Di ruang kelas yang tenang, di antara suara guru dan renungan murid, masih terngiang satu persoalan lama yang belum berjawab: adakah rotan masih wajar diangkat sebagai alat mendidik atau sudah tiba masanya kita beralih kepada pendekatan berhikmah yang lebih berasaskan kasih sayang dan kefahaman?
Isu ini bukan sekadar soal disiplin sekolah. Ia menyentuh dasar undang-undang, prinsip Syariah, serta nilai kemanusiaan yang membentuk masa depan pendidikan anak bangsa.
Antara Undang-Undang dan Tanggungjawab Guru
Dalam perundangan Malaysia, hukuman rotan masih dibenarkan secara bersyarat. Ordinan Pelajaran 1957 dan Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 menetapkan bahawa hanya guru besar, pengetua atau guru yang diberi kuasa bertulis yang boleh melaksanakan hukuman ini.
Peraturan tersebut memperincikan bahawa rotan hanya boleh dikenakan ke atas pelajar lelaki, dilakukan secara tertutup dan tidak boleh mencederakan.
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 pula menegaskan bahawa hukuman mesti dijalankan di bilik khas, tidak di khalayak ramai, dan setiap kes direkodkan dengan teliti.
Namun, dalam praktiknya, tidak semua memahami garis halus antara rotan sebagai alat pendidikan dan rotan sebagai luahan amarah. Di sinilah letaknya hikmah seorang pendidik yang wajar menimbang antara tindakan dan kesan.
Pandangan Islam: Hikmah Dahulu, Hukuman Kemudian
Islam menekankan pendidikan yang berpaksikan kasih sayang, bukan kekerasan. Al-Quran menegaskan: “Serulah (manusia) ke jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik.” (Surah an-Nahl, ayat 125)
Rotan hanya disebut dalam konteks pendidikan solat itu pun selepas tempoh panjang proses tarbiah. Rasulullah SAW bersabda: “Perintahkan anak-anak kamu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika masih enggan) ketika berumur sepuluh tahun.”
Para ulama seperti Imam al-Nawawi dan Imam al-Rafi’e menjelaskan bahawa hadis ini bukanlah dalil untuk menghukum secara fizikal, tetapi garis panduan bagi disiplin berperingkat. Hukuman hanya dibenarkan selepas tiga tahun pendidikan dan nasihat dijalankan dengan sabar.
Hukuman rotan perlu dilaksanakan tanpa ada sifat marah, mengelakkan bahagian dari merotan bahagian sensitif dan yang paling penting adalah tidak mengaibkan pelajar. Garis panduan ini sejajar dengan Pekeliling Kementerian Pendidikan yang melarang hukuman secara terbuka. Larangan ini juga bertepatan dengan ajaran Islam yang mengutamakan penjagaan aib manusia, bukan mendedahkannya.
Trend Dunia: Dari Ketakutan ke Bimbingan
Arus global jelas bergerak ke arah pendidikan tanpa kekerasan. Hal ini bukan sahaja didorong oleh negara-negara Barat, tetapi juga oleh negara-negara majoriti penduduk Islam yang menjadikannya sebagai satu dasar.
Misalnya, Tunisia telah mengambil langkah progresif dengan melarang semua bentuk hukuman fizikal terhadap kanak-kanak, termasuk di sekolah dan di rumah seawal tahun 2010. Di samping itu, Tajikistan turut mengikutinya dengan meluluskan undang-undang larangan penuh terhadap hukuman fizikal dalam semua keadaan pada Jun 2024. Tindakan kedua-dua negara ini bukanlah semata-mata mengikut trend global, tetapi didorong oleh kesedaran terhadap hak kanak-kanak dan penekanan semula terhadap prinsip Islam tentang rahmah dan ihsan.
Sementelahan, ini selari dengan apa yang telah dibuktikan di negara-negara Eropah seperti Sweden, Finland, Norway dan Jerman yang telah mengharamkan hukuman fizikal sepenuhnya sejak beberapa dekad lalu. Mereka berjaya membuktikan bahawa sistem disiplin yang lebih efektif boleh dibina berasaskan komunikasi, tanggungjawab sosial dan nilai hormat, bukannya dengan ketakutan.
Lanjutan dari pada itu, Jepun dan Korea Selatan turut meninggalkan rotan tetapi masih mengekalkan disiplin melalui nilai malu dan kerja berpasukan. Sebaliknya, Malaysia dan beberapa negara lain masih mengekalkan rotan dalam bentuk terkawal. Di negara kita, perbahasan sering berkisar antara dua pandangan besar iaitu golongan yang masih melihat rotan sebagai simbol pendidikan adab. Golongan progresif pula menganggapnya warisan feudal yang tidak sesuai dengan psikologi pelajar masa kini.
Namun, di tengah-tengah perdebatan itu, persoalan sebenarnya bukan ‘rotan atau tidak’. Persoalan sebenarnya ialah apakah matlamat akhir kita dan bagaimana untuk mencapainya dengan kaedah yang paling berkesan serta berakhlak.
Maqasid Syariah dan Keseimbangan Pendidikan
Jika ditinjau dari lensa Maqasid Syariah, pendidikan mesti menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Rotan yang mencederakan tubuh atau meninggalkan trauma, jelas menyalahi prinsip menjaga akal dan nyawa.
Begitu juga hukuman yang menjatuhkan maruah pelajar di hadapan umum, ia bertentangan dengan prinsip menjaga kehormatan (‘irdh). Pendekatan yang melarang hukuman seperti ini jelas diperuntukkan dalam Pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia
Pendekatan berhikmah seperti kaunseling, nasihat dan bimbingan lebih dekat dengan roh Syariah Islam itu sendiri. Ia mendidik jiwa tanpa menindas, dan mengubah tingkah laku dengan kesedaran, bukan ketakutan. Kaedah fiqh menyebut iaitu “Dar’ al-mafasid muqaddam ‘ala jalb al-masalih” yang membawa maksud menolak kerosakan lebih utama daripada mencari manfaat. Jika rotan mendatangkan lebih banyak mudarat berbanding manfaat, maka lebih baik digantikan dengan cara berhikmah.
Melindungi Golongan Rentan
Dalam konteks perundangan Malaysia, dua akta utama yang perlu diberi perhatian oleh semua masyarakat iaitu Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Orang Kurang Upaya 2008 yang dengan jelas memberi perlindungan khas kepada kanak-kanak termasuk golongan OKU. Ini sejajar dengan prinsip Islam yang menuntut penjagaan lebih besar terhadap mereka yang lemah dan mudah terdedah kepada bahaya.
Rasulullah SAW sendiri menunjukkan penghormatan besar terhadap golongan ini. Abdullah Ibn Ummi Maktum, seorang sahabat yang cacat penglihatan, telah diangkat sebagai muazzin dan pernah dilantik menjadi imam serta pemangku Nabi SAW di Madinah ketika nabi SAW keluar berperang. Kisah ini menjadi lambang pengiktirafan Islam terhadap maruah insan tanpa mengira kekurangan fizikal. Malah, dalam Khutbah Wada’ baginda menegaskan bahawa tiada kelebihan antara yang berkulit putih atau hitam, Arab atau bukan Arab, melainkan dengan takwa kepada Allah SWT.
Ke Arah Sekolah Berhikmah dan Hukuman Alternatif
Keseimbangan antara undang-undang sivil, Syariah dan nilai global menuntut kita menilai semula falsafah pendidikan. Sekolah mesti memperkukuh peranan kaunselor, membina sistem bimbingan dan menanam budaya empati dalam kalangan guru.
Rotan bukan perlu dihapuskan sepenuhnya, tetapi diletakkan di hujung skala dan berperanan sebagai jalan terakhir setelah semua pendekatan berhikmah gagal. Satu hukuman alternatif yang berbentuk keadilan restoratif (restorative justice) perlu diperkenalkan. Hukuman menjalankan kerja-kerja kebajikan seperti membersih bangunan dan persekitaran sekolah disusuli kaunseling dan nasihat boleh diperkenalkan.
Disiplin yang lahir daripada kesedaran akan kekal lebih lama daripada disiplin yang lahir daripada ketakutan semata-mata.
Walhasil, rotan mungkin mampu menegakkan disiplin seketika, tetapi hikmah menegakkan peribadi dan hukuman berbentuk keadilan restoratif adalah untuk selamanya. Pendidikan bukan medan menundukkan anak-anak dengan ketakutan, tetapi membangunkan jiwa mereka dengan kefahaman dan kasih serta sifat ihsan.
Memang sukar untuk mendidik. Jalan ini tidak pernah mudah. Namun apabila semua pihak berganding bahu, ibu bapa mendidik dengan caranya di rumah, guru mendidik dengan hikmahnya di sekolah dan masyarakat mendidik dengan teladannya di luar pagar sekolah, maka tidak ada yang mustahil untuk melahirkan generasi yang benar-benar bertamadun. Jika masing-masing saling menuding jari dan berlepas tangan, maka biarlah sebanyak mana undang-undang digubal atau peraturan diwujudkan, ia tetap tidak akan menyentuh akar persoalan sebenar, iaitu pendidikan berasaskan hikmah. Hanya dengan pendekatan berhikmah, pendidikan akan kembali kepada rohnya yang asal, membentuk manusia yang berakhlak, berfikir dan berjiwa. Itulah kemenangan sebenar dalam dunia pendidikan, bukan ketika rotan diangkat tinggi tetapi ketika budi yang dijulang diangkat lebih tinggi daripada amarah.

