliharaan maruah (ḥifẓ al-‘irḍ) sebagai salah satu perkara yang dijaga oleh syariah. Manipulasi wajah atau suara seseorang tanpa izin, lebih-lebih lagi untuk tujuan mengaibkan atau menipu, jelas bertentangan dengan maqasid ini.
Sebarang bentuk teknologi sepatutnya menjadi alat untuk memelihara kemaslahatan dan bukan membuka pintu kepada kerosakan. Dalam menghadapi cabaran ini, masyarakat Muslim perlu membina literasi digital yang berpaksikan iman dan akhlak.
Sikap mudah percaya, gemar berkongsi kandungan sensasi tanpa usul periksa dan ketagihan kepada maklumat segera perlu digantikan dengan budaya berfikir secara kritis dan beretika. Pendidikan tentang etika teknologi tidak boleh hanya tertumpu kepada aspek teknikal tetapi juga nilai dan tanggungjawab moral.
Pokok pangkalnya, Islam tidak menolak kemajuan teknologi termasuk AI. Walaupun demikian, teknologi tanpa panduan akhlak boleh berubah menjadi alat fitnah dan penindasan. Dalam dunia yang mampu memalsukan wajah dan suara manusia, amanah terhadap kebenaran menjadi lebih berat daripada sebelumnya.
Secara keseluruhannya, ancaman teknologi deepfake di Malaysia perlu dilihat sebagai satu perkara yang serius. Dalam hubungan ini, kesedaran tinggi daripada orang awam adalah amat diperlukan supaya tidak mudah terpedaya.
Setiap pengguna mempunyai peranan untuk menyemak, menyaring dan mengesahkan sebarang video atau audio yang diterima atau tersebar melalui media sosial. Pada waktu yang sama, setiap pengguna perlu melindungi data peribadi masing-masing supaya tidak dicuri dan dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Bagi umat Islam, deepfake bukan sekadar isu teknologi tetapi ujian kejujuran dan integriti umat manusia di hadapan Allah SWT dan sesama insan.

