Kita sering mendapati di kalangan umat Islam Melayu di negara ini yang menghidapi penyakit mental akan pergi mendapatkan rawatan penyakit yang mereka alami daripada mana-mana individu yang mereka lihat mempunyai kuasa, hubungan atau pegangan kepercayaannya yang kuat terhadap perkara berkaitan supernatural. Kepercayaan supernatural atau supranatural berlaku apabila seseorang itu mempercayai akan kewujudan satu sumber kuasa atau tenaga yang berada di dalam dunia ngaib atau luarbiasa selain dari dunia nyata tetapi mempunyai pengaruh dan kesan yang amat kuat dalam kehidupan manusia.
Dalam konteks artikel ini, supernatural itu dirujuk kepada kepercayaan terhadap kekuatan makhluk halus di alam ngaib seperti jin, syaitan dan iblis yang mempunyai kuasa mempengaruhi umat manusia. Walaupun hakikatnya bahawa ia satu sumber kuasa atau tenaga yang berada di luar dari tanggapan hukum tabi’i, kepercayaan bahawa ia mempunyai kuasa yang kuat dalam menentu atau memberi kesan langsung dalam susun atur kehidupan di alam nyata manusia adalah satu perkara yang masih mengelirukan dan seringkali menjadi titik perbincangan, malahan perdebatan dan perbalahan di kalangan para pengkaji dan ilmuan dari pelbagai latarbelakang disiplin ilmu.
Dalam konteks agama Islam, memang terdapat ajaran yang turut mengandungi pelbagai unsur berkaitan alam ngaib yang di luar dari alam tabi’i, sebahagian besarnya menjurus kepada apa yang dikenali sebagai perkara Sam’iyyat. Ia merupakan perkara yang wajib dipercayai dan menjadi asas kepada dasar-dasar ‘aqidah umat Islam. Ia juga sebagai satu perkara yang tidak boleh sama sekali dipertikaikan akan kewujudan atau kebenarannya. Malahan ia merupakan sumber kekuatan yang memberi kesan spiritual dan psikologikal kepada individu muslim.
Namun di sebalik perkara ini, terselit beberapa perkara yang berkaitan dengan unsur-unsur mistik yang mendasari kepercayaan khurafat dan dikhuatiri boleh menjejaskan nilai-nilai keimanan seseorang individu muslim. Walaupun yang hak dan batil itu jelas, namun seringkali timbul pertelingkahan iaitu bagaimana perkara berkaitan alam ngaib, kebatinan atau mistik itu boleh menjadi khurafat atau membawa kepada kekhurafatan. Kekurangan maklumat dan fakta yang berkaitan dengannya merupakan perkara-perkara yang seringkali tidak jelas kedudukannya, malah menjadi sumber kekeliruan di kalangan umat Islam dalam melihat sesuatu fenomena, khususnya yang berkaitan dengan gangguan kejiwaan atau pun penyakit mental.
Jika berdasarkan kepada satu laporan akhbar iaitu pada 17 Jun 2011 yang lalu bahawa wujud di kalangan masyarakat Melayu Islam yang berusaha mendapatkan rawatan dari pengamal kebomohan akibat penyakit mental yang dialami sejak empat tahun yang lalu, tetapi membawa kematian, ia adalah satu peristiwa yang amat tragis dan malang. Berdasarkan kepada apa yang dilaporkan itu, menunjukkan bahawa kepercayaan terjadinya sesuatu penyakit akibat dari pengaruh dunia halus masih lagi wujud, menebal dan kukuh di kalangan umat Islam negara ini. Peristiwa tersebut memang sukar untuk diterima jika didasarkan kepada pemikiran yang logik, atau diungkap dari perspektif saintifik, tetapi tidak dinafikan akan kewujudannya. Walaupun ajaran dalam Islam mengakui akan kewujudan makhluk halus, tetapi kepercayaan seperti itu perlu ada batasnya. Kepercayaan yang tidak berasas atau melebihi batas ditakuti akan menjeaskan aqidah dan keimanan.
Umat Islam perlu berhati-hati terhadap kepercayaan bahawa makhluk halus memiliki kuasa luarbiasa dalam mendatangkan sesuatu penyakit, atau kuasa yang boleh menyembuhkan penyakit, apatah lagi mempercayai bahawa makhluk halus boleh mencabut nyawa seseorang. Walhal hanya Allah sahaja yang berhak disembah dan diyakini sebagai Kuasa yang memberi penyakit dan juga memberi penawar kepada mana-mana penyakit. Tidak ada selain Dia, apatah lagi jika mempercayai bahawa makhluk halus dari alam mistik juga mempunyai kuasa atau kekuatan yang sama. Kepercayaan bahawa makhluk halus dari alam mistik yang menentukan sakit atau sihat manusia perlu diperbetulkan, atau mungkin juga dibanteras.
Umat Islam perlu difahamkan bahawa makhluk halus dan alam mistik sememangnya wujud, namun mereka tidak mampu mempengaruhi kehidupan manusia walau dalam apa cara atau keadaan sekalipun selagi kita semua sentiasa berdoa memohon perlindungan dari-Nya. Apatah lagi bersahabat dengan makhluk halus dan menjadi tuan kepadanya serta mengamalkan sihir sudah pasti membawa kepada kekufuran. Apakah kecenderungan untuk mentafsirkan sesuatu penyakit yang dialami seseorang sebagai akibat oleh satu kuasa makhluk halus dari dunia mistik digalakkan atau dibenarkan dalam Islam? Adakah ia boleh menjejaskan aqidah dan keimanan seseorang muslim kelak? Apakah makhluk halus dari dunia mistik kini telah mendapat tempatnya yang wajar di kalangan umat Islam Melayu negara ini sebagai satu sumber baru mencari rezeki, populariti atau pun kemewahan? Tidakkah ini satu pengiktirafan kepada mereka, dan tindakan pengiktirafan ini seperti memuja dan mengagung-agungkan makhluk tersebut yang akhirnya boleh menjejaskan aqidah?
Islam memang menuntut umatnya agar melakukan pelbagai usaha untuk mencari ubat dan penawar bagi segala penyakit yang dihidapi. Bagaimanapun, jika ditinjau dari peristiwa yang baru berlaku itu, usaha untuk mendapatkan rawatan dan ubatan mengikut pendekatan atau kaedah rawatan yang telah digunakan itu sebagaimana yang dilaporkan memang tidak dapat diterima, khususnya dari pendekatan perubatan moden yang bersifat saintifik. Peristiwa ini sebenarnya meggambarkan masih lagi wujud salah faham dan salah tanggapan umat Islam, bukan sahaja terhadap punca terjadinya gangguan mental, tetapi juga salah faham dalam usaha untuk mendapatkan rawatan berkaitan penyakit mental yang dialami. Jika kita berfikir secara logik pun, kita akan tahu bahawa bentuk rawatan seperti meminum bergelen-gelen air untuk memulihkan penyakit memang tidak dapat diterima oleh fikiran yang waras, malah bentuk rawatan yang dinyatakan itu amat tidak berperikemanusiaan dan menyalahi bentuk rawatan yang sah dan dibenarkan. Ini sama sekali amat bertentangan dengan dasar hak asasi pesakit mental bagi mendapatkan rawatan dan penjagaan kesihatan mental yang berperikemanusiaan. Inilah akibat dari salah tanggapan terhadap penyakit mental dan kesilapan mendapatkan rawatan dari mereka yang tidak ada kewibawaan dalam menyediakan penjagaan kesihatan mental yang baik untuk masyarakat.